10 FEB — Ada beberapa pihak mulai bercakap mengenai “kuasa ke-3” dan peranannya dalam menentukan keputusan PRU Ke-13 nanti.
Pihak ini kelihatannya ada yang keliru dengan konsep kuasa ke-3 ini ataupun untuk pertama kali menyebut mengenai kewujudan kuasa ketiga ini. Kata-kata ini mulai popular dalam waktu kebelakangan ini, terutama menjelang PRU Ke-13 nanti.
Ada pihak yang mendakwa bahawa oleh kerana ia tidak berpihak kepada parti yang memerintah mahupun parti pembangkang, lalu mendakwa pihaknya adalah kuasa ke-3 yang digambarkan sebagai kuasa penentu keputusan PRU tersebut.
Sebenarnya kuasa ke-3 diilhamkan atau dicetuskan oleh civil society, atau masyarakat sivil iaitu masyarakat yang diasosiasikan dengan masyarakat yang tinggi tamadunnya, menjunjung demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia, menolak fahaman perkauman, pemahaman agama yang sempit dan juga menolak nilai-nilai feudal yang menyebabkan fanatisme, diskriminasi dan seumpamanya.
Ada yang mengatakan konotasi “masyarakat sivil” ini dicetuskan oleh Barat, justru Barat sangat diwar-warakan sebagai bumi yang sangat subur demokrasi dan kebebasan manusia.
Namun begitu, kalau kita menyedari bahawa konep masyarakat sivil ini ada digambarkan oleh Ibnu Khaldun, ahli sains sosial Islam yang tersohor itu dalam dalam kitabnya “Muqaddimah Ibnu Khaldun” dan beberapa kitabnya yang lain.
Beliau tidak menyebut akan istilah “masyarakat sivil”, tetapi ia menggambarkan sebagai masyarakat madani yang di dalamnya wujud keluhuran undang-undang, menjunjung martabat ilmu, terpeliharannya martabat insan dan hak-haknya dalam batas yang dibenarkan oleh syara’.
Konsep masyarakat madani yang digambarkan oleh Ibnu Khaldun tidak lansung menjunjung fahaman fanatik perkauman dan agama, bahkan ia adalah sebuah masyarakat yang sangat berbuka, toleransi dan menghargai pelbagai idea dan pandangan. Namun ia tunduk kepada syariat Islam dengan segala tuntutannya.
Oleh kerana demikian keadaannnya — baik dari pandangan Barat mengenai masyarakat sivil, mahupun pandangan Islam mengenai masyarakat madani — sama sekali tidak memberi tempat kepada golongan rasis, atau panatik perkauman dan fahaman agama yang sempit.
Oleh itu “the third force” atau “kuasa ketiga” sama sekali menolak golongan perkauman dan fahaman agama yang sempit. Malah Nabi s.a.w. sendiri memberi ingatan jauh lebih awal dalam hadis sohehnya bahawa, “Bukan dari golonganku mereka yang menyeru kepada perkauman”. Tentu ada sebab yang sangat jelas mengapa Islam menolak fahaman perkauman itu sejak dulu lagi.
Berdasarkan pengertian ini semua, nyatalah bahawa golongan yang bergelut dengan fahaman perkauman ini sama sekali tidak boleh dipanggil sebagai “the third force”. Oleh itu, jika ada pihak yang masih bersungguh-sungguh — hingga parau suaranya meneriakkan bahawa pihaknya adalah kuasa ketiga maka dakwaan itu adalah palsu semata-mata.
Dalam konteks Malaysia yang akan mengadakan PRU ke-13 bila-bila masa sekarang, rakyat sewajarnya jangan keliru dengan seruan ini. Ia hanya seruan atau pandangan yang mengelirukan untuk mempengaruhi rakyat berdasarkan prejudice, kebencian, tantangan terhadap pihak yang tidak sehaluan dengannya.
Dalam situasi sekarang, boleh diduga akan muncul pelbagai golongan atau pihak yang akan tampil memberikan pandangan parti mana atau siapa tokoh yang sewajarnya dipilih oleh pengundi nanti.
Mereka ini, sesetengahnya datang dari golongan intelektual, pelajar universiti, ngo-ngo yang prihatin terhadap situasi yang ada sekarang. Ini seiringi dengan demokrasi dan kebebasan yang ada.
Namun dalam keadaan yang semikian, saya yakin para pengundi akan menolak mana-mana ngo atau orang perseorangan yang beriya-iya mendakwa sebagai kuasa ketiga yang kononnya mampu untuk menentukan nisbah aliran pengundian, pada hal di antara mereka ada yang lantang meneriakkan faham perkauman dan pemahaman agama yang sempit.
Saya yakin hanya NGO dan pihak yang benar-benar berjuang untuk kebebasan dan hak-hak rakyat, prihatin dengan apa yang berlaku kepada negara, menentang rasuah dan penyelewengan, bukan perkauman dan fahaman sempit agama, yang wajar dianggap sebagai kuasa ketiga dan yang boleh dipercayai oleh pengundi.
Golongan bukan perkauman sempit ini diyakini akan mengambil peranan penting, terutama menjelang PRU Ke-13 nanti dan mampu mempengaruhi rakyat untuk membuat perubahan.
Sewajarnya kita mengimbau kembali peristiwa Perhimpunan Bersih 2.0 di Ibu Negara tahun lalu, di mana pada pendapat saya, ia adalah cetusan kebangkitan masyarakat sivil, bukan didorong oleh sentimen parti politik atau sebagainya. Mereka bangkit untuk menuntut sebuah pilihan raya bersih dan demokratik.
Pesertanya bukan sekedar pendukung parti politik tertentu, tetapi pelbagai golongan — buruh, kalangan profesional, cendekiawan, mahasiwa, artis, malah Sasterawan Negara, A. Samad Said, hingga kasutnya terpelanting ketika bersama rakyat diburu oleh gas pemedih mata.
Tidak ada elemen perkauman dan fahaman agama yang sempit di situ walaupun ada pihak tertentu memberikan pandangan negatife, dengan menuduh kononnya ada elemen perkauman dan agama di situ. Tudahan ini tidak benar sama sekali. Ternyata Bersih 2.0 itu adalah bersih dan tulin dari masyarakat sivil yang mahukan perubahan.
Dalam hubungan ini golongan yang benar-benar tulin, yang boleh dipanggil “the third force”, ialah mereka yang tidak perkauman dan fahaman sempit agama, juga tidak berkepentingan dan sebagainya. Mereka akan mengambil peranan penting menjelang PRU Ke-13.
Kuasa ketiga yang tulin inilah yang benar-benar menawarakan sebuah perjuangan untuk kebebasan, demokrasi, keluhuran undang-undang, pro-rakyat, anti rasuah dan penyelewengan dan sebagainya.
Pada akhirnya, rakyat Malaysia berpeluang memilih calon terbaik dari kalangan individu terbaik dan dari parti terbaik yang mereka wakili. — harakahdaily.net
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






