Side Views

Hasan Ali: Dari Umno dia datang, kepada Umno jugalah dia akan kembali — Aspan Alias

February 11, 2012

11 FEB — Dr Hasan Ali, bekas Exco kerajaan (PAS) negeri Selangor, yang dipecat dari PAS baru-baru ini nampaknya mendapat tempat di media perdana terutamanya di TV3. Setiap malam kita melihat Hasan Ali diliputi oleh TV3 dan beliau ditonjolkan sebagai seorang pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan.

Kita melihat lakunannya setiap hari dengan berdoa sambil menangis serta kembali bercakap dengan nada yang tinggi beserta dengan gerak tangannya yang menunjukkan beliau memang hebat berlakon dan berdrama. Hasan akhir-akhir ini selalu menggunakan air mata beliau dalam membahaskan isu politik untuk menagih sokongan ramai. Beliau boleh menangis serta merta jika perlu dan air matanya jelas meleleh keluar.

Beliau mendapat liputan TV3 setiap hari dan kenapa beliau diberi tempat didalam media letronik ini tanpa henti itu memang sudah menjadi perkara yang maklum kepada orang ramai. Berbagai-bagai cara beliau menonjolkan diri seperti bintang filem Bollywood. Yang belum beliau lakukan hanyalah menari dari gunung hingga ketepi laut sambil menyanyi dan naik kembali kegunung dengan pakaian yang bertukar-tukar silih berganti.

Sesungguhnya Hasan tidak selayaknya menjadi ahli politik. Oleh itu selepas beliau dipecat dari PAS ini, saya mencadangkan supaya Hasan pergi ke India dan menguji bakat lakonan bersama ramai yang minat berlakon dalam Industri filem di Bollywood. Beliau sememangnya mempunyai bakat berlakon dan saya merasakan beliau tidak akan melalui jalan sukar untuk berjaya dalam uji bakat berlakon di situ. Beliau memang seorang yang sangat berbakat dalam lakonan.

Walaupun saya tidak pernah kepanggung wayang sejak puluhan tahun yang lalu, saya berjanji akan membeli tiket yang secukupnya untuk se isi keluarga saya pergi menonton lakonan beliau dalam filem pertama yang beliau lakunkan nanti. Saya percaya pihak yang beliau caci sekarang ini iaitu PAS, PKR dan DAP tidak teragak-agak untuk bersama-sama menonton lakonan beliau.

Hasan merupakan seorang ‘failed broker’ kerana niatnya untuk menjadi orang penting dalam usaha penyatuan Umno dengan PAS telah menemui kegagalan. Kegagalan untuk menyatukan Umno dan PAS itu telah meranapkan cita-citanya untuk menjadi MB Selangor. Hasan mengharapkan untuk menjamah kerusi MB itu jika Umno dan PAS bersatu kerana jika itu berlaku maka beliau akan berjaya melaksanakan ‘intrigue’ politik seperti mana yang telah berlaku di Perak sebelumnya.

Apabila niat dan matlamat untuk menjayakan ‘compromise’ di antara Umno dengan PAS itu maka beliau terus sahaja membidas PKR dan DAP dan menjadikan Anwar sebagai ‘punching bag’ untuk beliau melakukan serangan kepada pihak-pihak yang telah menggagalkan niat beliau untuk mendapat munafaat jika Umno dan PAS berjaya di satukan.

Rasa kempunan beliau inilah yang menyebabkan Hasan sudah hilang arah politiknya. Beliau rasa malu yang besar kerana disebabkan tapak dan langkahnya telah dengan mudah dapat dikesan dan difahami oleh semua pihak yang telah memerhatikan lagak dan lakunannya sejak usaha untuk merapatkan Umno dan PAS itu jatuh sebelum ‘taking off’.

Sekarang Hasan sedang mengaruk dan beliau menyalahkan semua pihak dalam Pakatan Rakyat. PAS dan DAP itu adalah pihak yang salah kepada Hasan PKR pula salah kerana jawatan MB yang beliau hendak tagih itu datangnya dari PKR. Hasan juga menyanggah secara peribadi terhadap Khalid Samad yang pernah menjadi timbalanya dalam PAS Selangor. Hasan juga membidas Anwar kerana kononnya PAS tidak mahu mengikut kehendaknya (Hasan) adalah kerana pengaruh Anwar Ibrahim.

Sekarang Hasan telah menyalahkan semua pihak dalam PR kecuali peribadi beliau sendiri. Beliau kini bergerak untuk mewujudkan ‘force ketiga’ untuk kononnnya untuk menjai penentu dalam pilihanraya nanti. Bagi saya, Hasan tidak mempunyai rupa untuk menjadi ‘third force’ dalam politik tanah air sekarang ini.

Dalam situasi politik kali ini mana-mana pihak yang cuba untuk meletakkan diri mereka sebagai ‘middle left’ atau ‘middle right’ tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Rakyat kini mahukan kumpulan yang ‘decisive’, samada kanan atau pun kiri. Tetapi jika diselidik kepada keadaan hari ini, Hasan mungkin menyertai Umno juga akhirnya. Umno adalah parti yang beliau pernah sertai sebelum isu Anwar pada tahun 1998 dahulu.

Jika Hasan kembali menyertai Umno maka ‘dari Umno beliau datang, kepada Umno jugalah beliau akan kembali’. Buat sementara waktu Hasan boleh bersalaman ketat-ketat dengan Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Zaharin Hashim. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.