Side Views

Gambar dewa-dewa sebagai imej Kuala Lumpur? — Azman Anuar

8 MAC — Sejak hujung Januari lalu, permohonan visa umrah sudah dibuka oleh Kerajaan Arab Saudi. Sehingga selepas bulan Ramadan, inilah musim agensi pelancongan yang mengurus pemergian jemaah umrah mendapat rezeki lebih.

Tambah-tambah lagi minggu hadapan, bersempena musim cuti sekolah maka beribu-ribu jemaah umrah Malaysia akan terbang ke tanah suci Mekah dan Madinah.

Khabarnya suhu di Mekah lebih kurang sama dengan di Malaysia. Tetapi di kota Madinah cuacanya masih dingin.

Sekarang jemaah umrah kita ada yang membuat lawatan terlebih dahulu ke Turki, Jordan, Mesir, Bahrain, Pakistan atau Indonesia jika menggunakan pesawat kebangsaan negara berkenaan. Tetapi kebanyakannya memilih pesawat MAS atau Saudi Arabian Airlines.

Jika ada jemaah yang menaiki pesawat Arab Saudi ini, rajin-rajinlah ‘meneroka’ layar video yang disediakan. Jangan asyik menonton video filem terbaru, rakaman TV, karton dan permainan video sahaja.

Cuba intai apa yang ada dalam data maklumat mengenai destinasi yang hendak dituju iaitu ‘Kuala Lumpur.’

Saya sendiri terkejut, bagaikan tak percaya. Kalau saya warga Arab Saudi atau negara-negara Arab yang menaiki pesawat itu untuk ke Kuala lumpur, saya dan yang lain-lain pun mungkin percaya pada maklumat tersebut. Dalam maklumat yang diberi dalam video pesawat Arab Saudi itu, terdapat satu gambar dewa-dewa Hindu untuk menggambarkan imej Kuala Lumpur.

Saya berasa pelik tetapi itulah yang diberitahu oleh seorang rakan saya ketika pesawat kami baru beberapa minit meninggalkan lapangan terbang antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah.

Daripada lima gambar yang mengiringi maklumat ringkas mengenai Kuala Lumpur, gambar dewa-dewa itu merimaskan fikiran saya. Empat gambar lagi menunjukkan persekitaran menara berkembar Petronas, pemandangan senja di Masjid KLCC, gambar malam di Dataran Merdeka dan gambar Menara Kuala Lumpur.

Bagaimana gambar dewa-dewa Hindu boleh dipilih untuk disaji kepada pelancong mengenai Kuala Lumpur. Sudah tentu kita tertanya-tanya siapa pembekal bahan-bahan maklumat dan gambar itu untuk bahan Saudi Arabian Airlines. Jangan kita harap pak Arab akan menapis gambar itu.

Saya mengagak-agak dan menjangka gambar dewa itu baharu dimasukkan. Telahan saya, walaupun tiada diceritakan tentang sambutan Thaipusam di Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu, dengan perasaan bersangka baik – mungkin itu yang mahu disampaikan.

Tetapi rasa tak kena apabila pembekal memilih gambar dewa-dewa dan bukan masyarakat Hindu yang menyambut Thaipusam di Batu Caves. Malah jika mahu menggambarkan kebebasan beragama di Kuala Lumpur, guna sahaja gambar masyarakat berbilang kaum ketika menyambut sesuatu perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali atau Krismas.

Sekarang apabila warga asing yang mengguna perkhidmatan Saudi Arabian Airlines untuk ke Kuala Lumpur, maka mereka akan melihat dewa-dewa Hindu. Wah hebat gambar itu hingga terpilih dalam pesawat negara Arab itu.

Apa pun, ramai pegawai kerajaan kita yang berulang alik dari Kuala Lumpur ke Arab Saudi dan sebaliknya, takkan tak perasaan tentang maklumat kurang tepat mengenai Kuala Lumpur ini.

Lagi lama pihak Wisma Putra diamkan dan Kementerian Pelancongan buat-buat tak tahu sebab pegawai masing-masing tak terima maklumat, maka terpesonglah fahaman pelancong mengenai Kuala Lumpur.

Saya akan tunggu laporan mengenai gambar dewa-dewa Hindu ini daripada kawan-kawan yang akan pulang selepas menunaikan umrah melalui pesawat Saudi Arabian Airlines. —  utusan.com.my

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments