Side Views

FGVH: KWSP wajar jelaskan strategi pelaburan — Syahir Sulaiman

September 11, 2012

11 SEPT — Merujuk kepada pengumuman oleh pihak Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia bertarikh 10 September 2012, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan terus meningkatkan pegangan saham di dalam FGVH secara berperingkat dengan pembelian saham FGVH yang kini diniagakan di paras terendah sejak ia mula diapungkan di Bursa Malaysia.

Pihak KWSP perlu tampil menjelaskan kepada semua pencarum dan rakyat Malaysia berkenaan strategi pelaburan KWSP di dalam FGVH, tatkala harga saham FGVH terus tergelincir daripada harga terbitan awal (initial public offering) di paras RM5.39 kepada RM4.68 pada 10 September, malah dijangka terus berlegar di paras lantai RM4.55 harga pelabur institusi (institutional price) dan paras lantai RM4.45 harga runcit (retail price) sebelum meningkat ke paras lebih selesa. (Nota: Harga saham FGVH pada 11 September, jam 12.30 tengahari adalah RM4.61).

Pihak KWSP pastinya mempunyai panel pelaburan yang profesional, dinasihati oleh penganalis dan penasihat pelaburan ternama, mengikut garis panduan pelaburan yang ketat. Sewajarnya, strategi ‘buy low, sell high’ yang dilihat digunapakai oleh pihak KWSP, dengan peningkatan pegangan saham di dalam FGVH daripada 5.01% pada 12 Julai kepada 6.62% pada 3 September dan kini 6.98% pegangan kepentingan, perlu selaras dengan garis panduan dan strategi pelaburan jangka pendek dan jangka panjang yang menguntungkan pencarum.

Pihak KWSP diseru mengambil inisiatif dan tanggungjawab untuk menjelaskan kepada pihak awam berkenaan rasional dan strategi pelaburan (strategic rationale) di sebalik pembelian saham FGVH ini, samada ianya bersifat mengambil peluang ‘buah yang rendah’ (low hanging fruit) demi mencapai objektif pelaburan jangka panjang, tanpa melibatkan pertimbangan lain yang memberi risiko tinggi kepada pencarum dan rakyat Malaysia. Penilaian risiko (risk assessment) dalaman dan luaran, analisa situasi (situational analysis) sektoral domestik dan antarabangsa, serta unjuran keuntungan dan jangkaan aliran tunai (projected cashflow) adalah antara elemen utama yang perlu dipertimbangkan dalam setiap keputusan pelaburan demi menjamin kepentingan dan pulangan dividen kepada pelabur dan pencarum.

Pastinya, graf harga saham FGVH yang berterusan menurun ini ibarat turun-naik ‘roller-coaster’ yang mendebarkan semua pihak, khususnya ratusan ribu peneroka Felda yang berada di dalamnya. Adakah ini petanda awal ‘tsunami politik’ bakal melanda seluruh pelosok Felda? Semua pihak bertanggungjawab dalam mempertahankan khazanah Felda yang diwarisi daripada generasi ulung ini, kekal terpelihara untuk diwariskan kepada generasi mendatang.

Syahir Sulaiman merupakan Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia, 11 September 2012

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Talk of the web