Side Views

Dalam pilihanraya lalu lebih 1 juta ahli Umno keluar parti semasa mengundi … Kali ini bagaimana? — Aspan Alias

15 FEB — Saya telah diberitahu oleh rakan-rakan dalam Umno yang parti itu akan membawa Tengku Ahmad Rithauddin, Pengerusi jawatankuasa disiplin parti, ke setiap negeri melalui badan-badan perhubungan Umno setiap negeri. Tujuannya ialah untuk memantau permasalahan yang besar didalam Umno dalam pilihanraya umum nanti, iaitu sabotaj oleh ahli-ahlinya sendiri.

Saya telah banyak menulis tentang kerapuhan sokongan ahli-ahli Umno terhadap partinya. Tidak pernah saya terlupa dalam pilihanraya 1999 dan 2008 begitu ramai ahli-ahli Umno telah mengundi parti-parti pembangkang dan itu merupakan satu perkara yang begitu ‘normal’ dalam Umno sekarang ini. Parti itu sedar yang ia tidak boleh mempercayai ahli-ahlinya apabila sampai waktu pilihanraya.

Umno ini merupkan satu parti besar tetapi masalah menguruskan ahlinya pun besar. Ahli-ahli Umno sekarang bukannya seperti dahulu, hanya mengikut lenggang dan tari pemimpin mereka. Sekarang mereka lebih kritis dari dahulu. Dalam pilihanraya yang lalu lebih dari 50 peratus (1.6 juta) ahli-ahlinya telah bertukar haluan dengan mengundi parti-parti ‘alternative’.

Jika semua ahli-ahli Umno itu menyokong partinya, masakan ramai calon-calon Umno telah rebah bergelimpangan dalam pilihanraya yang lalu kerana ditolak oleh pengundi-pengundi termasuk oleh ahli-ahlinya sendiri. Inilah masalahnya jika sebuah parti itu terlalu bergantung kepada jumlah ahlinya. Banyak parti-parti didunia ini termasuk di negara kita ini, berjaya tanpa ahli yang ramai. DAP hanya mempunyai 135 ribu orang ahli sahaja tetapi undi yang diperolehi oleh parti ini dalam pilihanraya yang lalu melebihi dua juta orang.

Yang penting bagi sesebuah parti politik terutamanya yang memerintah ialah kemampuan untuk menggubal dasar yang dihormati bukan sahaja oleh ahli-ahlinya tetapi oleh pengundi yang ramai. Selain dari dasar yang sempurna, dasar itu mesti dilaksanakan dengan baik tanpa tercemar dengan isu rasuah dan isu salah gunakuasa yang keterlaluan.

Sebaliknya Umno memilih untuk menjadi parti yang besar ahlinya sehinggakan sampai kehari ini ahli-ahlinya melebihi 3.2 juta orang. Kita faham kenapa Umno memilih untuk mengambil keahlian yang ramai. Tujuannya ialah untuk mengharapkan yang kesemua ahli-ahlinya akan mengundi parti itu dalam pilihanraya. Tetapi jika lebih dari 40 peratus orang Melayu menyertai tanpa tapisan maka parti itu akan disertai oleh ramai yang tidak ada perjuangan.

Tugas yang diberikan kepada Tengku Ahmad Rithauddin itu bukan kerja mudah kerana perasaan tidak puas hati ahli-ahli Umno terhadap kepimpinan sudah menyeluruh dan tidak ada cara untuk memantau perasaan dan tindakan individu ahli dalam peti undi itu. Umno telah mengabaikan perasaan ahli-ahlinya dan hanya mahu melakukan pembetulan sesudah penyakit ‘sabo menyabo’ itu sudah mengalir di dalam sanubari mereka. Dulu-dulu kritikan ahli-ahli yang sedar dianggap sebagai membangkang dan itulah yang saya hadapi semasa dalam Umno dahulu.

Ahli-ahli Umno nampak jelas bagaimana pemimpin-pemimpin yang mentadbir dan berjuang dalam parti hanya sambil lewa sahaja dan mereka tidak ditunjukkan tauladan yang baik oleh pimpinan mereka di setiap peringkat. Pemimpin Umno ada satu sikap kepimpinan yang meminta ahli-ahlinya, ‘do what I ask you to do, don’t do like what I do’.

Saya bercakap dan berhubung dengan rakan-rakan saya yang ramai didalam Umno setiap hari dan saya merasakan apa yang mereka rasa. Mereka merasakan mereka telah menjadi orang tawanan kerana mereka terpaksa mengangguk kepada perkara yang mereka tidak yakini. Mereka tidak dapat hendak berfikir kerana mereka dimainkan dengan perasaan rasis yang menebal. Mereka diminta untuk percaya yang hanya Umno boleh menentukan nasib masa depan orang Melayu.

Tetapi nasib mereka masih juga dalam keadaan yang sama; dari dahulu hingga sekarang. Lebih dari lima dekad orang Melayu dijanjikan dengan kemajuan bangsanya tetapi tidak juga maju. Mereka dijanjikan bulan dan bintang oleh Umno yang baru ini. Mereka tahu yang pimpinan Umno merupakan kepimpinan yang ‘clueless’ dan tidak tahu untuk mengatur kemajuan bangsanya dengan baik.

Ramai dikalangan ahli-ahli dan penyokong Umno didalam perkhidmatan awam juga sangat marah dengan apa yang berlaku dalam isu SSBA yang diluluskan oleh kabinet Najib. Penyelarasan gaji dilakukan oleh SPA sahaja, tidak seperti dahulu. Dahulu ada Suruhanjaya Di Raja diwujudkan untuk melakukan penyelarasan gaji kakitangan awam.

Sekarang itu dipertanggungjawabkan kepada pihak yang berkepentingan. Itulah sebabnya terdapat setangah penjawat awam hanya mendapat kenaikkan gaji kurang dari RM10 dan ada yang naik gaji mereka sehingga RM8000 kepada RM20,000 sebulan. Apa maknanya ini?

Mampukah Tengku Ahmad Rithauddin memantau perasaan semua ahli dan penyokong Umno ini dalam peti undi dalam PRU nanti? Justru itu, Umno sepatutnya menumpukan kepada masalah yang sangat besar dalam parti itu terlebih dahulu dari menuding jari kepada pihak pembangkang dalam semua hal.

Tetapi yang kita tahu sekarang, Umno mengakui bahaya yang mereka bakal hadapi tidak lama lagi. Itulah sebabnya orang seperti Tengku Rithauddin kembali penting untuk memantau geraklaku ahli-ahlinya dalam pilihanraya nanti. Perkara yang terbesar yang akan dihadapi oleh Umno ialah masalah calon yang bakal diturunkan nanti. Semuanya merasakan mereka adalah ‘winnable candidates’ dan tidak ada siapa yang tidak ‘winnable’ di kalangan pemimpin-pemimpin di bahagian-bahagian masing-masing.

Dalam kata lain Umno dan pucuk pimpinan sendiri tidak percayakan ahli-ahlinya yang ramai itu. Keadaan itu akan berlaku lagi kali ini kerana perebutan untuk menjadi calon dan banyak hal yang lain. Jika ahli-ahli Umno sendiri memangkah pembangkang, apa yang kita hendak sokong sangat Umno ini? — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments