Bisik-bisik mingguan — Awang Selamat
18 MAC — Guan Eng ‘tuhan’
Setelah gagal menyaingi keterampilan Presiden MCA, Chua Soi Lek dalam perdebatan tempoh hari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerima satu lagi tamparan.
Kali ini, beliau menerima kritikan daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung isu projek mega di negeri itu.
Isu tersebut menyaksikan perang mulut antara Guan Eng dan Presiden CAP, S.M Mohamed Idris. Kalau dalam perdebatan dengan Soi Lek, beliau nampak rasis, dalam isu melibatkan CAP pula, terserlah emosionalnya.
S.M Mohamad sebelum itu melahirkan kekecewaan terhadap Guan Eng kerana kurangnya rundingan awam oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dalam beberapa projek mega yang dilaksanakan.
Guan Eng dalam reaksinya bertindak seperti budak-budak. Sudahlah tidak memberikan penjelasan yang sewajarnya, beliau mendakwa ia bukan pertama kali S.M Mohamed membuat kesilapan. Gambaran yang diberikan seolah-olah peneraju CAP itu selalu membuat kesilapan sedangkan orang ramai tahu hakikat sebenar integriti dan jasa S.M Mohamed.
Ketika Guan Eng masih berhingus dan berlampin, S.M Mohamad sudah menyemai bakti kepada masyarakat. Keunggulan dan komitmen beliau tiada tandingan. Pada Awang, beliau layak untuk dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel. Lagipun beliau lebih memahami Pulau Pinang berbanding Guan Eng, yang dilahir dan dibesarkan di Melaka, cuma bernasib baik menang pada PRU lepas di Pulau Pinang.
Kerap juga Awang tertanya apakah tiada pemimpin DAP tempatan yang layak diangkat menjadi Ketua Menteri tetapi itulah kronisme. Pemimpin utama DAP Lim Kit Siang memang sudah lama mengatur untuk melonjakkan anaknya itu sehingga akhirnya menjadi Setiausaha Agung dan pemimpin kerajaan negeri. Ramai pemimpin DAP lain yang berbakat terpinggir.
Guan Eng juga dilaporkan tidak mahu mengungkit kesilapan lalu S.M Mohamed kerana sudah tua dan merupakan tokoh disegani. Kalau benar beliau sudah tua dan disegani, itu bukan cara menjawabnya. Ramai yang terkejut dengan reaksi Guan Eng. Di kalangan pemimpin kaum Cina termasuk Ketua Wanita MCA Tan Cheng Liang, menganggap beliau biadab dan sombong. Awang sudah lama tahu tentang perangai Guan Eng yang tidak boleh menerima kritikan. Beliau mudah melenting jika ditegur. Mana-mana media yang mengkritik beliau, akan diboikot dan dilemparkan dengan pelbagai dakwaan. Bayangkan seorang pemimpin parti dan kerajaan negeri boleh menuduh akhbar sebagai penjahat tetapi itulah yang Guan Eng lakukan.
Demokrasi dan kebebasan bersuara yang beliau serta DAP laungkan sebelum PRU 2008, hanyalah retorik murahan. Awang sudah faham sangat mengapa beliau mudah melenting antaranya kerana itulah strategi beliau agar tidak menjawab persoalan sebenar. Dalam isu kritikan CAP, memang ada asasnya kerana kerajaan negeri banyak melaksanakan projek mega. Baru empat tahun mentadbir, projek mega lebih menjadi tumpuan tetapi sangat kurang dirujuk kepada rakyat terlebih dahulu menerusi rundingan awam. Awang ingin bertanya apakah ini kerajaan negeri untuk rakyat atau untuk nafsu sendiri? Dari persepsi rakyat, sekali lagi, Guan Eng kelihatan gagal. Apatah lagi adalah satu kesilapan untuk berbalah dengan tokoh seperti S.M Mohamed. Awang tertarik dengan reaksi balas beliau: “Ini bukan amalan demokrasi. Demokrasi bermaksud berkongsi kuasa dengan rakyat.” Malah S.M Mohamed mengingatkan pemimpin politik agar jangan menganggap diri terlalu berkuasa umpama tuhan atau malaikat. Meskipun tidak menyebut nama, semua boleh tahu pada siapa ia ditujukan. Mesej yang keras dan jelas. Tiada pemimpin lain sebelum ini yang dikaitkan begitu. Malulah pada diri sendiri.
Kebangkitan gay
Awang makin terganggu dengan sekian banyaknya laporan kejadian seks sejenis termasuk jenayah berkaitannya kebelakangan ini.
Di Indonesia baru-baru ini, seorang ulama terkenal, Habib Hasan Assegaf disoal siasat berhubung dakwaan beliau melakukan penderaan seksual terhadap budak-budak lelaki.
Beliau didakwa berbuat demikian selama enam tahun. Menurut laporan agensi berita, kes itu mencetuskan kemarahan banyak pihak dan Habib dilabel sebagai ‘ulama gasang’.
Beliau mempunyai jemaahnya sendiri dikenali sebagai Nurul Mustofha. Jemaah itu adalah yang terbesar di Jakarta dan sering mengadakan ceramah di tempat-tempat awam sehingga menyebabkan banyak jalan ditutup.
Pendedahan mengenai perbuatan ulama itu menggemparkan Indonesia. Kisah tokoh dan individu berimej agama terjebak gejala songsang, makin kerap terbongkar di seluruh dunia.
Pada Januari lalu, seorang paderi Katolik dihukum penjara enam tahun oleh mahkamah di Jerman kerana melakukan penderaan seksual ke atas tiga budak lelaki, dua daripadanya adik beradik.
