7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Side Views

Dewan Pemuda ‘penyelamat’ PAS? — Zulkiflee Bakar

February 14, 2012

14 FEB — Buat kali kedua, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz sekali lagi tampil menegur Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung perkara berkaitan dengan pendirian PAS.

Kali ini, anak kepada Mursyidul Am PAS itu menyelar Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian PAS menentang sambutan hari kekasih.

Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima oleh orang lain.

Untuk rekod, Nik Abduh juga pada 23 September tahun lalu, meminta Karpal menghormati pendirian kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah hak masyarakat beragama Islam sebagaimana PAS menghormati sebarang tuntutan orang bukan Islam.

Hakikatnya, dalam isu-isu melibatkan prinsip perjuangan PAS, Dewan Pemuda PAS dilihat lebih ke depan. Sebelum ini, ketika pemimpin-pemimpin utama PAS mengamalkan sikap membisu dalam isu Seksualiti Merdeka, dewan tersebut juga muncul menentang penganjuran acara songsang berkenaan.

Malahan, Dewan Pemuda PAS juga menyokong ketegasan Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan akidah umat Islam di Selangor biar pun apabila bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dipecat, mereka menyokong tindakan berkenaan.

Tetapi tidak apalah mungkin dalam isu Hasan, Dewan Pemuda PAS tidak mahu dilihat bertentangan dengan keputusan yang dibuat Jawatankuasa PAS pusat.

Bagaimanapun dalam beberapa isu adalah jelas Dewan Pemuda PAS lebih jauh ke depan dan dilihat lebih berani berbanding PAS induk yang dikatakan begitu menjaga hati sekutu parti tersebut, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Namun begitu apa yang diharapkan oleh penyokong-penyokong PAS adalah Dewan Pemuda parti itu tidak mengamalkan sindrom pepsi cola — satu sindrom yang pernah dikatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada mereka suatu ketika dulu.

Ketika ini bagi penyokong-penyokong PAS, Dewan Pemuda boleh menjadi “penyelamat” kepada masa depan parti itu yang dilihat semakin kelam-kabut akibat keghairahan untuk memburu kuasa bersama PKR dan DAP.

Keterujaan untuk ke Putrajaya dilihat banyak menjejaskan kredibiliti PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam, malahan paling mengecewakan penyokong PAS ialah dasar memperjuangkan penubuhan negara Islam dikorbankan.

Ini belum lagi termasuk sikap PAS yang tidak bertegas dalam soal mempertahankan perkara berkaitan dengan Islam.

Justeru dalam keadaan PAS dilihat teraba-raba mencari jalan politik yang perlu dituju dan hanya menjadi “pak turut” dalam pakatan pembangkang, ketegasan Dewan Pemuda PAS amat dialu-alukan.

Walaupun mungkin ketegasan Dewan Pemuda yang diketuai oleh Nasrudin Hassan tidak akan begitu digemari oleh pemimpin-pemimpin PAS yang begitu teruja bersahabat dengan PKR dan DAP namun mereka perlu menunjukkan ketegasan.

Dewan Pemuda PAS perlu faham, PAS kini bukanlah sebuah parti yang dilihat berprinsip dan konsisten dalam perjuangannya.

Sebaliknya parti itu dianggap sanggup mengorbankan segala-galanya demi untuk merebut kuasa dengan matlamat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang Umno menjadi parti utama.

Oleh itu, jika Dewan Pemuda PAS turut bersikap hanya “pak turut” dengan membiarkan sahaja parti tersebut diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP, maka mereka juga perlu bertanggungjawab jika PAS ditolak oleh rakyat.

Walaupun Dewan Pemuda PAS perlu mengikut peraturan yang telah digariskan oleh parti namun Perlembagaan PAS bukanlah kitab al-Quran yang tidak boleh dipinda. Dewan Pemuda perlu berani untuk tampil menyatakan yang benar itu benar dan yang batil itu batil.

