Jangan biarkan nafsu politik cemari Ramadan — Zulkifle Bakar
21 JULAI — Marhaban Ya Ramadan sepatutnya bukan sekadar ucapan selamat datang yang dilafazkan di mulut sahaja.
Sebaliknya kita perlu menyambut bulan suci ini untuk memperbaiki diri, tinggalkanlah segala perbuatan tercela, berbohong, malas dan perbuatan negatif lain yang mungkin kita lakukan sebelum ini.
Namun apa yang diharapkan Ramadan tahun ini tidak akan dicemari oleh mainan atau gerakan politik yang memualkan termasuklah menjadikan masjid dan surau sebagai pentas untuk menyampaikan ceramah politik.
Cukup-cukuplah selama 11 bulan, umat Islam di negara ini diasak dengan ceramah politik, disumbat dengan tazkirah politik dan mimbar Jumaat juga menjadi medan untuk berpolitik.
Berilah peluang kepada umat Islam untuk menjalani ibadah puasa dengan tenang. Ini bertepatan dengan Ramadan itu yang diangap sebagai “Shahrul Ibadah” (bulan ibadah), “Shahrul Fath” (bulan kemenangan) dan “Shahrul Huda” (bulan petunjuk) iaitu semangat mengajak kepada ajaran al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
Malahan Ramadan juga sebagai “Shahrus-Salam” yang harus kita penuhi dengan usaha mempromosikan perdamaian dan keamanan, “Shahrul-Jihad” (bulan perjuangan) bagi menentang kezaliman dan ketidakadilan di muka bumi ini dan Ramadan sebagai “Shahrul Maghfirah” yang harus kita hiasi dengan meminta dan memberikan keampunan.
Inilah maksud Ramadan yang harus difahami oleh seluruh umat Islam negara kita tanpa apa juga fahaman politik mereka.
Dalam soal ini, mereka yang bertaraf ulama, ustaz atau tok guru janganlah terus mahu berpolitik di bulan suci tersebut.
Walaupun kita memahami Ramadan kali ini dianggap bulan puasa terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi ia bukanlah bermaksud ia menghalalkan kita terus ghairah mencari pengaruh politik di bulan yang sepatutnya ditumpukan untuk beribadat dan memperkukuhkan ukhuwah sesama Islam.
Adalah sesuatu yang malang jika umat Islam yang hadir ke masjid dan surau-surau untuk melaksanakan solat harus dipaksa mendengar tazkirah berbaur politik.
Sepatutnya, kesempatan tazkirah yang selalunya diselang seli dengan solat tarawih dipenuhi dengan nasihat dan panduan bagaimana umat Islam boleh memperbaiki ibadah puasa mereka.
Tetapi malangnya, dalam sesetengah tazkirah ia dipenuhi dengan sindiran dan ada kalanya cercaan yang akhirnya memecah belahkan umat Islam.
Perlu difahami perkataan tazkirah terbit dari surah Az-Dzariyat ayat 55 yang bermaksud “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
Allah SWT memerintahkan umatnya supaya memberi tazkirah dan peringatan justeru tazkirah tersebut memberi manfaat kepada orang-orang beriman.
Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa ayat 114 yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan keraian dan wacana mereka kecuali wacana yang menyuruh orang mengeluarkan sedekah atau melakukan kebaikan (al-makruf) atau melakukan islah pemulihan (hubungan) sesama mereka (orang ramai). Maka barang siapa yang melakukan perbuatan itu semata-mata mencari keredaan Allah nescaya kami akan berikan kepadanya ganjaran yang sangat lumayan”.
Golongan ustaz atau tok guru yang dijemput ke surau, madrasah atau masjid harus memahami perkara ini.
Janganlah kecenderungan politik yang ada di dalam diri mereka telah memungkinkan mereka mencemarkan tazkirah Ramadan dengan nasihat berunsur politik yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada umat Islam.
Dalam bulan yang mulia seperti bulan Ramadan, amalan memberi tazkirah, mengajar orang ramai tentang ilmu agama dan kehidupan yang berasaskan nilai dan hukum agama adalah satu kebaikan yang sangat dituntut justeru pahala mereka akan dilipatgandakan oleh Allah SWT.
Mungkin akan ada yang akan berhujah agama dan politik tidak boleh dipisahkan dan menganggap mereka yang mahu memisahkan perkara itu sebagai jahil dalam ilmu agama.
Tetapi apakah tidak ada had langsung untuk soal berpolitik ini sehingga pada bulan yang seharusnya dipenuhi dengan aktiviti beribadah kepada Allah juga mahu “diperalatkan”?
Penulis diberitahu oleh seorang bekas pemimpin kanan sebuah parti politik bahawa Ramadan kali ini akan digunakan habis-habisan oleh parti politik tertentu untuk berkempen.
''Sama ada surau, masjid mahupun madrasah semuanya mereka sasarkan bagi menyampaikan kuliah berunsur politik,'' katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur semalam.
Kata bekas pemimpin tersebut, parti politik yang berbuat demikian memahami bahawa parti kerajaan tidak akan seagresif mereka di bulan Ramadan.
''Mungkin parti kerajaan hanya mengadakan majlis berbuka puasa sahaja tetapi mereka turut mengadakan tazkirah politik,'' katanya.
Sememangnya kita tidak pasti sejauh manakah gerakan politik yang dirancang oleh parti berkenaan sempena Ramadan ini.
Tetapi apa yang pasti mereka perlu bertanggungjawab dan tidak mencemarkan kesucian Ramadan dengan berpolitik keterlaluan.
Berilah peluang dan ruang kepada umat Islam untuk beribadat dengan tenang di bulan suci ini, janganlah akibat terlalu ghairah untuk memburu kuasa dalam pilihan raya kita terus berpolitik dan berpolitik.
Ramadan seharusnya menjadi titik permulaan kepada kita untuk mengeratkan ukhuwah sesama Islam termasuklah melalui solat tarawih berjemaah.
Malahan di bulan suci ini juga, kita merapatkan silaturahim dengan majlis-majlis berbuka puasa, justeru kenapa perlu ia dicemari dengan mainan politik keterlaluan.
Oleh itu, kepada kelompok yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi masih mahu merancang mengadakan perkara-perkara yang boleh menjejaskan perpaduan Islam, banyak-banyaklah ingat kepada Allah SWT.
Tiada gunanya, kita menahan lapar dan dahaga pada siang hari sedangkan pada malam hari kita terlibat dalam aktiviti politik kepartian yang keterlaluan sehingga menghilangkan pahala puasa kita.
Bukankah ada pemimpin sebuah parti politik menyatakan, pahala itu perlu dijaga agar ia tidak tercicir dalam perjalanan kita mengadap Allah SWT? Jadi janganlah kita menjadi antara mereka golongan yang rugi sepanjang Ramadan ini. — Utusan Malaysia
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.



