26 JAN — Bagaimana untuk “percaya” dalam politik? Politik sudah berubah wajah sehingga apa sahaja yang dilakukan baik secara ikhlas mahupun jujur dianggap mempunyai motif politik apatah lagi Pilihan Raya Umum (PRU) dikatakan akan muncul tidak lama lagi.
Ada juga parti yang berlumba-lumba memenuhi manifesto seperti pengisytiharan harta dan mahu mengadakan pilihan raya majlis tempatan kini tetapi tidak pula dilihat memenuhi persekitaran politik PRU dan dilabel sebagai tanggungjawab parti.
Maka, wujud dua tafsiran; bagi yang taksub dengan parti dan fahaman politik sudah pasti yang dilakukan lawan walaupun perlakuan yang baik akan dilontar dengan pelbagai kecaman untuk mempengaruhi perang saraf politik tetapi jika perkara yang sama dilakukan oleh pemimpin sendiri; ia akan dianggap pemimpin berjiwa rakyat. Jika golongan ini mengiktiraf tingkah laku politik lawan, sudah pasti penghormatan tersebut akan memberi manfaat dan lonjakan dalam bentuk sokongan populariti.
Maka, perang saraf dalam politik adalah biasa kecuali penyokong yang kadang kala keterlaluan kerana ia juga adalah prinsip “yang menang akan menang semua; yang kalah akan kalah semua” dalam zero sum game politik. Disebabkan faktor yang sama, “mol” diletakkan dalam parti untuk mengetahui secara terperinci apa yang berlaku dalam sesuatu parti.
Mol akan memberikan maklumat dalaman yang kemudian dimanipulasi untuk kepentingan parti atau pemimpin sendiri. Dalam kerancakan percaturan politik sedemikian rupa, apakah masyarakat umum yang kini kadar celik hurufnya jauh meningkat, akan mengundi secara emosional ataupun praktikal? Bagaimanakah 'kepercayaan' dibina dalam politik? Adakah sentimen ke atas isu yang menjadi faktor dominan yang mampu meresapi minda, hati dan emosi pengundi?
Kepercayaan dalam politik tidak datang dengan sendirinya kecuali mereka yang taksub dengan politik kepartian.
Genghis Khan ada menyatakan: "If my body dies, let my body die, but do not let my country die." Ini menunjukkan bagaimana kepentingan tanah air dan negara-bangsa diutamakan dan bukan diri sendiri.
Politik yang terlalu bergantung kepada personaliti barangkali boleh memberi kemenangan jangka pendek dan bukan jangka panjang melainkan personaliti tersebut bersedia menampakkan kesungguhan mempertahankan nilai kolektif yang membawa penyokong bersama; memberikan rakyat apa yang mereka mahukan kerana ia menjanjikan kegembiraan.
Politik berasaskan kepada prinsip “kepercayaan” memerlukan kompromi dan pengorbanan. Jika waktu kejayaan dikecapi, setiap pemimpin dan parti politik dilihat bersama dan mahu bersama; apakah wajar mereka meninggalkan rakan sendiri atau parti ketika berada dalam suasana tidak menentu dan ketika berhadapan dengan desakan dan kritikan secara berterusan sehingga bersifat defensif dan tidak ofensif walhal jika bersama menjadi gurkha perang politik, sudah pasti lawan tidak dapat bersuara lantang. Bukankah peluang dicipta dari dalam dan bukan oleh lawan?
Malahan wujud pelbagai desus-desus akhir-akhir ini yang bersifat spekulasi tetapi masakan tidak ada sedikitpun kebenaran terutama yang berkaitan dengan “politik ugutan” dan bukan “politik muafakat”. Ugut tidak melakar kepercayaan tetapi kemungkaran dalam politik. Dalam berhadapan dengan PRU yang paling getir, sudah pasti yang dimahukan oleh BN mahupun barisan pembangkang adalah barisan yang setia, minimum masalah dalaman dan lebih daripada itu adalah kemuafakatan dalam kalangan ahli komponennya.
