Hakikat rasuah — Anuar Mohd Nor
15 OGOS — Itu namanya politik, ia bukan tidak ada paksi kawan — tidak ada paksi rasa dan ia tidak ada paksi kebenaran dan keadilan. Ia adalah perebutan — ia adalah kehendak dan adakalanya ia adalah mitos perjuangan. Hari ini perjuangan itu tidak tentu menzahirkan kebenaran dan keadilan untuk masa hadapan — namun politik adalah aliran kuasa yang perlu ada — untuk menyempurnakan perubahan. Perjuangan itu diselaputi kehendak — akhirnya wadah politik adalah sandaran. Wadah mana yang dapat menjual dan menyempurnakan cita-cita watak dalam wadah tersebut akan di isytiharkan pemenang dan yang lain akan menunggu sama ada watak ini dapat merealisasikan apa yang diharapkan oleh rakyat.
Watak dalam wadah inilah yang akan menjadi perhatian. Sama ada watak ini akan berjaya menyempurnakan apa yang di kata — mengotakan apa yang dikata — adalah satu persoalan berbeza. Kemenangan itu penting dan kita adalah penentu untuk wadah mana yang menang dan watak mana yang diberi kuasa untuk melaksanakan apa yang dijanjikan.
Politik Malaysia hari ini sudah sampai ke tahap suhu yang agak panas. Pergolakan dan peperangan dalam politik semakin hangat. Cita-cita watak politik semakin besar kerana dalam politik Malaysia — kuasa adalah sandaran kekayaan — politik Malaysia seakan berbaju feudalisme dan ini seakan membentuk generasi kepimpinan bercorak turun menurun. Semuanya kerana ikatan kuat politik adalah dengan kuasa dan kuasa pula terikat kepada kekayaan dan wang ringgit yang ada. Maka berebut-rebut watak dalam politik ini mencari kuasa — dari kuasa hadir kekayaan dan dari kekayaan ini dapat kuasa. Tidak ada terselit dalam itu pengorbanan. Pengorbanan hanya pada mereka yang berangan-angan mahukan negara idealistik — mencari nilai dalam kehidupan dan mempertegakkan perjuangan kemanusiaan — namun mereka pasti akan ditelan bahang panas politik negara ini.
Hari ini kita sering membicarakan mengenai korupsi dalam pentadbiran dan dalam penyelewengan penggunaan kuasa dinegara ini. Kita bicara mengenai kuasa yang merupakan ajen penting dalam korupsi dan ketirisan sebagai aspek utama rasuah. Kita membicarakan korupsi dalam bentuk kuantitatif — ukuran nilai wang. Istilah rasuah — dari kejijikan perlakuan juga menjadi senjata utama — tuduhan untuk menjatuhkan kuasa yang dipegang. Akhirnya rasuah menjadi satu fenomena dalam kuasa dan ini seakan menjadi satu alatan untuk mempertahankan kuasa.
Ironi rasuah
Untuk ini — semua wadah utama yang berebut-rebut mahukan kuasa menjadikan perkataan rasuah sebagai senjata utama mahu merampas — mahu mencabar — mahukan kuasa. Tuduhan dan pendedahan rasuah dijadikan modal untuk merebut kuasa.
Dalam pada itu pula — penolakan rasuah turut dijadikan modal untuk sesebuah kerajaan terus diterima dan terus disokong. Kalau kita lihat setiap peneraju kepimpinan baru akan — berusaha menjerit-jerit bantahan kepada rasuah sebagai asas kepimpinan mereka. Anti Rasuah merupakan kempen baru untuk rakyat menerima kepimpinan itu — wadah itu sebagai wadah bersih yang perlu disokong. Anti Rasuah adalah slogan yang kononnya akan menyebabkan kerajaan itu — kepimpinan baru itu diterima.
Akhirnya terma rasuah digunakan untuk semua sudut — untuk menyerang — untuk menunjukkan keikhlasan memegang amanah — untuk mempertahankan kuasa — untuk memusnahkan kuasa sehingga rasuah itu sendiri seakan sudah di rasuah oleh mereka yang bercita-cita merebut kuasa. Ini merupakan sesuatu yang amat melucukan — bila rasuah itu segala-galanya dalam membicarakan politik.
Kita hari ini masih teraba-raba mencari dari mana datangnya rasuah ini — bagaimana menghapuskan dan bagaimana ia boleh dijadikan senjata utama. Hari ini rasuah telah dikenal pasti — tidak dapat dihapuskan tetapi kemungkinan dapat di kecilkan dengan pendekatan keras penguatkuasaan. Tindakan lebih kepada menyerang rasuah itu dari melakukan usaha menyedarkan dan memperbaiki keadaan untuk menghalang keperluan rasuah.
