7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Side Views

Bisik-bisik — Awang Selamat

February 01, 2012

1 FEB — Pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof bahawa orang Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun layak berbuat demikian adalah sesuatu yang mendukacitakan.

Awang tidak faham kenapa masih ada orang Melayu begitu liat untuk menunaikan tanggungjawab mereka mendaftar sebagai pemilih.

Mereka perlu faham setiap undi adalah amat penting dalam menentukan corak pentadbiran negara, jangan sampai kita hanya pandai bersorak di majlis-majlis politik tetapi apabila pilihan raya kita hanya menjadi pemerhati sahaja.

Lebih penting daripada itu, orang Melayu perlu memahami bahawa jika mereka ingin mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan maka mereka perlu menjadi pengundi.

Ia disebabkan tanpa kuasa politik yang kuat orang Melayu tidak akan mampu memperjuang dan mempertahankan mereka.

Awang amat berharap orang Melayu akan segera sedar mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

Janganlah kita memberi alasan remeh kononnya sibuk dengan urusan harian sehingga tidak mampu mengambil masa hanya beberapa minit untuk berbuat demikian.

Bandingkanlah sikap orang Melayu dengan kaum lain yang begitu aktif mendaftar sebagai pemilih. Keadaan itu berlaku kerana mereka amat memahami betapa pentingnya nilai satu undi.

Awang berharap, sikap malas untuk mendaftar sebagai pemilih tidak berterusan kerana kita tidak mahu dalam pilihan raya nanti, orang Melayu hanya menang sorak, kampung tergadai.

Awang – Dah daftar. — Utusan Online

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.