Tetapi jika ahli dan parti mengugut untuk meletak jawatan, menarik keluar parti ataupun sabotaj dalam PRU akan datang, di manakah nilai sebenar “pemimpin berwibawa” yang memberi kepentingan kepada rakyat dan bukan dirinya.
Pemimpin yang menjadi liabiliti perlu juga sedar atau menawarkan diri untuk tidak bertanding tetapi akan memastikan partinya tidak kalah. Ini baru dikatakan pemimpin yang berkiblatkan maruah parti dan bukan melondehkan dirinya sehingga hilang apa yang sudah terbina dan dimilikinya. Begitu dengan pemimpin lama, jangan dibiarkan diri menjadi alat permainan politik hanya kerana sudah kehilangan kontrak cari makan dan mengkritik parti yang mereka punya kuasa dan kedudukan satu ketika dahulu.
Membalas dendam mestilah ada punca dan sebab. Dayuslah kita jika dahulu kita bersama sistemnya tetapi kini apabila sudah melihat ada kelemahan, memberikan sokongan kepada lawan.
Apakah dengan kerjasama dengan lawan membolehkan mereka tercapai matlamat akhir usaha membalas dendam? Benarkah dendam politik menzahirkan kepercayaan? Apa akan berlaku jika mereka gagal mendapat apa yang dimahukan ataupun lawan tidak sedar kemungkinan golongan yang lantang kini adalah juga “mol” dari parti lawan mereka. Kenapa sekarang beria-ia menyokong lawan? Bukankah pemimpin sebegini juga sebenarnya bersifat mementingkan diri sendiri sedangkan akan lebih dihormati jika bersifat kritikal ketika dalam sistem dan berjawatan dalam parti.
Masalah dalaman parti adalah lumrah tetapi dalam saat genting, yang harus diutamakan adalah kekuatan bersama atau nama ikatan kesepaduan dan bukan simpulan palsu kesepakatan. Apakah gusar tidak akan bergelar YB di kawasan sendiri atas jenama sendiri dan bersedia menjadi “gunting dalam lipatan” kerana akan digugurkan?
Ada juga pemimpin yang membelakangkan kepercayaan dan berunding dengan pemimpin lawan dengan menjanjikan kerusi yang akan dimenangi dengan harapan menjadi pembelot kemudian semata-mata untuk memastikan dirinya tidak dihukum oleh undang-undang. PRU 1990 boleh dijadikan rujukan dalam mendalami bagaimana dan dalam bentuk apa permainan politik boleh menjadi kotor dan tidak dipercayai walaupun tindakan parti yang keluar dari BN dianggap “luar biasa” ketika itu.
Kedudukan parti politik hari ini adalah di persimpangan. Apakah mungkin kita melahirkan “zon bebas” dalam politik yakni politik melangkaui politik peribadi dan politik matang berasaskan kepada politik berhemah seiring dengan proses pembangunan negara yang dipenuhi dengan limpahan modenisasi dan industralisasi.
Saling tuduh menuduh tidak menguntungkan diri tetapi memusnahkan pengiktirafan kepada ketokohan pembesar politik sebenarnya kerana pemimpin yang bertanggungjawab memberikan pendefinisian ke atas “kepercayaan” dalam lingkaran politik. Aktor politik yang berkepentingan harus ditolak keluar baik yang lama mahupun baru kerana mereka inilah yang menjadi racun dalam madu; yang sedia menggugurkan maruah bangsa dan tanah air semata-mata untuk memanipulasi isu dan informasi.
John F. Kennedy ada menyatakan bahawa: "The political world is a very interesting life. It allows the full use of powers. First there is the great chess game. It's the battle, the competition. There's the strategy and which piece you move and all that." Apakah kita arif pergerakan politik dengan strategi melahirkan kepercayaan sebagaimana permainan catur yang penuh dengan perang psikologi minda untuk mengatasi minda lawan atau sekadar bermain tanpa tahu hujung pangkalnya kerana gusar, cemas dan panik akan di-checkmate? Kepercayaan perlu dibina dan diurus tetapi bagaimanakah ia akan berlaku jika drama politik tidak akan berakhir kerana tidak siapa tahu mana penghujungnya? — Utusan Malaysia
* Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






