Side Views

Bersatulah dan menjadi seorang warganegara yang patriotik — Tan Zhong Yan

16 SEP — Untuk menjadi seorang warganegara yang patriotik bukannya susah sangat. Kita tidak perlu mengorbankan nyawa kita untuk negara untuk menjadi seorang yang patriotik. Akan tetapi, ia bukannya mudah juga. Hanya sekadar menggantung ataupun mengibarkan bendera tidak menjadikan kita sebagai seorang yang patriotik. 

Hanya dengan menyokong atlet-atlet negara ataupun membeli barang buatan negara, kita sudah boleh dikata merupakan seorang yang patriotik ataupun sekurang-kurangnya mempunyai semangat patriotik. 

Untuk menjadi seorang warganegara yang patriotik, kita haruslah meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri. Kita perlu menghapuskan segala halangan yang ada daripada menghalangkan kita semua rakyat Malaysia untuk bersatu. Ini adalah kerana hanya jika semua rakyat boleh bersatu, negara yang tercinta ini baru akan makmur dan terus maju dan membangun. Dengan itu, kita akan menjadi warganegara yang patriotik kerana kitalah yang memajukan negara ini. 

Malangnya sehingga hari ini, selepas 49 tahun negara Malaysia ditubuhkan, rakyat Malaysia masih gagal untuk bersatu. Masalah perkauman masih tidak dapat diselesaikan. Wahai saudara-saudariku, sudah sampai masanya untuk kita bersatu. Hanya dengan kita bersatu, negara ini boleh terus maju dan bersaing dengan negara maju yang lain. 

Sebagai seorang generasi muda, saya berharap semua rakyat Malaysia boleh bersatu dan terus membangunkan negara ini. Janganlah kita membiarkan apa sekalipun terutamanya politik untuk memecahbelahkan kita. Jika ada sesiapa atau ada mana-mana ahli politik ataupun parti politik yang cuba memecahbelahkan kita, janganlah kita sesekali cuba menyokong mereka kerana itu merupakan perbuatan yang khianat. 

Marilah kita bersama-sama menjadi warganegara yang patriotik. Menjadi seorang yang patriotik tidak bermaknanya kita mesti menyokong kerajaan yang sedia ada. Itu adalah kerana, kerajaan tidak sama dengan negara. Untuk menjadi seorang yang patriotik, kita haruslah memilih kerajaan yang kompeten, bebas rasuah dan bersih kerana hanya dengan ini negara ini boleh terus maju. 

Nasib negara ini terletaklah di tangan setiap orang. Jika kita membiarkan masalah perkauman ini terus wujud, negara ini bukan sahaja tidak akan maju tetapi akan terus berundur. Marilah saudara-saudariku, biarlah kita bermula pada hari ini, Hari Malaysia yang ke-49, menghapuskan segala halangan yang ada. Biarlah kita rakyat Malaysia bersatu padu dan terus membangunkan negara ini. Hormat-menghormatilah satu sama lain kerana kita semua merupakan anak Malaysia. Marilah kita bersama-sama berdoa untuk negara Malaysia yang tercinta ini. 

Selamat Hari Malaysia.

* Tan Zhong Yan reads The Malaysian Insider.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Comments