Side Views

Budaya samseng: Itulah dalil jelas nak kehilangan kuasa — Aspan Alias

February 20, 2012

20 FEB — Hari ini saya mendengar apa yang berlaku di Semberong, Johor malam tadi. Mengikut laporan, kereta ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, telah dibaling dengan berbagai-bagai objek pada 11.30 malam tadi dan ini merupakan satu budaya yang sedang terbentuk didalam Umno, iaitu budaya samseng. Budaya memaki hamun dalam Umno sudah meningkat kepada budaya samseng pula.

Tidak perlu seseorang itu untuk memihak kepada mana-mana pihak tetapi jika benar perkara ini berlaku, maka sahlah Umno sedang membentuk satu budaya samseng, sebagai satu lagi kaedah untuk menakut-nakutkan orang ramai dari menyokong pihak yang menentang Barisan Nasional.

Kelakuan kumpulan yang mengganggu program pihak PR ini adalah satu tindakan yang telah keluar jauh dari moral politik apatah lagi yang melakukan perkara yang tidak bertamaddun ini adalah di kalangan pemuda Melayu.

Tindakan mereka ini dibiarkan sahaja oleh pihak penguatkuasa undang-undang, iaitu pihak polis kita. Politik ini adalah perang psikoloji bukannya peperangan terbuka seperti peperangan tentera diantara dua negara yang bersengketa.

Apa yang dilakukan oleh pihak yang menyokong parti pemerintah ini menunjukkan indikasi yang amat jelas, yang parti pemerintah sedang berada didalam keadaan yang panik kerana takut dengan sokongan pihak alternatif yang kian hari kian membesar dan kuat.

Yang amat menjijikkan pihak tertentu tidak dapat menerima hakikat yang mereka adalah seperti telur dihujung tanduk bersabit dengan sokongan rakyat terhadap mereka. Oleh kerana sudah terlalu biasa dengan kuasa sejak berdekad-dekad dahulu, kehilangan sokongan dan kuasa ini amat memedihkan mereka. Sakitnya ibarat memisahkan kulit dengan daging.

Bahagian Semberong ini adalah kawasan yang diwakili oleh Hishammuddin Husein, Menteri Dalam Negeri negara kita. Apa yang berlaku ini memang menjejaskan imej menteri itu, apatah lagi tindakan polis mendiamkan sahaja apa yang berlaku dihadapan mata kepala mereka itu adalah menakutkan kepada sesiapa yang kuat berfikir tentang masa depan anak-anak dan generasi kita.

Setelah kita mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, kita masih lagi terbelenggu dengan budaya samseng yang menjijikkan ini semata-mata untuk mendapat kemenangan undi didalam pilihanraya. Kalau beginilah keadaannya, apakah perbezaannya diantara pemerintahan diktator dengan pemerintahan demokrasi?

Kalau begini keadaan elok kita haramkan sahaja semua parti dalam negara ini dan kepada siapa yang sedang memerintah, perintahlah negara ini sesuka hati seperti mentadbir reban ayam mak bapak kita.

Bagi saya kelakuan dan gelagat samseng ini adalah kerja yang amat hina sekali dan tidak pula mendapat teguran dari parti mereka. Takkanlah untuk mengekalkan kuasa ahli-ahli serta penyokong parti pemerintah sanggup menjadi kumpulan haram samseng dan mengganggu kegiatan parti lain.

Bagaimanakah negara dan rakyat untuk membuat persediaan untuk menjadi rakyat negara maju yang berpendapatan tinggi jika masih terkongkong dengan budaya rakyat negara dunia ketiga. Tidak hairanlah kenapa setangah rakyat kita berpendapat yang negara kita ini adalah negara Zimbabwe atau Congo yang berlainan namanya.

Bagaimana kita boleh mengaku yang negara kita adalah negara yang aman sedangkan samseng-samseng berkeliaran disana-sini untuk memerhatikan segala kegiatan yang asasi bagi rakyat yang inginkan perubahan.

Keinginan perubahan yang sedang dilakukan oleh rakyat ini adalah hak mereka. Negara ini bukannya BN yang punya tetapi dipunyai oleh semua rakyat yang berbagai kaum, agama, budaya dan cara hidup mereka.

Sampai bila mereka hendak terus berkuasa dengan menakut-nakutkan rakyat? Pemimpin BN khususnya Umno nampaknya sudah hilang hidayah sehinggakan cara samseng kini menjadi begitu lumrah. Bulan lepas dua kejadian di mana usaha setengah pihak untuk menganjurkan perkumpulan untuk politik diganggu di Selangor sehinggakan ada yang telah dimasukan ke hospital kerana kecederaan yang di alami hasil dari tindakan samseng ini. Entah apa imbuhan yang mereka dapat dari tindakan samseng mereka ini tetapi ia nyata merupakan satu budaya yang ketinggalan zaman.

Rakyat harus melakukan sesuatu untuk menolak budaya ini. Semua diantara kita tahu bagaimana hendak melakukannya. Kita lakukan penolakan ini dengan cara yang paling berhemah dan kita tidak boleh terikut-ikut dengan budaya samseng yang menjijikan ini. Hanya lakukan sesuatu yang dihalalkan oleh undang-undang didalam peti undi semasa pilihanraya nanti.

Kita ambil tindakan dengan memberikan reaksi terhadap kegiatan samseng ini dengan cara yang terbaik sesuai dengan “attribute” manusia yang merupakan secantik-cantik kejadian Tuhan ini.

Pihak yang cuba membetulkan keadaan ini jangan sesekali menggunakan kata-kata kesat dan tindakan samseng seperti yang dilakukan oleh mereka yang sedang merasa tertekan ini. Kita mesti yakin jika sesuatu pihak itu berkelakuan seperti samseng ini sahaja sudah menunjukkan yang mereka sedang berada dihujung hayat kuasa yang ada pada mereka sekarang ini.

Jika kita dinesta dan dihamburkan dengan kata-kata kesat hanya beristighfar banyak-banyak. Kita tunjukkan perbezaan diantara kita dengan mereka. Perbezaan inilah yang sedang diperhatikan oleh rakyat ramai sekarang ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.