Bersih 3.0: Apa selepas ini? — Zul Fikri Zamir Mohamad Munir
2 MEI — “Human beings are by nature political animals.” ~ Aristotle
Saya fikir belum ada sebuah pemikiran hebat yang ditulis ketika penulisnya goyang kaki meneguk air Milo di rumah sedangkan pada masa yang sama rakyat kelas bawahan bergelut dengan rejim pemerintah.
Buya Hamka menulis di dalam penjara. Tiga per empat Risalah an Nur ditulis ketika Said Nursi dibuang daerah ke Barla. Namakan sahaja siapa, Mao Tse Tung, Sun Yat Sen, bahkan Pramoedya membaca kepada rakannya di dalam penjara Trilogi Rumah Kaca beliau.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 sejurus selepas perhimpunan tamat menyatakan perhimpunan Duduk Bantah itu sebagai berjaya dengan tidak kurang dari 250,000 orang yang menyertainya. Insiden Sabtu, 28 April itu menggemparkan negara.
Media arus perdana menjalankan kerjanya dengan begitu baik sekali. Akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian mencetak gambar kereta polis yang diterbalikkan. Laporan berita TV3 dan RTM pula memberi perincian perihal polis yang dipukul dengan pelbagai objek.
Kelihatannya seolah-olah negara sedang huru hara. Peserta Bersih 3.0 digambarkan sebagai perusuh yang ganas. Pendukung Bersih 3.0 diperlihatkan sebagai anasir jahat yang ingin menumbangkan kerajaan. 250,000 rakyat ini turun untuk menyebabkan kekacauan terhadap keamanan negara!
Seorang rakan saya di United Kingdom menceritakan mengenai Rage Against The Machine yang membuat konsert sebagai bantahan terhadap kapitalisme. Juga diceritakan oleh beliau mengenai konsert terakhir Bob Marley yang telah menemukan dua seteru politik Jamaica di atas pentas di mana pada akhirnya mereka berdua bersalaman. Lalu ditanyakan kepada saya, mengapa Bersih 3.0 tidak menerima tawaran DBKL untuk membuat demonstrasi di dalam Stadium Merdeka?
Saya pernah menulis mengenai hal ini pada Bersih 2.0 yang lalu. Tuntutan Bersih adalah tuntutan yang mencerahkan. Sebelum Bersih ditubuhkan, tiada siapa pernah menyoal Mahathir Mohamad perihal pilihanraya yang adil dan telus.
Bersih juga telah menyebabkan seluruh rakyat Malaysia kini tahu bahawa Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya negara mereka dan Timbalannya adalah ahli berdaftar Umno, sebuah parti komponen pihak kerajaan.
Stadium sifatnya tertutup. Perihal reformasi minda memerlukan perkara yang mencerahkan dan terbuka. Dataran Merdeka adalah tempat yang paling sesuai untuk Bersih 3.0 memberi mesej kepada kerajaan bahawa mereka mempunyai sokongan dan dukungan yang kuat dari rakyat. Jumlah 250,000 jika dikumpulkan di Dataran Merdeka akan menyebabkan mesej utama Bersih 3.0 sampai sehingga ke Kuala Tembeling mahupun di Long Semadoh, Lawas.
Saya fikir perkara ini jelas. Bersih 3.0 bukan badan amal untuk mengutip derma jualan kacang sambil mengadakan konsert Siti Nurhaliza. Bersih 3.0 adalah badan pendesak. Di akhirnya, bukan soalan Stadium Merdeka yang perlu ditanya. Soalan sepatutnya adalah mengapa tidak dibenarkan Dataran Merdeka?
Pasca Bersih 3.0 28 April yang lalu memperlihatkan perkembangan menarik di mana ramai pejuang-pejuang bangsa dan agama keluar berjihad melalui status Facebook serta klik LIKE untuk menghentam peserta Bersih 3.0. Adakah demonstrasi jalanan perlu ketika negara ini aman dan damai? Apakah tiada alternatif lain selain demonstrasi jalanan? Tidakkah menyertai Bersih 3.0 ini satu tindakan sia-sia?
Berikut adalah soalan logik-rasional yang biasa diajukan oleh pejuang bangsa dan agama tersebut. Tokoh semiotik Rusia J.U.M. Lotman mengungkapkan bahwa “culture is constructed as a hierarchy of semantic system”. Mari kita analisis pendekatan Bersih 3.0 ini melalui konsep tanda dan semantik di dalam semiotik.
Charles Sanders Pierce, seorang ahli falsafah mencadangkan tiga jenis tanda iaitu ikonik, indeksikal dan simbol. Untuk mengaitkannya dengan Bersih 3.0 secara mudah, ikonik dan indeksikal adalah proses. Simbol adalah “causal connection”, sebagai tanda yang akan memberi isyarat.
Bersih 3.0 dilaksanakan setelah Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dikatakan tidak memberi komitmen khusus berkaitan penambahbaikan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 dengan tidak memberikan tarikh pelaksanaan setelah diluluskan oleh Parlimen secara terburu-buru bulan lalu. Manakala tuntutan untuk menghapuskan rasuah dan politik kotor berkaitan dengan kesalahan pilihan raya dan piawaian tatalaku tidak disentuh langsung oleh PSC.
