Cinta Nabi — Ahmad Lutfi Othman
23 SEPT — Insiden penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. seperti terancang dan berlaku pada sela masa tertentu. Ada-ada saja provokasi yang dicetuskan, baik melalui novel, karikatur dan terkini, filem.
Umat Islam yang diasuh untuk mengasihi Nabi melebihi mana-mana insan di dunia ini bingkas bangun serentak. Protes dan amarah itu meledak di mana-mana. Kecintaan kepada kekasih Allah itu tidak boleh diungkapkan sekadar melalui kata-kata dan rasional logika.
Dalam situasi begini, sambil mencari hikmah di sebalik kes cercaan itu, ia seperti menyuntik rasa sayang yang paling dalam buat teladan unggul itu. Malah, mendengar alunan nasyid syahdu yang menggetarkan, seperti Law Kaana Bainana, dan mengulangi selawat bisa membuatkan air mata mengalir deras. Menatap gambar kubah hijau Masjid Nabawi dan mengingati ziarah ke makam baginda terus menyejukkan jiwa.
Terdapat kelompok yang menekankan agar penghinaan itu dibalas dengan respons yang lebih wajar. Misalnya, kata sebahagian mereka, novel Salman Rushdie harus didepani dengan karya sastera yang memuliakan Nabi. Begitu juga dengan penampilan filem Islami, yang dikira dapat menjawab kebiadaban “Innocence of Muslims”.
“Pendokong Islam harus menguasai industri hiburan di peringkat global, terutama berkaitan filem dan televisyen,” seorang rakan mengusulkan.
Tanpa meremehkan cadangan itu, walaupun mengakui ia satu projek mega yang menagih komitmen, kewangan, kreativiti dan rangkaian pasaran luar biasa, serta mesti dimulakan di dalam negara terlebih dahulu, saya cuma mengingatkan bahawa reaksi spontan (yang mungkin dilihat kurang rasional dan antiintelektual) seperti sedang marak di seluruh dunia tidak harus (dan tidak mampu) “dilunakkan”.
Semasa umat Islam membantah “The Satanic Verses” pada 1988, ada wartawan Barat bertanya seorang penunjuk perasaan, “apakah anda sudah membacanya?” Dijawabnya tegas, “syukur kepada Tuhan kerana aku tidak membaca novel sekeji dan sehina itu”.
Saya menyokong penuh jawapan dari lubuk sanubari demonstran tersebut. Karya bersumberkan imiginasi yang jijik itu tidak perlu diteliti atau dinilai pun. Usah benarkan ia “membusukkan” rak buku kita. Ia selayaknya dibakar atau ditong-sampahkan. Apatah lagi dengan filem “Innocence of Muslims” yang kotor, hanyir dan sarat dengan dendam kesumat itu!
Novel, karikatur dan filem bangsat seumpama itu tidak perlu disanggah dengan karya Islami. Benar, aktivis Islam (termasuk kerajaan umat Islam) wajar terlibat serius dengan industri kreatif, dan memberi peluang kepada audien untuk mendapat pilihan lebih berkualiti, namun ia bukanlah untuk menyahut cabaran musuh-musuh Allah itu. Persetankan mereka dengan karya busuk bertaraf longkang itu.
(Kualiti industri filem dan drama tempatan begitu menyedihkan. Ia bukan saja gagal mempamerkan produksi yang dapat menyemai rasa cinta dan rindu kepada Nabi s.a.w. malah memberi gambaran buruk kepada Islam itu sendiri. Bukan pelik apabila karya yang dianggap membawa mesej Islam tetapi tetap memaparkan aksi yang memalukan Islam).
Namun, salah faham rakan-rakan bukan Islam, yang mungkin terkeliru dengan reaksi agresif kita apabila hal-hal sensitif dalam agama disentuh, mesti dijelaskan sebaik mungkin. Peluang menawarkan penerangan ketika mereka kelihatan ghairah ingin tahu terhadap “misteri kecintaan kepada Nabi”, tidak harus dilepaskan.
Apa pun, jangan takut kita dilabelkan ekstrim atau tertutup minda hanya kerana segera turun memenuhi jalan raya dan kawasan lapang sebelum sempat membuat “penilaian saksama” terhadap karya provokasi itu. Namun, tidaklah sampai kita mewajarkan tindakan membunuh Duta Amerika Syarikat, seperti pandangan seorang wartawan kanan Utusan Malaysia! — Harakahdaily
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.




