Side Views

Jangan angkuh… — Bisik-Bisik Mingguan

2 OKT — Akhirnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon maaf kepada Sultan dan seluruh rakyat Johor ekoran kenyataannya memburukkan negeri itu.

Tetapi beliau tidak cukup cerdik. Memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya tetapi menyalahkan media.

Awang hairan dengan sikap Guan Eng, yang asyik menyalahkan pihak lain atas kesalahan yang dilakukannya sendiri. Kalau di negara yang medianya lebih terbuka seperti India, Filipina dan Indonesia, beliau pasti diganyang sampai lunyai.

Memohon maaf dengan cara yang tidak budiman, hanya mengundang tanggapan serong masyarakat dan orang ramai. Kalau begitulah sikapnya, lebih baik beliau tidak memohon maaf.

Ramai yang mempersoalkan permohonan maaf itu yang dianggap tidak ikhlas. Beberapa pemimpin di Pulau Pinang termasuk Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng turut menempelak beliau. Kenyataan Guan Eng bahawa Johor banyak kejadian jenayah dan kurang selamat adalah sama nadanya dengan apa yang pernah didakwa oleh Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew. Kuan Yew memohon maaf selepas mendapat bantahan daripada Malaysia. Kenyataan maaf beliau kelihatan lebih ikhlas berbanding Guan Eng.

Dalam hubungan ini, Awang harap DAP cukup berani untuk mengenakan tindakan disiplin ke atas Setiausaha Agung parti itu. Jika Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan boleh dikenakan hukuman gantung kerana kenyataannya mahu menukar bendera Malaysia apabila pakatan pembangkang memerintah negara, Guan Eng tidak terkecuali.

Kenyataan Guan Eng lebih memudaratkan ekonomi dan imej negara khususnya Johor. Tetapi Awang percaya kepimpinan DAP akan berat sebelah dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu pasti terlepas. Elemen rasis dalam DAP juga menjadi persoalan dalam diam di kalangan sebahagian ahlinya. Selain itu, nepotisme akan menyelamatkan beliau yang juga anak pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang.

Berhubung sikapnya menyalahkan media, itu bukan perkara baru. Beberapa syarikat media menjadi sasaran tindakan beliau yang diketahui banyak pihak sebagai tidak boleh dikritik. Ada yang diboikot dan ada yang diusir daripada sidang akhbar. Pendekatan beliau dilihat oleh beberapa pihak sebagai ala diktator dan itulah belang sebenar Guan Eng. Kebebasan dan keterbukaan yang beliau janjikan hanya retorik dan untuk mengabui pengundi.

Utusan Malaysia adalah akhbar paling banyak diserang oleh Guan Eng. Beliau pernah antara lain menuduh Utusan akhbar penjahat dan Mossad (agensi perisikan Israel) serta bermacam-macam lagi.

Perkembangan terbaru ini adalah satu lagi bukti untuk menilai reputasi beliau. Dalam isu memburuk-burukkan Johor, Guan Eng pada mulanya menafikan bercakap demikian. Tetapi selepas TV3 dan beberapa blog mendedahkan rakaman video kenyataan beliau serta selepas ditegur oleh Sultan Johor, barulah memohon maaf. Kalau di negara Barat, pemimpin seumpama itu akan ditekan oleh rakyat dan pelbagai pihak sehingga melepaskan jawatan. Integriti mesti menjadi tonggak.

Nasihat orang kecil seperti Awang kepada Guan Eng, ambillah iktibar dan satu lagi — janganlah angkuh. — Mingguan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

 

Comments