Side Views

Isu PTPTN: Punca masalah atau simptom? — Izzudin Yussof

16 APRIL — Pendidikan percuma itu menarik, tidak dinafikan. Malahan hakikatnya semua perkara yang percuma itu menarik, apatah lagi perkara percuma yang melibatkan perkara keperluan seperti pendidikan dan kesihatan, sudah pastilah idea tersebut akan disukai dan mengukir senyuman pada sekurang-kurangnya ribuan rakyat Malaysia.

Selepas ini mungkin pula jika ada yang memperjuangkan untuk memiliki air dan elektrik yang percuma, ramai juga yang akan menyahutnya. Mengatakan bahawa ini hak asasi manusia, malahan lebih asasi lagi daripada pendidikan. Kemudian mungkin selepas itu mungkin pula akan ada perjuangan untuk setiap kenderaan awam percuma, kemudian mungkin pula kereta percuma. Dan berakhir dengan hak setiap orang perlu mendapat duit walaupun tidak berkerja, kerana ianya merupakan keperluan untuk hidup zaman sekarang. Siapa yang tidak suka dengan perkara percuma?

Di sebalik isu PTPTN ini, terdapat dua isu yang lebih penting perlu dirisaukan daripada isu kerajaan tidak cukup duit untuk memberi pendidikan secara percuma. Isu pertama adalah isu rakyat yang suka meminta. Rakyat sekarang ini tidak lagi memandang kerajaan itu sebagai wakil rakyat, yang mana mereka akan bersama-sama dengan kerajaan untuk memajukan dan mengembangkan lagi negara ini. Sedangkan itulah bentuk sebuah negara yang diamalkan pada zaman khalifah ar-rasyidin, yang mana dengan cara hubungan tersebutlah sesebuah negara akan menjadi maju dengan pesat.

Sebaliknya kerajaan dilihat sebagai pihak yang perlu melaksanakan segala tuntutan rakyat. Inilah majoriti bentuk negara zaman sekarang, namun bentuk ini jugalah yang akan melahirkan negara yang dipenuhi dengan individualistik, kerajaan yang akan melakukan korupsi untuk kepentingan sendiri dan rakyat yang akan meminta semua benda percuma di samping bencikan cukai, rakyat yang akan suka membangkang dan membenci kerajaan.

Isu kedua adalah merudumnya kematangan mahasiswa kita. Kita sudah terlalu banyak berjuang melalui demo dan semangat, sehinggakan kita tidak lagi memerlukan akal dan ilmu di dalam memperjuangkan sesuatu perkara. Melainkan Encik Rafizi (yang tidak kurang ramai mempersoalkan pengiraannya), setakat ini masih tidak ada lagi mahasiswa yang memperjuangkan relevan pendidikan percuma melalui fakta.

Perjuangan yang dilakukan adalah dalam bentuk demo, berkhemah dan lebih memalukan lagi dalam bentuk penghinaan kepada pemimpin negara kita. Ianya memalukan apabila ini sahajalah tahap perjuangan mahasiswa kita. Gabungan daripada dua isu ini menjadikan soalan seperti adakah kerajaan mampu untuk menanggung pendidikan percuma masih lagi menjadi satu tanda tanya yang tidak jelas jawapannya.

Apakah punca kepada dua isu ini? Adakah bermula disebabkan isu yang dimainkan oleh pihak pembangkang? Ataupun bermula disebabkan ketirisan dan korupsi yang dilakukan pihak kerajaan? Ataupun ianya lebih awal lagi daripada semua itu, iaitu pada saat bermulanya rakyat negara ini yang mempunyai tulisan “Agama: Islam” di atas kad pengenalan mereka, mula lari daripada kefahaman dan akhlaq Islam yang sebenar, punca daripada kejatuhan iman di dalam diri mereka.

Ianya menjijikkan apabila takbir dilaungkan sedangkan yang sedang dilakukan adalah dosa penghinaan, membuat “lakonan” seolah-olah pemimpin kita sudah meninggal, malahan melakukannya seperti dalam upacara agama Hindu. Itu saja bukti bahawa yang melaungkan takbir itu sendiri sudah lari daripada ajaran Islam yang benar.

* Izzuddin Yussof adalah seorang mahasiswa di United Kingdom.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments