Cadangan supaya Ambiga dihukum gantung itu pandangan orang tidak siuman — Aspan Alias
27 JUN — Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April yang lalu telah menjadi mimpi ngeri pihak kerajaan BN. Perhimpunan itu telah berlalu begitu lama tetapi rasa ngeri dan gerun itu masih lagi tidak susut.dan ramai pemimpin Umno Baru masih lagi menunjukkan perasaan takut mereka.
Perhimpunan itu tidak lebih daripada menuntut perkara yang ‘basic’ dalam pilihanraya yang lazim diamalkan oleh mana-mana kerajaan yang demokrasi. Oleh kerana Kuala Lumpur telah dibanjiri oleh tiga ratus ribu lautan manusia yang memberikan sokongan untuk pilihanraya yang bersih mereka (Umno) Baru tidak dapat menyorokkan rasa takut mereka. Tetapi hakikatnya sekarang ini Umno memang ada sebab untuk berasa takut, kerana parti itu akan mengalami kekalahan jika tidak dilakukan tindakan yang ‘unorthodox’ untuk menyelamatkan parti itu.
Rasa takut dan ngeri itu begitu jelas sehinggakan pemimpin-pemimpin besar Umno Baru termasuk Dr Mahathir menuduh perhimpunan itu adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan demonstrasi jalanan. Semua orang tahu bahawa kekecohan itu dimulakan oleh pihak polis dengan menggunakan agen ‘provocateurs’ untuk memulakan tindakan ganas polis itu.
Dengan melakukan itu dapatlah mengalihkan kesalahan kepada penganjur Bersih yang mereka (penganjur) telah melakukan usaha menggulingkan kerajaan dengan cara ganas. Bagi saya hanya orang yang berjiwa kecil dan pengecut sahaja sanggup memberikan tuduhan buruk itu kepada penganjur dan peserta perhimpunan itu.
Kalau cerita ini dibuat 20 tahun dahulu mungkin ia termakan oleh orang ramai, tetapi sekarang ini adalah zaman maklumat dan tidak semudah itu untuk Umno Baru dan kerajaan untuk mengalihkan kesalahan itu kepada pihak lain. Walau bagaimana pun masih ada sebahagian kecil yang percaya tentang cerita yang dibuat oleh pimpinan negara pada hari ini dan kita tidak boleh berbuat apa-apa. Memang ada kumpulan yang seronok dibohongi dan suka menyokong orang yang membohongi mereka itu.
Yang terakhir semalam kita terbaca seorang ahli Parlimen yang bernama Mohamad Aziz meminta Ambiga Sreenevasan, penganjur perhimpunan Bersih 3.0, digantung sampai mati kerana kononnya telah melakukan ‘treason’ terhadap negara dengan mengadakan perhimpunan untuk menjatuhkan kerajaan melalui kekerasan. Mohamad Aziz berkata yang Datuk Ambiga telah melakukan ‘treason’ kerana cuba menjatuhkan kerajaan Yang di-Pertuan Agong.
Kita tahu Mohamad Aziz sedang cuba untuk mendapatkan tempat dalam pilihanraya dan beliau bertindak menunjuk garang bagi pihak parti dan pemimpinnya di atas sana. Tetapi sepatutnya tidaklah sampai ke tahap sebegitu rendah dengan membuat cadangan yang tidak masuk akal itu. Carilah jalan lain untuk mendapat perhatian pucuk pimpinan parti beliau.
‘Treason’ terhadap negara memang satu kesalahan besar, tetapi tidaklah sampai penganjur perhimpunan Bersih pun dianggap sebagai kesalahan ‘treason’. Sesungguhnya apa juga keburukan yang dilakukan terhadap kerajaan Yang diPertuan Agong itu secara moralnya adalah tindakan ‘treason’.
Rasuah yang berluas-luasa yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan itu juga merupakan ‘treason’ terhadap negara dan Yang di-Pertuan Agong. Mencuri wang kerajaan adalah satu kesalahan besar terhadap negara dan Yang di-Pertuan Agong. Kalau begitu Ahli Parlimen Sri Gading itu patut seru supaya diambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin yang rasuah kerana itu merupakan tindakan ‘treason’ terhadap negara dan rakyat yang di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong itu.
Membeli alat persenjataan negara kita dengan harga yang berganda untuk mendapatkan komisyen besar misalnya adalah satu tindakan ‘treason’ terhadap negara. Meluluskan pinjaman beratus juta dari rakyat untuk memilihara lembu tetapi digunakan wang pinjaman itu untuk membeli hartanah dan kondominum itu lebih besar kesalahan kepada negara dan mereka juga perlu diambil tindakan kerana melakukan jenayah ‘treason’ terhadap negara.
Menggunakan wang rakyat hampir dua billion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anak itu merupakan tindakan ‘treason’ dan pemimpin ini juga patut diambil tindakan terhadap beliau.
Pendeknya apa-apa tindakan yang rasuah itu adalah tindakan ‘treason’ dan mereka wajar diambil tindakan undang-undang kerana jenayah ini. Mohamad Aziz patut melakukan instropeksi diri sendiri. Manalah tahu jika ada kesalahan-kesalahan besar yang beliau sendiri lakukan itu sebagai ‘treason’.
Oh ya, satu lagi yang Mohamad Aziz patut lakukan ialah untuk membawa Dr Mahathir dan keseluruhan pimpinan Umno Baru yang telah menderhaka kepada Raja-Raja Melayu dalam krisis perlembagaan pada tahun 1993 dahulu. Kejadian itu merupakan insiden yang tidak ada tolok bandingnya terhadap negara yang dilakukan oleh Umno Baru semasa parti itu terdesak pada tahun 1993 itu.
Untuk pengetahuan pemimpin-pemimpin Umno Baru yang suntuk fikiran, Bersih 3.0 itu telah menggariskan lapan tuntutan untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Tunaikan tuntutan itu, serah kepada rakyat untuk memilih dalam pilihanraya nanti.
Bagi PR jika kalah mereka tidak akan melakukan kerja ganas tetapi kecenderungan pihak BN yang melakukan keganasan jika kalah dalam pilihanraya itu jelas ada. Sekarang pun penyokong-penyokong Umno Baru pun sudah mula melakukan tindakan jenayah melalui budaya ‘gangsterism’. Itu mereka (BN) belum kalah lagi. Kalau benar-benar kalah nanti tidak tahu apa pula jenayah yang mereka akan lakukan.
Sudah menjadi ‘attribute’ Umno Baru dan BN; semasa berkuasa melakukan jenayah, apabila hilang kuasa pun kecenderungan untuk melakukan jenayah itu pun sudah mula kita lihat di banyak tempat di negara kita sekarang.—aspanaliasnet.blogspot.com
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.




