Side Views

Campur tangan isu air Selangor! — Azman Anuar

September 22, 2012

22 SEPT — Kerajaan negeri Selangor pada 19 September lalu telah memaklumkan kepada Kerajaan Pusat tentang tindakan seterusnya untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor seperti yang dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

Makluman telah dibuat melalui surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bertarikh 14 September. Surat ini juga dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rujukan beliau.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan keengganan menteri dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA.

"Sehubungan itu, saya memaklumkan sekiranya menteri dan kementeriannya tidak memberi maklum balas yang bertentangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini, saya beranggapan pihak kementerian tidak mempunyai sebarang bantahan untuk saya meneruskan penstrukturan ini," ujar Abdul Khalid.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Bekalan Air Selangor menjelaskan hal sebegini penting kita tak boleh ambil sikap bermusuh kerana ia adalah masalah rakyat dan tidak boleh dipandang kecil.

Semalam, Muhyiddin memberitahu kepada wartawan Malaysia yang mengikuti lawatannya ke China yang beliau pun tak faham atas dasar apa Abdul Khalid mahu Peter Chin menjawab dan beri keputusan.

Muhyiddin sendiri sudah menjelaskan satu persatu termasuk isu Abdul Khalid mahu mengambil alih konsesi semua syarikat supaya dia dapat menstruktur semua bekalan air. Tetapi dalam keadaan yang sama proses itu akan mengambil masa.

"Dia memohon Kerajaan Pusat campur tangan tetapi saya jelaskan ini bukan bidang kuasa Kerajaan Pusat," kata Muhyiddin.

Abdul Khalid yang pernah menjadi tokoh korporat besar apabila memimpin Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Guthrie tak mungkin sudah lupa proses penggabungan dan pengambilalihan syarikat?

Menteri Besar Selangor itu boleh bertanya oleh sebab Kerajaan Pusat memegang satu golden share (saham emas) maka mereka perlu dapatkan “restu”. Bukan beliau tidak tahu bahawa golden share yang dipegang oleh Kerajaan Pusat itu untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

Malah Kerajaan Pusat melalui Menterinya telah menyatakan kerajaan negeri Selangor boleh meneruskan hasrat itu asalkan ada “kesanggupan pembeli dan persetujuan penjual”.

Kepentingan dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) 70 peratus, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) 15 peratus dan baki 15 peratus lagi dipegang oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS). Kerajaan Pusat melalui Menteri Kewangan Diperbadankan memegang “saham emas”.

Kepentingan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) pula dipegang oleh Gamuda Berhad 40 peratus, TSWA Sdn Bhd 30 peratus, KNS menerusi KPS 30 peratus dan satu saham emas oleh Kerajaan Pusat.

Pemegang kepentingan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd — 100 peratus KDEB, sementara Konsortium ABASS, 90 peratus dipegang oleh KNS menerusi KPS dan 10 peratus lagi oleh Operasi Murni Sdn Bhd.

Mengikut fakta korporat, kerajaan negeri Selangor sudah dua kali berusaha memasukkan tawarannya untuk menguasai kepentingan dalam syarikat-syarikat tersebut, malangnya dua kali juga ditolak oleh syarikat-syarikat konsesi.

Hakikatnya, apabila menyedari tawaran harganya tidak diterima oleh syarikat-syarikat air itu maka Abdul Khalid hendak menyuruh pula Kerajaan Pusat masuk campur tangan. Jelaslah ia bukan urusan jual beli yang telus sebaliknya cuba memulas tangan pemegang-pemegang saham untuk menyatakan persetujuan.

Kesannya sudah tentu tidak baik untuk urusan perjanjian kontrak dan pelaburan semasa dan akan datang. Jika begini kaedahnya, bagaimana dengan hasrat Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang sedia wujud dan yang akan masuk jika sikap kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat masuk campur. Mungkin pelabur pun bimbang trend campur tangan ini dan tidak berani untuk menjalankan bisnes di negara ini. Serba-serbi boleh berubah dan ditukar mengikut suka hati Menteri Besar.

Abdul Khalid tidak boleh mudah memutuskan untuk mengambil alih mana-mana syarikat kecuali mereka bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Jika terdesak sekalipun, Abdul Khalid tidak boleh menakut-nakutkan semua pelabur dan FDI sebagaimana dilakukan oleh seorang pemimpin di Amerika Latin yang menghak milikkan syarikat minyak asing, syarikat pembekal elektrik — semua yang ada kepentingan negara adalah hak milik kerajaan.

Sebagai tokoh korporat berpengalaman, Abdul Khalid semestinya sudah maklum dan masak dengan proses penggabungan dan pengambilalihan syarikat, malah kerajaan negeri juga memiliki saham-saham dalam syarikat-syarikat konsesi kecuali Puncak Niaga.

Bagaimana sebelah pihak Abdul Khalid sahaja yang boleh memberi kata dua kepada Kerajaan Pusat bahawa dalam tempoh pendek 14 hari, semua halangan mesti selesai atau penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor akan dijalankan.

Soalnya, tidak mungkin tokoh korporat yang kini empat tahun menjadi pentadbir kerajaan negeri jahil tentang undang-undang. Mana boleh apa yang dilakukan orang di jalanan mesti juga dibuat oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri — semua pihak mesti menegakkan undang-undang.

Memandangkan kerajaan negeri Selangor mempunyai ikatan dan perjanjian dengan semua syarikat konsesi perkhidmatan air, apakah Abdul Khalid tergamak melihat sahaja pegangan saham syarikat subsidiari itu pun mahu dilupuskan pada harga yang murah sebelum distrukturkan semula di bawah satu payung.

Abdul Khalid perlu diingatkan bahawa pegangan kerajaan negeri Selangor dalam syarikat konsesi air itu adalah juga pegangan rakyat Selangor. Walaupun hendak mengalihkan tempat daripada poket kiri ke poket kanan, kenalah mengikut urus tadbir korporat dan ketelusan yang teratur. Mereka harus selesaikan secara perundingan. Semua pihak perlu bersetuju.

Di dalam surat jawapan Kerajaan Pusat kepada Selangor, Muhyiddin juga menyebut supaya jangan dialih pandangan dari isu kepentingan negeri yang lebih besar iaitu tambahan bekalan air pada 2015. Jika tiada tindakan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berhadapan dengan krisis air yang cukup genting. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Talk of the web