Side Views

Daripada pendakwa kepada pembela — A. Kadir Jasin

May 26, 2012

26 MEI — Mengenai isu pula, saya hendak sebut sikit berkenaan bekas Peguamcara Kanan II Mohd Yusof Zainal Abiden yang gagal dalam pendakwaan liwat kedua Anwar Ibrahim menyertai pasukan yang akan membela beliau dalam kes langgar perintah mahkamah berkaitan demonstrasi Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Ketua Pembangkang Parlimen itu menyifatkan penyertaan Mohd Yusof dalam pasukan pembelaan beliau sebagai kemenangan simbolik.

Adalah sangat menarik melihat seorang bekas pegawai undang-undang berjawatan tinggi dalam kerajaan yang terbabit mendakwa Anwar tiba-tiba bertukar haluan menjadi pembela beliau pula selepas tidak berapa lama bersara.

Mungkin itulah keistimewaan perbicaraan kes liwat kedua Anwar di mana Mohd Yusof jadi pendakwa yang berkesudahan dengan pendakwa kalah dan Anwar menang.

Peristiwa ini juga membuktikan kefleksibelan kerjaya guaman. Ada masa dakwa yang dituduh dan lepas itu bela dia pula. Soalnya, kalau Mohd Yusof gagal dalam pendakwaan terhadap Anwar adakah dia akan berjaya dalam pembelaan Anwar?

Siapakah yang lebih baik untuk menilai peguam kalau bukan peguam yang lain. Maka berkatalah peeguam Amerika, Melvin “Bellicose” Belli: “There is never a deed so foul that something couldn’t be said for the guy; that’s why there are lawyers.”

Diterjemahkan ke bahasa Melayu, ia berbunyi lebih kurang: “Tidak pernah ada perbuatan yang begitu jahat sehingga tidak ada sesuatu yang boleh dikatakan (bagi membela) orang yang melakukannya; sebab itulah ada orang (yang bergelar) peguam.”

Dan penulis terkenal Amerika, Ambrose Bierce pula berkata: “Lawyers are one skilled in the circumvention of the law.”

Dalam bahasa Melayu, peguam adalah seorang yang pandai mencari jalan untuk memintasi undang-undang. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Talk of the web