Side Views

Jangan biar kejadian baling kasut di mahkamah berulang — Norazlita Mohd Sies

February 27, 2012

27 FEB — Sebagai seorang yang pernah memegang status imam, sepatutnya mempunyai tahap kesabaran dan berakhlak mulia, setanding dengan gelaran yang pernah disandangnya. Namun siapa pun tidak menyangka, ketinggian budi pekerti tersebut diragut sekelip mata apabila emosi menguasai diri.

Selain menjadikan sistem kehakiman negara ini sebagai mangsa keadaan, bekas imam terbabit yang hilang pertimbangan, bertindak melemparkan kasut ke arah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datin Paduka Zaleha Zahari.

Barangkali bekas imam tersebut mendapat ilham daripada wartawan Iraq, Muntadar Al-Zeidi, 29, kira-kira empat tahun lalu yang bertindak membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush.

Kejadian seperti ini, memang tidak boleh dibiarkan kerana akan mencemarkan nama baik institusi kehakiman negara. Perkara sebegini perlu ditangani dengan peruntukan undang-undang yang ada bagi mengelakkan ia berulang lagi.

Sebagai orang Melayu yang tinggi nilai budi pekertinya yang rata-rata beragama Islam, kita akan berasa amat malu dengan tindakan lelaki ini.

Di manakah letaknya nilai kesabaran beliau sebagai seorang bekas imam apabila dilanda musibah atau menerima ujian daripada Allah. Seandainya orang yang membaling kasut ataupun selipar itu merupakan Mat Rempit, agak munasabah meskipun ia tetap merupakan perbuatan yang tidak bertamadun. Persoalannya tergamak seorang bekas imam melakukannya.

Sepatutnya lelaki itu bijak mengawal emosinya dan perlu “mengatur strategi” lain dalam hidupnya apabila permohonannya bagi mencabar kesahihan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengosongkan kuarters yang didudukinya. Ia berlaku selepas pelantikannya sebagai imam ditamatkan oleh majlis itu, hampir empat tahun lalu, telah ditolak oleh mahkamah tertinggi negara ini, Rabu lalu.

Di dalam mahkamah, semua keputusan mesti berlandaskan peruntukan undang-undang. Sekiranya pemohon tidak mematuhi peruntukan yang ada, permohonannya tidak memenuhi syarat untuk melayakkannya mendapat kebenaran merayu. Jadi salah siapakah itu. Dia juga perlu bermuhasabah dan tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak tertentu dengan membawa cerita lain.

Sekarang apa sudah jadi? Bukan sahaja nama baiknya tercemar disebabkan tindakannya memperbodohkan diri sendiri, malah dia mungkin berhadapan dengan tindakan undang-undang apabila Timbalan Pendaftar mahkamah tersebut membuat laporan polis.

Peguam Zulkifli Che Yong yang berada dalam prosiding itu meluahkan rasa kesal dengan kejadian tersebut.

''Kejadian membaling kasut, adalah satu perbuatan yang sangat serius dan sepatutnya diberi perhatian serta ditangani dengan tegas oleh pihak-pihak yang berkewajipan. Tambahan pula, ia berlaku dalam satu institusi kehakiman yang tertinggi di negara ini.

''Kejadian tersebut telah tersebar bukan sahaja di Malaysia malah di dunia. Sekiranya tiada tindakan dan pengajaran diberikan, maka penghormatan terhadap sistem kehakiman di Malaysia akan terjejas.

Malahan mungkin akan menarik keinginan pihak lain yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan untuk melakukan perkara yang sama atau yang lebih dahsyat lagi,'' ujar Zulkifli selaku peguam MAIWP.

Menceritakan semula prosiding itu, menurut Zulkifli, hakim-hakim telah menjelaskan kepada pihak pemohon dengan penuh hikmah dan dengan bahasa yang sesuai bagi orang awam serta memberi peluang kepadanya untuk menjawab terhadap isu hujah bantahan awal yang dibangkitkan oleh beliau.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, pemohon tidak menyentuh isu tersebut sebaliknya cuba membawa tohmahan terhadap pengurusan masjid.

Setelah dibantah, isu tersebut tidak dibenarkan kerana tidak relevan dan tiada kaitan dengan prosiding itu berhubung isu pemilikan atau penyerahan semula kuarters masjid, ujar beliau. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.