Side Views

Bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan RM3 bilion — Azman Anuar

June 23, 2012

23 JUN — Cerita berkaitan akaun RM3 bilion semakin hari semakin berkembang. Satu demi satu pendedahan dikeluarkan.

Bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) Datuk Abdul Razak Idris sudah diminta membuat laporan polis ekoran pendedahan beliau diarah membuat akuan bersumpah menutup kes pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion itu.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung dakwaan itu ketika berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Benar atau tidak dakwaan terhadap Anwar itu, biarlah pihak berkuasa menyelesaikan siasatannya.

Apa yang boleh kita dapat dengan wang RM3 bilion jika dibelanjakan serentak atau sekali gus?

RM3 bilion iaitu tiga ribu juta ringgit atau ditulis dalam bentuk angka RM3,000,000,000.

Sesiapa yang ada wang sebanyak itu, kalau dibelanja pun tak akan habis-habis. Boleh pula dipusakai kepada anak, cucu dan cicitnya pula. Mereka yang menguasai wang itu boleh berbelanja membeli hartanah, bersukaria, beramal kebajikan atau buat apa sahaja.

Kalau dia mahu membeli rumah teres atau rumah kedai bernilai lebih RM500,000 sebuah, dia mampu memborong banyak lot dalam projek perumahan mewah di ibu negara. Boleh jual semula dengan harga berligat kali ganda pula.

Kalau RM 3bilion itu milik kerajaan, banyak boleh dimanfaatkan untuk rakyat. Wang itu kalau disalur kepada 28 kementerian maka setiap kementerian boleh mendapat peruntukan RM107 juta.

Dengan jumlah itu, infrastruktur baru untuk manfaat rakyat boleh dibina. Kementerian Pelajaran boleh bina beberapa buah sekolah, Kementerian Kesihatan boleh menambah bangunan hospital atau memperbaharui kemudahannya.

Beberapa buah balai polis juga boleh dibina. Banyak kemudahan penduduk luar bandar dapat disediakan untuk mereka mendapat kemudahan awam yang lebih baik. Jalan raya, jambatan dan empangan baru boleh dibina.

Bagi penduduk di bandar, kemudahan pengangkutan awam boleh ditambah baik.

Memang banyak yang boleh dibuat kalau ada RM3 bilion.

Kalau wang itu ada dalam tangan kerajaan, pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pusingan kedua pun boleh dilakukan. Apalah sangat berkira untuk diberi RM500 lagi kepada mereka yang berpendapatan kurang RM3,000.

Kalau daripada keseluruhan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 bilion yang diluluskan kerajaan pada Bajet 2012 sudah dimanfaatkan oleh 4.78 juta orang yang telah menerima pengagihan BR1M, bayangkan kalau RM3 bilion.

Kalau ditambah RM400 juta lagi (untuk mencukupkan RM3 bilion), maka 800,000 orang lagi boleh sama-sama menikmatinya.

RM3 bilion itu kalau disalurkan selain BR1M, ia boleh disalur untuk menambah bantuan dalam program pemberian wang RM100 kepada pelajar sekolah, baucar buku RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi, kemudahan Klinik 1 Malaysia, subsidi Menu Rakyat 1 Malaysia dan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M).

Wow! Banyak tempat tumpuan boleh disalurkan kalau kerajaan ada RM3 bilion. Tapi wang itu tak ada pada kerajaan.

Wang RM3 bilion itu mungkin ada pada seseorang. Kalau ada pun mungkin sudah diguna untuk tujuan pelaburan hartanah atau politik.

Untuk mendapatkannya semula pun bukan mudah. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Talk of the web