5 JULAI — Ideologi komunis adalah fahaman berasaskan ajaran Karl Marx (1818-1883). Marx seorang sosialis revolusioner. Ajarannya dimuatkan dalam dua karya utamanya, The Communist Manifesto (1848) dan Das Kapital (1867) dijadikan sebagai doktrin ideologi komunisme. The Communist Manifesto ditulis bersama sahabatnya Frederich Engels (1820-1895).
Pada 1885 dan 1894, Engels mengembangkan lagi Das Kapital sebanyak dua volume (volume 2 dan 3) sebagai melanjutkan pemikiran dan ajaran Karl Marx. Das Kapital dianggap sebagai kitab suci penganut Marxisme-komunisme-atheisme. Tiga serangkai fahaman ini ditegakkan sebagai dogma dan doktrin penganutnya. Marx dianggap nabi yang membawa obor keadilan kepada masyarakat komunis.
Sebenarnya, ajaran komunis itu bercanggah dengan ajaran Islam, prinsip dan juga pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Melalui teori sosialnya, Marx menganggap kehidupan ditentukan oleh material semata-mata. Marx (Komunisme) melihat sejarah manusia dibina di atas sejarah kebendaan atau ‘dialektika historis materialisme’ semata-mata.
Ideologi Komunis mula menyerap masuk di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu pada sekitar 1920-an. Perjuangannya bersifat keras dengan pendekatan revolusi bersenjata. Bagi komunis, kekerasan atau revolusi adalah satu-satunya jalan untuk membentuk sebuah masyarakat komunis. Siapa yang tidak pernah mendengar kezaliman Bintang Tiga yang menguasai Tanah Melayu selama 14 hari selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1946.
Perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) adalah untuk mewujudkan negara Komunis Tanah Melayu. Pada 1947, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM. Beliau tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong. Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).
Ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, Komunis turut memainkan peranan menyemarakkan api perkauman dengan tujuan menjadikan negara berada dalam keadaan anarkisme. Dalam buku May 13: Before and After, Tunku Abdul Rahman menyebut komunis dan kongsi gelap antara penyebab tercetusnya tragedi itu. Laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ‘The May 13 Tragedy’ yang dikeluarkan pada 1969 juga tidak menafikan wujudnya ejen komunis dalam Parti Buruh Malaya (PBM).
Daripada Peristiwa 13 Mei itu membuktikan bahawa melalui siri demonstrasi dan perarakan haram, ejen komunis akan menyerap masuk untuk membakar emosi rakyat sehingga akhirnya ruang untuk menyerapkan ideologi komunis dapat laksanakan mereka.
Perkara yang sama tidak mustahil berlaku dalam keghairahan pihak tertentu menganjurkan himpunan yang dikenali sebagai himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini. Walaupun pihak penganjur berniat baik, pasukan keselamatan sudah dapat menghidu ejen komunis menyerap dan menyokong himpunan terbabit. Ini terbukti apabila pihak polis sejak awal-awal lagi dapat mengesan individu luar dan dalam yang ada kaitannya dengan ideologi komunis turut menyokong himpunan terbabit.
Ramai yang cuba menafikan dan berhujah bahawa ideologi komunis sudah pun lupus sejak Perjanjian Damai antara PKM dan kerajaan Malaysia yang diadakan di Haadyai pada 1 Disember 1989. Persoalannya, adakah benar ideologi komunis sudah berkubur dalam erti kata sebenar?
Perlu dinyatakan ketika sidang media selepas majlis perjanjian itu, Chin Peng yang ditanya wartawan berkata PKM hanya meletakkan senjata bukannya membubarkan PKM. Chin Peng sendiri mengaku fahaman komunis adalah ideologi anutannya.
Daripada apa yang disebutkan, jelas beliau tidak mengisytiharkan dirinya membuang secara total ideologi komunis yang dianutinya. Malah, dalam bukunya Chin Peng My Side Story mempamerkan kebanggaannya terhadap ideologi itu.
Perlu diingatkan kembali bahawa tidak lama dulu ada usaha pihak tertentu untuk membawa masuk kembali Chin Peng ke tanah air tetapi mujur kerajaan bertegas untuk tidak menerima kembali tokoh komunis itu yang perjuangan songsangnya itu sudah mengalirkan darah dan kemusnahan harta benda.
Justeru, berhati-hati dengan tipu muslihat mereka. Tidak mustahil ejen komunis cuba menyerap kembali ke dalam masyarakat bagi menyebarkan dakyah mereka secara halus dan terancang. Kita bimbang himpunan Bersih 2.0 adalah peluang dan ruang untuk mereka menyerap masuk bagi menimbulkan kacau-bilau supaya berlaku pertembungan antara pendukung demonstrasi haram dengan pasukan keselamatan sehingga akhirnya rakyat menjadi pecah belah.
Apabila perpecahan dalam masyarakat berpanjangan, kerajaan tidak lagi dapat memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi maka senang mereka menyebarkan jarum komunisme dan sosialisme yang kononnya berjuang untuk keadilan masyarakat. Perlu diingat di Indonesia dan Filipina, penganut Komunis masih berusaha gigih untuk menghidupkan kembali fahaman komunis (neo-komunisme).
Justeru, dalam perhimpunan haram seperti himpunan Bersih 2.0 yang dijangka diadakan pada 9 Julai ini adalah tempat yang dikira sesuai untuk mereka menyelinap masuk dan memainkan jarum halusnya untuk menjejaskan ketenteraman dan perpaduan nasional. — Berita Harian
* Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






