Side Views

Generasi muda, majoriti senyap penentu keputusan PRU-13 — Imlan Adabi

June 20, 2012

20 JUN — “Kami mahu suara anak muda didengari,” kata siswa yang pada awalnya ragu-ragu untuk berterus-terang.

“Jika mengundi, kami akan pilih parti yang boleh memberi jaminan kepada anak muda. Kami mahu masalah kami didengari. Kami mahu suara anak muda mendapat perhatian sewajarnya,” katanya lagi.

Pertemuan spontan di sebuah masjid di sebuah pusat pengajian tinggi yang awalnya membabitkan tiga individu bertambah kepada 10 orang selepas solat Jumaat.

“Kami tidak menentang mana-mana kelompok. Memadai isu pelajar ditangani. Kami datang dari luar bandar. Ayah bersara. Emak suri rumah sepenuh masa. Kami perlu bantuan kewangan. Apa pun namanya biasiswa, bantuan, pinjaman atau PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), kami tak kisah. Tetapi menghapuskan pinjaman pelajaran membebankan kami. Jika kami dianggap aset negara, kenapa kami dibebankan untuk belajar pada peringkat tinggi?”

Suara yang hampir sama kedengaran pada majlis dialog di sebuah pusat pengajian tinggi lain seminggu lebih awal.

Hari ini isu pendidikan dan generasi muda sudah sebati. Mereka pewaris negara. Lebih utama, mereka mungkin sebahagian generasi muda yang bakal membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kita tidak pasti kecenderungan pengundi muda kepada politik kepartian. Namun mereka generasi Starbucks yang mempunyai budaya yang mungkin berbeza daripada ayah dan ibu sendiri. Mereka membesar dengan media baru, menjadi pengamal setia Facebook dan Twitter, serta tidak mudah menerima pendapat yang dianggap mempunyai ciri-ciri feudalisme.

Katakan mereka generasi X atau Y yang sukar dijangka, mereka tidak peduli kerana ledakan teknologi maklumat bagai melenyapkan kelompok yang ada di persekitaran mereka.

Yang mereka pasti ialah jaringan tanpa sempadan dan sumber maklumat berada di hujung jari. Sebahagian mereka mengakui tidak menganut fahaman politik tertentu, namun tegas mereka aspirasi muda jangan diketepikan.

Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini. Sama ada tinggal di luar bandar atau di kawasan urban, selera dan minat siasah generasi muda sukar dianalisis. Suara mereka menerusi Facebook dan Twitter sentiasa kritikal dan sinis.

Lebih sukar apabila mereka dianggap sebagai majoriti senyap yang akan membuat perkiraan menerusi peti undi.

Perkembangan siasah sejak 2 September 1998 mengaitkan aspirasi muda dengan pembangkang. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 1999 dan 2008 hampir membuktikan tanggapan ini.

Terkecuali pada Pilihan Raya Umum 2004 apabila sebahagian pengundi terpengaruh dengan slogan Islam Hadhari yang dipopularkan oleh mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, suasana selepas itu berbeza. Ungkapan Islam Hadhari pun tidak kedengaran lagi apabila keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 memberi gambaran drastik.

Sukar untuk menyatakan bahawa generasi muda hari ini sebagai penentu politik negara kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mendaftarkan nama sebagai pengundi.

Sebanyak 3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka generasi muda. Golongan yang tidak mendaftar secara langsung tidak berhak membuat keputusan menerusi peti undi. Jika sekadar bersuara dan heboh dengan aktiviti kepartian tanpa peluang membuat keputusan di peti undi, tidak akan mengubah keadaan.

Kajian sebuah parti politik pula mendapati 62 peratus pengundi muda tidak menyokong sesiapa. Mereka hanya membuat keputusan pada saat akhir pengundian.

Jika banyak isu yang membabitkan kepentingan mereka, ia mungkin menjadi penentu dalam keputusan terakhir di peti undi.

Justeru, mana-mana gerakan siasah perlu cekap mengambil kesempatan supaya generasi muda berpihak kepada mereka.

Pada hari ini pola pengundian hampir boleh diteka. Undi Melayu di luar bandar dan kawasan Felda lazimnya berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN). Melayu kawasan urban dan sekitar kawasan pusat pengajian tinggi sukar diramal.

Mereka bergantung kepada isu dan kekuatan calon seperti berlaku di kawasan Bangi, Shah Alam, Nilam Puri, Skudai dan Johor Bahru. Generasi intelektual dan terdidik lazimnya mempunyai tanggapan berbeza terhadap kualiti kepartian.

Pengundi Cina boleh dijangka hala tuju sokongan mereka. Kaum India di kawasan pedalaman masih menjadi misteri. Generasi muda yang banyak bertwitter dan Facebook kini perlu diberi tumpuan.

Jika hasrat dan keinginan mereka kurang dilayani, kita boleh mengerti arah mana mereka selepas ini. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.