Jika Bersih 3.0 Duduk Bantah dapat dilakukan di Dataran Merdeka dengan dihadiri 250,000 rakyat pelbagai kaum dan umur, adalah dikhuatiri angka 250,000 tersebut akan menjadi tanda dan simbol jumlah rakyat yang tidak berpuas hati. Dengan demikian dapat difahami secara mudah mengapa kerajaan mahupun pihak DBKL tidak membenarkan Bersih 3.0 dibuat di Dataran Merdeka. Ini akan membahagi-bahagikan peserta sekaligus memberi tanda dan simbol peserta yang kecil jumlahnya.
Bersih 3.0 dianggap berjaya pada kali ini bukan hanya kerana kejayaan merempuh “barb wire” dan “barricade” di Dataran Merdeka. Lebih dari tu, Bersih 3.0 berjaya mengajak golongan “ignorance” yang selama ini leka dengan Mentor, Showdown dan Pencarian Model Tudung Fareeda untuk bersama-sama berbahas mengenai “free and fair election”.
Pemain Facebook tegar, Dota serta penyokong Manchester United akhirnya mengeluarkan status-status mengenai Bersih 3.0 pada malam 28 April sehingga menenggelamkan perlawanan bola sepak di antara Malaysia dan Sri Lanka pada malam tersebut.
Sekurang-kurangnya, tahap “political awareness” masyarakat bertambah. Selain mengambil tahu mengenai Jom Heboh, mahasiswa dan anak muda mula membaca mengenai 8 tuntutan Bersih 2.0, serta apakah makna akronim PSC atau SOP.
Jika diteliti kembali video demonstrasi 28 April yang lalu, hampir tiada “hot chicks” yang menyertai Bersih 3.0. Anak-anak muda perempuan yang hadir semuanya adalah “hijabster”. Sekurang-kurangnya, Bersih 3.0 berjaya melahirkan ramai “Slacktivist” keluar dari kepompong “ignorance” mereka. Harapnya “political awareness” mereka mengambil momentum Bersih 3.0 sebagai inersia.
Bersih 3.0 akan kekal menjadi mini naratif. Percayalah, kisah inspirasi mereka yang turun ke jalanan 28 April yang lalu tidak akan mendapat tempat di media arus perdana mahupun pendapat awam. Mereka yang tidak percaya kepada “political will” Barisan Nasional akan sentiasa turun dengan harapan “subconscious mind reform” mereka akan mengatasi kebobrokan ketidakadilan proses pilihanraya.
Proses keadilan ini akan menjawab logik mengenai empat negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada 2008. Jika “free and fair election” dapat dilaksanakan dengan kehadiran “international observer”, kemungkinan besar Pakatan Rakyat sedang memerintah kini.
Versi meta naratif pula akan sentiasa dibenarkan oleh golongan elitis. Saya setuju, para demonstran tidak mengkuti Standard Operation Procedure yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih. Namun yang demikian, Polis Diraja Malaysia juga tidak mengamalkan SOP mereka ketika berhadapan dengan demonstran.
Persoalannya, apa selepas Bersih 3.0? Adakah kerajaan akan kekal tanpa mengambil sebarang inisiatif terhadap tuntutan terbaharu Bersih 3.0? Adakah Polis Diraja Malaysia akan kekal dengan SOP mereka yang pro-kerajaan? Apakah status Pengerusi SPR Malaysia dan timbalannya? Atau adakah Malaysia akan menjadi lebih baik tanpa Bersih versi 1.0, 2.0 atau 3.0?
Bersih 3.0 dihadiri sejumlah 250,000 orang. Jika benar peserta demonstrasi ini berniat jahat untuk menghuru-harakan negara, saya fikir Kuala Lumpur sudah menjadi padang jarak padang tekukur petang Sabtu 28 April tersebut. Berapa banyak kedai Seven Eleven sekitar Jalan Masjid Jamek, Jalan Masjid India atau Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dibuka pada hari tersebut dimusnahkan oleh perusuh?
Berbanding jumlah massa tersebut, tiada satu pun kemusnahan terhadap harta benda awam dilaporkan sehingga kini. Sebaliknya, mengapa kerosakan yang dilaporkan hanyalah terhadap harta benda polis?
Ya, Anwar Ibrahim adalah “political animal”. Namun saya tidak fikir menyerangnya dengan cara ad hominem akan membenarkan penipuan di dalam proses pilihanraya. Menariknya, saya fikir Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia dan Timbalannya adalah lebih “animal” dari Anwar Ibrahim kerana mereka adalah ahli berdaftar Umno! Soalan paling fundamental yang perlu ditanya kepada pihak kerajaan adalah mengapa rakyat marah, bukan mengapa rakyat turun ke jalanan.
Berikan Pakatan Rakyat satu perlawanan yang adil. Jika benar majoriti masih percaya kepada Barisan Nasional, apa yang perlu ditakutkan?
“The foolish man seeks happiness in the distance; the wise grows it under his feet.” ~James Oppenheim
* This is the personal opinion of the writer and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.




