Cara Guan Eng berdepan isu timbul tanda tanya — Manja Ismail
9 JULAI — Gosip kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah menjalin hubungan dengan bekas pegawainya, Ng Phaik Kheng, mungkin hanya menjadi perbincangan di internet jika tidak berlaku kekecohan di Dewan Undangan Negeri Melaka minggu lalu. Soalan ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Gan Tian Loo kepada ADUN Kota Laksamana yang juga isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, sama ada mengenali Phaik Kheng atau tidak, bukan saja mengejutkan banyak pihak tetapi mendapat tempat di hampir semua akhbar terutama akhbar Cina ekoran kekecohan dan reaksi pemimpin DAP sepanjang minggu lalu.
Tian Loo, sewaktu menggulung perbahasan usul membantah perhimpunan Bersih 3.0, menyoal Betty sama ada mengenali Phaik Kheng sambil menunjukkan foto Guan Eng yang tertampal plaster di dahi.
Walaupun Betty mengelak daripada mengulas tuduhan itu, rakannya, Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) bangun mencabar Tian Loo mengulangi soalan berkenaan di luar dewan sehingga berlaku cabar mencabar antara wakil DAP dengan penyokong kerajaan.
Tidak cukup dengan itu, keesokannya lima ADUN DAP termasuk Betty bertindak keluar dewan ketika persidangan baru bermula kerana membantah gambarnya disiarkan akhbar berhubung isu berkenaan.
Mereka turut mempertikaikan tindakan Speaker, Datuk Othman Mohamad membenarkan jurugambar mengambil gambar sewaktu berlaku kekecohan ketika Tian Loo membangkitkan isu Phaik Kheng.
Apabila mereka sekali lagi menimbulkan kekecohan dan mengingkari peraturan mesyuarat pada hari ketiga persidangan, lima ADUN DAP itu digantung enam bulan.
Walaupun Guan Eng pada Rabu lalu menafikan mempunyai hubungan sulit dengan Phaik Kheng serta menolak dakwaan kononnya Betty pernah menyerang dirinya atau sesiapapun, cara DAP menangani isu itu sejak ia ditimbulkan di Dewan Undangan Negeri Melaka itu lebih menimbulkan tanda tanya daripada meredakannya.
Menuduh Barisan Nasional (BN) khususnya MCA bermain politik kotor dan mencabar supaya tuduhan berkenaan diulang di luar dewan adalah taktik biasa DAP dan parti pembangkang apabila berdepan dengan isu yang mendedahkan keburukan mereka.
Yang peliknya ialah kenapa Guan Eng mengambil masa tiga hari untuk mengeluarkan kenyataan menafikan isu itu. Kenapa tidak pada hari pertama lagi atau ketika isu berkenaan dimainkan dalam internet sejak beberapa bulan lalu.
Turut menghairankan ialah hanya selepas enam hari tercetusnya isu berkenaan baru Betty tampil untuk mempertahankan suaminya. Pada satu sidang akhbar di Pulau Pinang kelmarin, beliau berkata suaminya tiada hubungan sulit dengan Phaik Kheng, sambil menolak dakwaan beliau pernah menyerang wanita itu.
Namun, sikap Guan Eng sendiri terhadap media termasuk akhbar Cina sejak akhir-akhir ini turut menimbulkan tanda tanya. Kalau sebelum ini hubungan Guan Eng dengan media dan wartawan akhbar Cina dilihat cukup baik, malah beliau sendiri kerap bercakap mengenai perlunya kebebasan akhbar, serangan terbarunya terhadap akhbar Guan Ming Daily, menunjukkan pemimpin DAP itu tidak banyak berbeza dengan kabanyakan ahli politik lain.
Akhbar berbahasa Cina itu, dalam laporan muka depannya pada Rabu lalu menyiarkan gambar Betty dan Guan Eng yang tertampal plaster di dahinya. Seperti kebanyakan ahli politik, Guan Eng ternyata tidak dapat menerima laporan akhbar yang dilihat tidak menguntungkan politiknya, lantas menuduh media mempunyai agenda.
Sebagai ahli politik, Guan Eng sepatutnya sedar segala percakapan, tindakan dan perbuatannya menjadi perhatian rakyat. Beliau seharusnya menerima hakikat bahawa fitnah, tohmahan dan konspirasi sama ada oleh pihak luar atau dari parti sendiri lumrah dunia politik. Bezanya selama ini tohmahan sedemikian lebih banyak dilemparkan kepada pemimpin BN dan bukan saja dilaporkan secara meluas oleh media, malah DAP sendiri turut menangguk di air keruh.
Justeru, Guan Eng tidak boleh menyalahkan BN atau MCA bila ada pemimpin mereka turut mengulas isu yang dihadapi beliau sekarang. Lebih penting lagi, beliau tidak boleh menyalahkan media yang hanya menjalankan tugas sebagai penyampai maklumat. Guan Eng, Betty dan DAP tidak harus melenting jika mereka di pihak yang benar.
Setakat ini mereka berdua sudah menafikan tohmahan itu. Rakyat hanya menunggu penafian satu lagi pihak yang turut dibabitkan dalam isu ini iaitu Phaik Kheng yang kini penyelia hal ehwal sebuah sekolah selepas berhenti berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri. Ketika pertama kali ditanya wartawan sejak isu ini timbul, Phaik Kheng meminta soalan itu diajukan kepada Betty. Apabila sekali lagi ditemui wartawan Jumaat lalu, Phaik Kheng masih enggan mengulas kerana sibuk mengendalikan persiapan sambutan ulang tahun sekolahnya. Kita percaya isu ini hanya akan terungkai apabila Phaik Kheng tampil membuat penafian. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.