Penulis sering membaca mengenai program tarbiyah yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS, ia ternyata bermatlamat melahirkan mujahid atau pejuang Islam sejati tetapi semua itu tidak akan bermakna jika perjuangan Islam semakin dipinggirkan oleh PAS.

Sebab itulah Dewan Pemuda PAS perlu bertindak sebagai “penyelamat” kepada parti berkenaan untuk memastikan biar pun apa pun berlaku, PAS perlu mempertahankan prinsip perjuangannya.

Kita amat memahami bahawa bukanlah satu tugas yang mudah untuk Dewan Pemuda PAS berbuat demikian apatah lagi dengan wujudnya “parasit-parasit” dalam parti itu tetapi mereka tidak ada pilihan.

Dewan Pemuda PAS boleh terus membiarkan PAS induk “hanyut” dengan agenda politik memburu kuasa sehingga meninggalkan perjuangan Islam atau bertindak menjadi “benteng terakhir” kepada parti itu.

Walaupun pemimpin-pemimpin Pemuda PAS akan dianggap tidak layak untuk memberi nasihat atau pandangan kepada parti induk berhubung sesuatu keputusan yang dibuat secara bersama dengan sekutu-sekutunya, namun jika ia berkaitan dengan masa depan dan arah tuju perjuangan PAS serta dilihat hanya menyebabkan kerugian kepada parti itu, maka Dewan Pemuda PAS tidak boleh berdiam diri.

Dewan Pemuda perlu faham bahawa di peringkat akar umbi perasaan tidak puas hati terhadap perjalanan parti berkenaan semakin ketara.

Mereka melihat pemimpin-pemimpin PAS semakin lemah dan tidak bermaya untuk mempertahankan kredibiliti PAs sebagai parti Islam. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab dewan berkenaan memulihkan kembali kredibiliti tersebut.

Sama ada Dewan Pemuda PAS hendak mengakui atau tidak, persoalan ke arah mana perjuangan parti itu begitu ketara di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Orang Melayu melihat PAS terlalu tunduk kepada PKR dan DAP serta mengamalkan sikap “double standard” apabila melihat isu berkaitan pakatan pembangkang.

PAS dilihat “memejam mata” apabila ada isu berkaitan dengan pakatan berkenaan tetapi begitu riuh-rendah apabila ia melibatkan pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno.

Oleh itu sikap “double standard” ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menjejaskan imej PAS yang sepatutnya berperanan sebagai penegak kebenaran.

Satu lagi perkara yang perlu diperbetulkan dan mungkin juga tidak harus dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS ialah menyalahkan Umno terhadap apa yang berlaku di dalam pakatan pembangkang.

Janganlah mengamalkan sikap apabila tercetusnya isu antara pakatan pembangkang maka Umno dituduh menjadi dalangnya sedangkan segalanya akibat kelemahan mereka sendiri.

Apa pun kita tidak pasti sejauh manakah keberanian dan kelantangan Dewan Pemuda PAS akan berterusan terutamanya apabila melibatkan sikap PKR dan DAP.

Tetapi apa yang pasti, setakat ini Dewan Pemuda PAS diletakkan harapan yang tinggi oleh penyokong-penyokong PAS untuk “menyelamatkan” perjalanan politik parti itu. Mereka tidak mahu PAS hanya sekadar menjadi “pak turut” dan mengiakan sahaja apa yang dilakukan oleh PKR dan DAP.

PAS bukanlah parti kecil dan tidak berwibawa, sebaliknya ia adalah sebuah parti yang jauh lebih besar serta berwibawa berbanding kedua-dua rakan sekutunya.

Namun segala sudah berubah akibat pengaruh pihak luar yang sedikit demi sedikit menghakis jati diri PAS. Oleh itu pilihan di tangan Dewan Pemuda PAS sama ada lantang bersuara demi kebenaran atau turut dibuai dengan impian merebut kekuasaan. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.