Side Views

Elok cari cara lain untuk memilih seorang Perdana Menteri — Aspan Alias

January 14, 2012

14 JAN — Sistem pemilihan pemimpin khususnya Perdana Menteri yang ada pada hari ini mungkin penyebab kepada keadaan celaru yang kita sedang hadapi sekarang. Oleh kerana Perdana Menteri di pilih dari pemimpin utama Umno maka pada hakikatnya seorang Perdana Menteri di pilih oleh lebih kurang 4,000 orang perwakilan Melayu Umno sahaja. Ia bermakna Perdana Menteri Malaysia itu di tentukan oleh 4,000 orang perwakilan Umno dan orang lain tidak ada kuasa untuk menentukan Perdana Menteri.

Kalau dahulu sistem ini merupakan sistem yang baik tetapi oleh kerana sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang di pilih oleh 4,000 orang perwakilannya ia sudah menjadi penyebab utama kepada kecelaruan yang kita sedang hadapi sekarang ini. Empat ribu orang perwakilan ini sebenarnya amat penting kerana merekalah yang menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Orang Melayu sendiri tidak boleh memilih siapa Perdana Menteri. Hanya perwakilan yang di berikan mandat oleh ahli-ahli Umno untuk menentukan siapa Presiden Umno dan secara konvensyennya seterusnya menjadi Perdana Menteri negara.

Oleh kerana sistem perwakilan inilah yang membuatkan menjadi perwakilan itu sebagai modal perniagaan. Menjadi perwakilan merupakan perniagaan yang sekejap tetapi memberikan pulangan yang besar kerana perwakilan boleh “dibeli” undi-undi mereka dengan harga yang lumayan oleh mereka yang sanggup membayar harga itu semata-mata untuk duduk di kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

Budaya ini sudah menjadi budaya yang menjadi penyebab kepada keruntuhan nilai politik Melayu selama sejak lebih dari dua dekad yang lalu. Kebanyakan pemimpin apabila terpilih menduduki Majlis Tertinggi itu menjadi keliru. Mereka tidak tahu samada mereka yang duduk dalam Majlis Tertinggi itu ada kah oleh kerana kepimpinan mereka atau oleh wang ringgit yang mereka taburkan semasa siri kempen pemilihan parti itu.

Apa-apa yang di beli itu tidak tahan lama. Apabila kita selalu sangat memakan makanan yang di beli dari luar akhirnya kita akan merasa jemu dan balik memasak di rumah untuk mendapatkan kelainan rasa makanan itu. Kata ramai yang mahir dalam isu permakanan, sesiapa yang memakan makan yang di beli dari luar terus-terusan kesihatan tubuh kita akan luntur dalam jangka masa panjang.

Mungkin oleh Umno di pimpin oleh mereka yang memimpin hasil dari pembelian undi itulah yang menyebabkan batang tubuh Umno itu sudah menjadi lemah dan menghadapi berbagai-bagai penyakit yang terminal. Yang jelas kita nampak sekarang Umno sedang menghadapi penyakit “cancer” yang “malignant” kerana semua sel yang baik-baik dalam Umno itu telah dimakan oleh sel-sel yang jahat. Akhirnya batang tubuh Umno itu semakin hari semakin lemah walaupun tubuh itu ada lah tubuh yang besar.

Apabila memilh pemimpin seperti memilih Perdana Menteri, mereka yang menghadapi “cancer” inilah yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan pemilihan. Seperti yang kita tahu mereka-mereka yang sakit dan tidak sihat tubuh badan dan pemikiran ini tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan yang betul. Dengan pilihan yang salah inilah yang telah memperjudikan nasib bangsa dan negara untuk masa depan.

Maka sistem memilih pemimpin utama negara dengan cara perwakilan ini patut di hentikan dan mencari “mechanism” yang lebih baik dari cara dan sistem sekarang. Pemilihan Perdana Menteri perlu dibuat oleh semua rakyat supaya pemilihan itu benar-benar pilihan rakyat, bukannya di buat oleh perwakilan yang tidak bertanggungjawab boleh melakukan “trading” terhadap undi-undi mereka dengan wang ringgit, kerana kepimpinan negara mesti pemimpin yang mendapat sokongan yang “legitimate” dari rakyat.

Cadangan ini tidak mungkin dapat di lakukan oleh kepimpinan yang sedang memimpin kita kerana cara perwakilan ini menjaga kepentingan peribadi mereka. Hanya satu cara sahaja untuk melakukan perubahan ini, iaitu untuk rakyat melakukan pemindahan kuasa dari yang ada sekarang kepada pihak yang lebih bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

Malaysia ini negara kita, maka kita lah yang berwajib untuk melakukan perubahan itu. Jangan mengharapkan mereka yang berkepentingan peribadi yang keterlaluan untuk mengubah nasib masa depan negara dan generasi kita. Sistem sekaranglah yang menyebabkan Azeez Rahim misalnya boleh memenangi kerusi MT sedangkan Shahril Samad tidak berjaya untuk mendapatkan sokongan dalam pemilihan yang lalu. Semuanya ini kerana politik perwakilan yang di kotori oleh “pembeli-pembeli” undi yang berlaku tanpa kawalan dalam pemilihan itu.

Negara memerlukan seorang pemimpin Melayu untuk menjaga dan memulakan penggubalan sistem pemilihan PM yang terbaik untuk kita semua yang terdiri dari berbilang kaum ini.

Mungkin ramai yang akan mengkritik saya kerana cadangan ini, tetapi secara seriusnya elok kita semua rakyat memikir dan menimbangkan cadangan ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.