Rasuah perlu di banteras, perlu dihapuskan, perlu dibasmi dan perlu ditentang, kata kepimpinan itu yang berpendapatan mungkin sekitar RM20,000 sebulan dengan kemewahan berjuta-juta dalam tangan. Adakah itu tidak membuat kita tertanya — dari mana hasil kekayaan yang mereka peroleh. Adakah tidak kita tertanya-tanya, sebaik sahaja memiliki jawatan khususnya dalam politik — kemewahan tiba-tiba muncul. Adakah tidak menghairankan kita — dapat sahaja jawatan — biar peringkat Bahagian sekali pun tiba-tiba kemewahan itu seakan menyusup masuk sekali. Maka yang melihat turut mahukan juga tempat dan jawatan itu dan yang memegang jawatan itu mahu terus kekal dengan jawatan tersebut. Lantas rasuah digunakan bagi menyerang dan mempertahankan. Akhirnya rasuah adalah kawan baik bagi mereka yang bercita-cita dalam politik. Akhirnya rasuah dan rasuah menjadi segala punca – menjadi segala penyebab.
Korupsi minda
Kita jarang melihat rasuah yang terbit dari persekitaran kita. Kita tidak melihat rasuah yang terbit dari kebobrokan kemodenan dan kemajuan yang mahu kita capai. Kita gagal melihat korupsi dalam erti kata kerosakan nilai kemanusiaan dan kejatuhan moral dikalangan masyarakat kita. Kita sedar atau tidak sedar menjadikan rasuah itu satu keperluan untuk hidup. Kita melihat yang lain senang dengan rasuah — kita susah dengan prinsipal anti rasuah dan akhirnya kita teresap dalam budaya itu.
Kita tidak melihat keadaan ekonomi, kemasyarakatan dan sosial dalam mengertikan kehadiran kewujudan rasuah. Keadaan menekan dalam kehidupan seharian — sehingga rasuah terpaksa menjadi elemen penting dalam menentukan kemampuan hidup. Kita jangan tipu diri kita sendiri — kita turut juga dalam korupsi minda yang akhirnya membenarkan nilai-nilai kehidupan kita di selimuti rasuah. Kita terpaksa untuk mengendurkan tekanan hidup yang ada, mencari ruangan untuk membebaskan diri dan akhirnya berdepan dengan rasuah. Dalam nada yang serupa — rasuah juga menekan dan terus menekan dan akhirnya RASUAH adalah satu keperluan yang akan menjadi penyelamat dan ruang untuk kehidupan bahagia — sama seperti kepimpinan kita. Ramai yang terkorban dalam rasuah ini. Ramai yang bahagia dengan rasuah ini. Kita perlu memilih — terkorban dengan rasuah atau bahagia dengan rasuah. Asal jangan tertangkap — maka perlakuan rasuah itu tidak jauh beza dari melanggar lampu isyarat merah ketika memandu.
Minda masyarakat kita terus terbelenggu dengan korupsi yang ada. Minda kita akan berubah — menerima kerana persekitaran kita mempunyai elemen rasuah yang tersebar luas. Kehendak dan keperluan hidup adalah baja kepada rasuah. Ketidakadilan dan sistem yang menekan menyuburkan rasuah dan akhirnya semua pasti akan terjebak dalam rasuah. Akhirnya masyarakat kita, nilai kehidupan kita, pembangunan kita, kepimpinan kita, penguasa kita, ulamak kita, peniaga kecil kita, ahli politik kita, NGO kita dan semuanya dijangkiti virus — korupsi yang terus menjadi orde baru dunia selagi kita terus membengkakkan persekitaran yang menekan kehidupan kita hari ini.
Mungkin tidak ada solusi dalam isu rasuah ini. Ia akan terus berkembang dan berkembang. Semua atas kehendak dan tekanan kehidupan yang tidak diukur dengan kemampuan. Kemungkinan solusi berbeza turut perlu diadakan dalam menangani kesuburan rasuah ini. Mungkin pemusatan kuasa yang ada kepada kuasa politik adalah salah satu resolusi yang mampu mengengkang kesuburan rasuah. Mungkin kerana kuasa politik melimpahi semua urusan — menjadikan rasuah itu segar bugar dalam negara ini. Mungkin kerana besarnya kuasa politik itu dalam semua urusan termasuk merebut tapak-tapak kecil berniaga sehingga kepada kuasa ke atas Institusi kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang menjadikan rasuah bebas berkembang pesat. Akhirnya tidak ada pembangunan tanpa rasuah — tidak ada politik tanpa rasuah dan tidak ada kehidupan tanpa rasuah. Penghujung ialah kita mati dalam keadaan di rasuah.
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.