Kes tersebut turut menjadi perhatian ramai dan menggegarkan Gereja Katolik Roman di negara itu. Bukan satu atau dua tuduhan dihadapi oleh paderi berkenaan. Sebaliknya ia melibatkan 250 tuduhan yang dilakukan dalam tempoh lapan tahun.
Awang tertarik dengan kenyataan paderi itu yang namanya tidak didedahkan, ketika perbicaraan. “Adalah salah jika saya kata ‘tidak’ tetapi untuk menyatakan ‘ya’ akan menjurus kepada kebenaran.”
Tiada sindrom penafian mahupun pembohongan di dalam mahkamah. Paderi itu masih ada keberanian untuk bercakap benar.
Kes tersebut mengingatkan Awang kepada penderaan seksual ke atas 67 kanak-kanak pekak dan bisu di Institut Katolik di Verona, Itali oleh paderi-paderi antara tahun 1950-an dan 1980-an.
Dalam pada itu, Awang turut teruja dengan kelantangan individu tertentu dalam mengekang gejala gay. Pada awal bulan ini, pemimpin kanan Katolik Scotland, Kardinal Keith O’ Brien menyifatkan rancangan Perdana Menteri Britain, David Cameron untuk membenarkan perkahwinan sejenis sebagai gila.
Katanya, tindakan itu sebagai subversif keterlaluan ke atas hak asasi manusia yang telah diterima secara universal. “Perkahwinan sejenis akan menghapuskan keseluruhan asas kekeluargaan iaitu ibu dan ayah untuk setiap anak,” tegas beliau.
Baru-baru ini, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko dalam satu pertikaman lidah mengkritik Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle yang dikatakan mengamalkan gaya hidup homoseksual.
“Lebih baik menjadi diktator daripada gay,” komennya itu mencetuskan kemarahan kerajaan Jerman.
Paling merunsingkan Awang adalah gejala gay di Malaysia. Ia bukan setakat kisah seorang pemimpin yang mengamalkan homoseksual (enggan membuat pengakuan walaupun sudah banyak bukti) dan gerakan mempromosi gejala seks songsang atas nama hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.
Lebih daripada itu adalah ancaman gejala seks sejenis di peringkat akar umbi yang kian membimbangkan. Ahad lalu, Mingguan Malaysia dalam laporan utamanya menyiarkan hasil kajian seorang kaunselor terkenal, Hushim Salleh bahawa gejala LGBT meningkat secara mendadak.
Paling mengejutkan, daripada 10 lelaki, tiga adalah gay. Itu tidak termasuk pondan. Malah di sesetengah kawasan jumlahnya lebih tinggi iaitu lima daripada 10 lelaki adalah gay.
Awang sedih kerana kebanyakan mereka adalah daripada golongan muda Melayu, sebahagiannya ‘dilindungi’ oleh rangkaian gay. Kelab-kelab gay yang beroperasi secara rahsia juga kian banyak. Begitu juga lawan web dan blog LGBT yang mempromosi budaya seks songsang.
Kini Malaysia berdepan dengan kebangkitan LGBT, yang bagaikan tidak terbendung. Mengapa peningkatannya begitu mendadak adalah kerana dua faktor. Pertama, ia berkait dengan fenomena global yang penularannya berjaya diperhebatkan ke negara ini menerusi perjuangan terancang pertubuhan hak asasi dan anasir asing.
Kedua, kerana sudah ada inspirasi baru dalam kalangan golongan LGBT iaitu seorang pemimpin politik sebagai ikon gay. Itulah pengakuan ramai pengamal seks songsang. Bayangkan jika pemimpin tersebut suatu hari nanti diangkat menjadi pemimpin negara. Nauzubillah.
Anwar dan Indonesia
Berdasarkan banyak petunjuk, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim makin hilang pengaruh. Ceramah-ceramahnya di seluruh negara mendapat sambutan dingin.
Di Indonesia, makin banyak pihak terutama pertubuhan Islam melemparkan kritikan terhadap beliau. Ramai pemerhati di republik itu turut mempersoalkan kekerapan Anwar berkunjung ke sana. Antara ungkapan digunakan adalah pemilu (pilihan raya) di Malaysia, lobinya di Indonesia.
Awang diberitahu oleh seorang teman editor akhbar di Jakarta , rakaman video seks Anwar yang pernah menggemparkan Malaysia, kini menjadi perhatian di negara jiran itu. Ramai yang pertama kali melihat video itu yakin bahawa pelakunya ialah Anwar. “Indonesia bukan Malaysia. Di sini , tiada tempat untuk politikus yang tiada integriti, mempunyai masalah moral yang serius dan yang asyik berbohong,” katanya.
Ternyata Anwar kini menjadi liabiliti kepada gerakan pembangkang di Malaysia. Isu kenyataannya menyokong Israel memburukkan lagi keadaan. Pendedahan terbaru mengenai bantuan asing dalam jentera Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) PKR menambah kebimbangan orang ramai. Itu belum bercakap tentang dana daripada luar.
Baru-baru ini, ahli-ahli Parlimen pembangkang terpaksa menyelamatkan Anwar dalam isu Israel. Sampai bila kemungkaran dan hipokrasi beliau mahu dilindungi? Daripada isu skandal seks, dakwaan biseksual, integriti hinggalah pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara.
Kini ramai ahli PAS resah kerana parti itu masih tunduk dan terikat kepada Anwar. Persubahatan itu menjadikan PAS hanyir dan busuk selain dayus. — Utusan Online
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.




