Side Views

Hanya rakyat Kelantan sahaja dapat menyelesaikan masalah Kelantan, bukan Najib — Aspan Alias

3 MAC — Semalam Najib ke Kelantan untuk “mengelentong” 1.2 juta rakyat negeri itu yang beliau anggap sebagai gulungan miskin dan papa kedana. Kelentong pilihanraya kali ini lagi hebat dari kelentong-kelentongnya yang lain sebelum ini. Najib meminta rakyat Kelantan memberikan undi dan mandat kepada BN bagi menyelesaikan semua masalah rakyat Kelantan.

BN selalu mengatakan bahawa Kelantan adalah negara miskin dan Najib selalu memandang rendah dan mengejak-ngejek rakyat Kelantan kerana kemiskinan mereka. Najib lupa yang segala rezki itu Allah yang beri tetapi dimana-mana diseluruh dunia ini setiap negara ada rakyat yang miskin. Beliau cuba melakukan “deception” yang rakyat Kelantan akan menjadi senang lenang jika memilih BN dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Najib berfikir yang beliau lebih besar dari Tuhan kerana umat yang dijadikan Tuhan pun berbillion yang miskin tetapi jika rakyat Kelantan memilih BN beliau akan membawa mereka keluar dari kemiskinan. BN kononnya akan menyelesaikan semua masalah rakyat Kelantan jika rakyat Kelantan memberikan kuasa kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Negeri Kelantan sentiasa dipersendakan oleh Najib selama ini. Bagaimana kita hendak menafikan kenyataan ini. Kelantan kepada beliau adalah negeri bermasalah. Negeri miskin dan tidak mampu menjaga rakyat dengan baik dan sempurna kononnya. Mungkin negeri Kelantan itu adalah negeri miskin sedikit dari negeri lain. Kelantan tidak sepatutnya menjadi sebuah negeri miskin, malahan Kelantan sepatutnya menjadi negeri yang lebih kaya dari banyak negeri dalam Semenanjung ini.

Masalah di negeri Kelantan ini disebabkan oleh Kerajaan Persekutuan, di Putrajaya. Kerajaan Persekutuan (Petronas) masih belum membayar tunggakan 5 peratus dari hasil minyaknya yang sudah meningkat kepada 7.4 billion ringgit. Perjanjian Petronas dengan Kerajaan negeri Kelantan pada 27hb Mei 1975 dahulu masih tidak dihormati oleh Putrajaya. Sekarang ini dua telaga minyak dalam perairan negeri Kelantan sedang dicuri oleh Kerajaan Persekutuan melalui Petronas dengan menyalurkan pendaratannya di Kerteh Terengganu dengan menggunakan saluran sepanjang 260 kilometer lebih jauh dari Bachok, Kelantan.

Negeri Kelantan yang sepatutnya menjadi salah sebuah negeri yang terkaya sengaja dimiskinkan oleh Putrajaya dengan melarikan hasil minyak negeri Kelantan disebabkan rakyat Kelantan memberikan kuasa pemerintahan negeri itu kepada PAS (PR). Kerajaan Persekutuan melayani rakyat Kelantan seolah-olah Kelantan itu adalah tanah jajahan Putrajaya, bukannya sebagai salah sebuah negeri yang menganggotai persekutuan Malaysia. Putrajaya mungkin tidak sedar yang di Kelantan itu hampir kesemuanya adalah dari bangsanya sendiri.

Sesungguhnya Putrajayalah yang memiskinkan Kelantan. Putrajayalah yang memberikan masalah kepada Kelantan dan sekarang datang pemimpin dari Putrajaya menjanjikan penyelesaian kepada semua masalah di Kelantan. Kepada orang Kelantan, mereka boleh bertempik dan menyuruh pemimpin persekutuan di Putrajaya itu untuk menyelesaikan masalah di Putrajaya yang tidak terkira besarnya itu.

Kita suruh sahaja Najib selesaikan masalah PKFZ yang melibatkan RM12 billion yang tidak selesai lagi sehingga hari ini. Isu MAS dan Tajuddin yang melibatkan berbillion ringgit masih menjadi isu besar yang melibatkan “integrity” Dr Mahathir dan seluruh kepimpinan Umno. Apabila isu MAS ini dapat diketahui umum nanti, semua rakyat tahu segala belang-belang buruk pemimpin persekutuan yang mengaku sebagai pembela rakyat dan Melayu itu.

Isu terbaru ialah isu NFC, isu yang menyalahgunakan wang rakyat sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada keluarga seorang ahli kabinet negara untuk memilihara lembu untuk kegunaan rakyat dan negara digunakan untuk membeli kondo-kondo mewah dibanyak kotaraya terkenal di seluruh dunia. Puluhan isu-isu besar yang merugikan rakyat masih tidak dapat diselesaikan oleh Najib dan pentadbirannya.

Semalam beliau tiba di Kelantan dengan menjanjikan perkara lama dengan isu lama sedangkan rakyat Kelantan sedar yang wang mereka melalui royalti minyak sebanyak RM7.4 billion yang tertunggak masih tidak disalurkan kepada Kerajaan Negeri walaupun ada perjanjian yang dimeterai pada 27hb Mei 1975 dahulu. Jika perjanjian yang dimeterai dengan ikatan undang-undang pun tidak dilaksanakan bagaimana rakyat Kelantan hendak mempercayai janji-janji Najib itu?

Rakyat Kelantan tahu dan maklum yang ekonomi negeri mereka telah diperkosa oleh Kerajaan Persekutuan. Dari Kelantan ada dua tiga kerat pemimpin diperingkat persekutuan, seperti Mustapha Mohamad, Awang Adek dan beberapa yang lain termasuk Ibrahim Ali yang sedang mencuba-cuba untuk menjadi pemimpin dari negeri itu. Tetapi pemimpin-pemimpin ini memilih untuk berpihak kepada pemimpin pusat dan sama-sama pula berpakat untuk mendera rakyat negeri mereka sendiri.

Itulah sebabnya rakyat Kelantan akan terus didera seperti ini sampai bila-bila selagi Umno masih berkuasa di Putrajaya itu. Justru itu rakyat Kelantan kena faham yang mereka hanya mempunyai satu pilihan, iaitu dengan mengambilalih kuasa yang dipegang oleh Umno di Putrajaya itu. Rakyat Kelantan kena faham juga yang rakyat di negeri-negeri lain sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan negara dengan mengambil alih Putrajaya.

Jika diizinkan Tuhan niat ini dikabulkan olehNya, barulah rakyat Kelantan mempunyai harapan untuk melihat perjanjian yang ditanda tangani pada bulan Mei 1975 yang lalu dapat dihormati dan memberi nikmat kepada rakyat Kelantan. Masa itu nanti tidak akan ada lagilah pihak-pihak yang akan menghina rakyat Kelantan seperti yang dilakukan oleh semua pemimpin dibawah pentadbiran Najib di Putrajaya itu.

Segala sendaan Najib terhadap rakyat dan negeri Kelantan itu akan mati begitu sahaja jika rakyat Kelantan kekal dengan kecekalan mereka menghadapi tekanan dari Putrajaya ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments