7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Side Views

Debat Soi Lek, Guan Eng promosi diri — Manja Ismail

February 20, 2012
20 FEB — Debat ‘Kaum Cina di Persimpangan: Adakah Sistem Dua Parti Menjadi Sistem Dua Bangsa’ antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kelmarin, dari satu sudut berjaya menyuntik budaya baru dalam sistem politik dan demokrasi di Malaysia tetapi gagal menghasilkan kesimpulan mengenai masa depan sistem dua parti yang menjadi tajuk sebenar perbincangan.

Sebaliknya, debat selama sejam anjuran Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dengan kerjasama Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) itu, lebih banyak menyaksikan kedua-dua pihak cuba meyakinkan siapa yang benar-benar menjaga kepentingan masyarakat Cina di negara ini.

Dalam berbuat demikian, Dr Chua dan Lim saling memperlekehkan keberkesanan jalinan kerjasama parti masing-masing dengan sekutu mereka — MCA/UMNO dan DAP/PAS/PKR — yang barangkali boleh mengguris perasaan rakyat bukan Cina di negara ini.

Dr Chua, misalnya, menuduh DAP menjadi alat PAS untuk melaksanakan hukum hudud serta memberikan contoh kerajaan PAS Kedah mengamalkan pengasingan gender dan bantahan parti itu ke atas cadangan pembinaan pawagam di Bangi.

Beliau juga berkata, DAP memberi harapan palsu kepada masyarakat Cina kononnya mengundi pembangkang meningkatkan taraf hidup rakyat dan calon DAP boleh menjadi Ketua Menteri di luar Pulau Pinang.

Lim pula, seperti biasa menjadikan Umno sebagai sasaran dengan meminta pandangan Dr Chua berhubung skandal rasuah PKFZ yang menyebabkan beberapa tokoh MCA ditahan. Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mengambil peluang daripada debat berkenaan memberikan sebab kenapa pengundi Cina tidak menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

Beliau bagaimanapun mengelak daripada menjawab beberapa soalan Dr Chua dan hadirin seperti pelan ekonomi jangka panjang pembangkang, DAP parti perkauman, rumah kos rendah dan isu sekolah jenis kebangsaan Cina.

Sebaliknya, Lim lebih banyak menyalahkan Kerajaan Pusat apabila ditnya mengenai kegagalan pembangkang menunaikan janji mereka seperti tol Sungai Nyor di Pulau Pinang. Beliau juga tidak menjawab soalan hadirin yang mendakwa masyarakat Cina di Kedah ditindas di bawah pentadbiran kerajaan PAS dan tuduhan beliau cuba menyembunyikan isu pemberian kontrak pakaian rasmi ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membabitkan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

Yang jelas, tidak ada perkara baru atau sesuatu yang belum diperkatakan oleh kedua-dua pihak sebelum ini dalam debat selama sejam itu. Kebanyakan tuduhan dan jawapan sama ada membabitkan politik, janji pilihan raya atau isu lain yang disentuh, sudah banyak kali dilaporkan oleh media dan laman web.

Dalam kata lain, tuduhan, jawapan dan hujahan kedua-dua pihak dalam perdebatan kelmarin tidak banyak berbeza dengan ceramah politik oleh DAP dan MCA sebelum ini. Peluang yang sepatutnya digunakan untuk menggariskan dasar parti masing-masing untuk masa depan rakyat, bertukar menjadi medan menentukan siapakah yang lebat hebat mematikan hujah lawan.

Walaupun debat politik, yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, adalah budaya baru di negara ini, bukanlah sesuatu yang asing. Yang penting format perdebatan dan ketegasan pengantara bagi memastikan kedua-dua pihak berpegang pada tajuk yang diperbahaskan.

Pada Julai 2008, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berdebat dengan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Shabery Cheek atas tajuk ‘Hari ini bentuk Kerajaan Esok Turun Harga Minyak.’ Debat dipengerusikan Datuk Johan Jaaffar itu turut disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen.

Kerana formatnya agak kemas dan khusus, kedua-dua tokoh itu, walaupun turut menyentuh soal politik, tidak tersasar jauh daripada topik perbincangan.

Format perdebatan lebih kemas penting bukan saja untuk memastikan peserta berpegang pada isu yang dibahaskan tetapi mengelak mereka daripada menjadikan debat untuk mempromosi diri atau menyentuh peribadi lawan.

Dalam suasana politik yang matang seperti di negara maju, yang mahu dilihat dalam perdebatan politik bukannya kepetahan peserta berpidato tetapi hujah bernas yang tidak terkeluar daripada tajuk perbahasan. Aspek inilah perlu diberi perhatian oleh penganjur mana-mana perdebatan politik pada masa akan datang. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.