Rencana

Wajah sugul Najib bubar Parlimen akan jadi ingatan —  Edy Noor Reduan

April 03, 2013

3 APRIL — Najib Razak membubarkan parlimen hari ini dalam keadaan sedih dan dukacita. 

Apakah yang sebenarnya berlaku? Mengapa tidak ada keceriaan langsung sedangkan membubarkan parlimen itu wajar menjadi satu kepuasan? 

Di sebalik Najib memerlukan lebih masa tambahan, ingin menunaikan umrah dan melaksanakan ‘rasuah-rasuah’ pembelian undi seterusnya, ketika yang sama Timbalan Perdana Menteri memberi tekanan supaya parlimen dibubarkan bagi memberi laluan PRU dalam bulan ini juga, bukan bulan Mei seperti dijangka. 

Apakah kesugulan ini memberi gambaran awal betapa sebuah empayar yang memerintah negara selama 57 tahun akan berakhir? 

Sudahlah dengan wajah sugul, Najib tersasul pula menyebut pembubaran pada tarikh 3 April tahun 2012 daripada sepatutnya tahun 2013. 

Kesedihan Najib Razak gagal disembunyikan, mengambil kira kemungkinan besar dirinya akan menjadi Perdana Menteri dari Umno yang terakhir dalam sejarah peradaban negara. 

Jika ini benar menjadi kenyataan maka ia adalah sebuah kemenangan rakyat, kerana perlawanan PRU-13 adalah perebutan kuasa di antara elit pemerintah dan juga rakyat marhein. 

Rakyat cuba dibeli semahunya. Sepanjang menunggu hari pembubaran, puluhan bilion diumumkan oleh Najib Razak untuk dihabiskan demi rakyat kononnya ia adalah pemberian parti Barisan Nasional. 

Tetapi ia berlaku ketika hayat pemerintahan Umno dan Barisan Nasional dipenghujungnya, tidak pernah berlaku sejak 57 tahun lalu. 

Jikapun berlaku, hanya sebulan sebelum parlimen dibubar dan ia dinamakan gula-gula pilihanraya. 

Walaubagaimanapun, rakyat bukan lagi budak-budak. Rakyat hari ini telah matang dan dewasa, tidak termakan umpan berupa gula-gula pilihanraya. Kejahatan pemerintah tidak dapat disorokkan lagi dengan pemberian penuh extravaganza semata-mata. Bagi rakyat, apa yang diberi adalah tanggungjawab yang selama ini telah tidak dilaksanakan malah seharusnya ia tidak cukup. 

Justeru itu, kesedihan yang terpacar di wajah Najib Razak ketika membubarkan parlimen sebentar tadi ada asasnya. 

Najib menyedari kegagalan demi kegagalan berlaku walaupun telah berhabisan ‘menjual negara’ melalui defesit kewangan yang melampau di era pentadbirannya. 

Antara cubaan terakhir untuk Najib untuk mengembalikan sokongan ialah dengan menjadi hero di Lahad Datu. 

Cubaan ini juga sangat gagal apabila kasualti nyawa sepatutnya boleh dielak jika isu pencerobohan Lahad Datu dikendali dengan tegas dan bijak. 

Najib cuba menjadikan peristiwa Margaret Thatcher merebut kepulauan Falklands sebagai rujukan tetapi tetap menemui jalan gagal. 

Apalagi yang tinggal? Hasrat untuk lewatkan pembubaran hingga ke maksima juga tidak berjaya setelah ditekan oleh Muhyiddin Yassin yang dilihat lebih mengutamakan ‘maruah’. 

Mungkin Muhyiddin merasakan kekalahan itu tidak dapat dibendung maka lawanlah dengan saki-baki maruah yang ada. 

Lagipun, Muhyiddin tidak akan dihukum gantung jika Barisan Nasional tumbang pada PRU-13. 

Tanggal 3 April 2013 adalah satu permulaan sejarah, menghampiri sekuel tsunami politik yang akan berlaku dalam masa 60 hari dari tarikh hari ini. 

Inilah permulaan yang dinanti dengan sabar oleh rakyat, akhirnya tiba juga hari ini. 

Sesungguhnya, rakyat tidak sabar untuk pembaharuan yang sudah lama ditunggu-tunggu, lima kali 8 Mac itu bagaikan terlalu lama. 

Rakyat tidak sabar untuk sesuatu yang baru atau lebih spesifik — kerajaan rakyat yang baru. 

Dengan pembubaran parlimen ini, ayuh kita pastikan tanahair dapat diselamatkan kali ini, hanya kali ini. It’s now or never

Percayalah, rakyat akan menang dan tidak akan menanggung azab untuk 5 tahun atau 10 tahun atau 50 tahun lagi. Perubahan akan berlaku di umur kita, dan wajah sugul Najib ketika bubarkan parlimen akan tetap menjadi ingatan. 

* Edy Noor Reduan adalah aktivis blogger Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi