Side Views

Berbanggalah dengan zakat yang diagih – Mohd Syahir Sulaiman

February 16, 2012

16 FEB — “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebajikan dan mencegah berbuat kejahatan, dan mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 71)

Ada teman yang meminta saya membantu beliau membuat kajian impak yang terhasil daripada instrumen dan program agihan dana zakat kepada golongan asnaf, dalam agenda pembangunan sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia. “Mahu dirungkai beberapa kekusutan”, katanya. Saya tidaklah keberatan untuk menghulur tangan membantu, sekadar diberi tugasan membelek lembaran laporan tahunan beberapa majlis agama dan baitulmal negeri, menghadam angka-angka yang tercatit, dan menelaah beberapa kajian akademik dan empirikal yang telah dijalankan sebelum ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada beberapa cendekiawan negara yang bukan sahaja telah mengkaji dan menganalisa impak zakat secara empirikal dengan mengaplikasi indikator Gini-coefficent dan indikator-indikator ekonomi lain yang rumit, malah tampil mengemukakan cadangan solusi yang praktikal demi penambahbaikan sistem yang sedia ada.

Ruang penulisan yang terhad ini bukanlah bertujuan untuk membahas hasil penemuan tersebut, cuma sekadar ingin berkongsi beberapa pemerhatian yang boleh dijadikan muhasabah bersama, khususnya kepada tangan yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus amanah ummah yang besar ini.

Besar kutipan, besar amanahnya

Umum mengetahui, dana zakat yang terkumpul di Malaysia adalah amat besar nilainya dan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Ini terhasil daripada peningkatan kesedaran umat Islam terhadap tanggungjawab menunaikan zakat, kaedah pembayaran zakat yang dipermudahkan di samping aktiviti promosi yang dijalankan oleh pihak lembaga zakat. Saiz dana tersebut bukanlah kecil. Jika digabungkan hasil kutipan zakat di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor, jumlahnya boleh mencecah angka berbilion ringgit.

Sebagai contoh, dana pendapatan terkumpul Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tahun 2010 mencecah angka RM410 juta, di mana pendapatan dari hasil zakat berjumlah RM280 juta. Daripada hasil zakat yang bernilai RM280 juta ini, RM186 juta diagihkan terus kepada golongan asnaf manakala RM68 juta dibelanjakan untuk urusan pengurusan, harta modal, projek pembangunan, dan pegangan saham subsidiari.

Nilai RM186 juta agihan oleh MAIWP kepada golongan asnaf ini adalah setara dengan jumlah peruntukan perbelanjaan pengurusan oleh Kerajaan Negeri Perlis di dalam unjuran Bajet 2012 yang berjumlah RM181 juta, sedangkan hasil Kerajaan Negeri Perlis hanya diunjurkan pada nilai RM74 juta.

Ini bermakna, kekuatan ekonomi MAIWP adalah jauh lebih besar daripada kekuatan ekonomi kerajaan negeri Perlis.

Hanya 60 peratus hasil zakat diagih?

“Sesungguhnya sedeqah-sedeqah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, orang-orang miskin, ‘amil yang mengurusnya, orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang terputus) dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang difardhukan oleh Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 60)

Meneliti kembali angka-angka yang dilaporkan oleh MAIWP, kita dapati daripada hasil zakat yang bernilai RM280 juta pada tahun 2010, hanya 66 peratus atau RM186 juta diagihkan terus kepada golongan asnaf manakala 24 peratus atau RM68 juta lagi dibelanjakan untuk urusan pengurusan, harta modal, projek pembangunan, dan pegangan saham subsidiari.

Manakala bagi tahun 2009, nisbah agihan kepada asnaf adalah pada kadar 54 peratus daripada RM248 juta zakat yang dikutip.

Nisbah agihan sekitar 60 peratus juga dapat dilihat di dalam laporan operasi Yayasan Taqwa, sebuah organisasi di bawah naungan MAIWP yang objektif utama penubuhannya adalah untuk menerima dan menguruskan dana peruntukan dari MAIWP, sumbangan-sumbangan individu, kumpulan dan organisasi dari dalam dan luar negara bertujuan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan, sosial dan kemajuan agama Islam.

Memetik Laporan Tahunan MAIWP 2010, “Yayasan Taqwa telah membelanjakan sebanyak RM4.98 juta bagi sumbangan kepada masyarakat Islam iaitu 64 peratus daripada pendapatan yang diterima sebanyak RM7.78 juta. Bagi belanja pengurusan, Yayasan Taqwa telah membelanjakan sebanyak RM2 juta merangkumi perbelanjaan

pentadbiran pejabat dan perbelanjaan program/aktiviti.”

Selain kos pengurusan dan operasi yang agak signifikan, peruntukan besar turut diberi kepada golongan amil yang merupakan sebahagian daripada golongan asnaf. Meneliti pecahan agihan zakat MAIWP kepada asnaf yang berjumlah RM186 juta pada 2010, 12 peratus atau RM23 juta diagih kepada golongan amil, berbanding 2 peratus atau RM4 juta diagih kepada golongan muallaf.

Laporan Tahunan MAIWP 2010 turut menyatakan nilai pendapatan dari keuntungan pelaburan bagi tahun 2010 adalah sekitar RM5 juta, atau hanya 1 peratus daripada jumlah pendapatan terkumpul MAIWP yang berjumlah RM410 juta.

Apa yang lebih memeranjatkan, tercatit di nota 17 dan nota 27 kepada Lembaran Imbangan (Balance Sheet) MAIWP 2010, MAIWP ada menanggung pinjaman berjumlah RM448,865 di mana sejumlah RM39,368 adalah merupakan pinjaman konvensional sewa-beli yang dikenakan caj pinjaman 5.50 peratus. Ini amat serius dan mendukacitakan.

Pemerhatian ini menuntut kepada nilai amanah dan ketelusan oleh pihak pengurusan, khususnya di pihak atasan.

Berilah zakat kepada mereka

Bukanlah hasrat penulis untuk menafikan kejayaan program-program yang dibuat oleh pihak baitulmal serta justifikasi untuk menampung kos operasi dan pengurusan yang tinggi.

Pastinya, 1,001 alasan boleh diberi untuk justifikasi penggunaan dana zakat untuk tujuan pelaburan, kos gaji dan elaun lembaga pengarah dan pegawai, kos kenderaan dan tuntutan perjalanan, kos penyelenggaraan bangunan yang tersergam indah, pembelian dan pemerolehan, serta kos sewaan kanopi dan jamuan untuk majlis dan program yang dianjurkan. Namun setiap ringgit yang dibelanjakan untuk tujuan ini menuntut kepada akauntabiliti dan integriti oleh pihak pengurusan yang diamanahkan untuk mengutip dan mengagih hasil zakat, agar maqasid kefardhuan zakat dapat dinatijahkan mengikut piawaian Allah s.w.t.

Seulas saranan untuk merealisasikan maqasid agihan zakat ini, pastinya ia menuntut sinergi dari semua pihak, terutama pihak baitulmal, kerajaan, dan golongan asnaf sendiri.

Pihak baitulmal perlu mengkaji semula nilai dan bentuk agihan zakat agar munasabah dan berimplikasi membina-upaya, sebagaimana yang diungkapkan oleh Saidina Umar r.a., “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Keyakinan pembayar zakat terhadap kejayaan agihan zakat perlu ditingkatkan. Penulis berpendapat, hasil zakat akan meningkat berkali-ganda apabila agihan zakat dilihat telus, diyakini dan diperluas agar tidak ada yang tercicir.

Pihak kerajaan juga sebenarnya mampu mewujudkan budaya “berlumba membuat kebajikan” di kalangan rakyat dengan membuka ruang yang lebih luas untuk meningkatkan dana baitulmal melalui kutipan zakat, sedeqah dan waqaf. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kerajaan untuk menampung perbelanjaan dalam aspek kebajikan, pembinaan masjid dan seumpamanya, seterusnya mewujudkan suasana harmoni di antara yang kaya dengan yang miskin.

Berilah zakat kepada mereka, dan berbanggalah kita dengan pengagihannya.

“Apa saja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya.” (Al-Hasyr: 7)

* Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.