Side Views

Jangan ekonomi Melayu musnah — Muhammad Ali Hashim

21 MAC — Hari ini bangsa Melayu menghadapi suasana politik yang jelas sekali berpecah belah. Tiada tanda-tanda yang suasana politik berupaya mengembalikan perpaduan Melayu dalam tempoh terdekat, mahu pun dalam jangka masa sederhana.

Tambahan pula dengan kaedah amalan demokrasi yang semakin bercorak politik pertarungan kalah mati atau “zero-sum game” dalam perebutan kuasa pemerintahan.

Bangsa Melayu terpaksa menerima hakikat perpecahan politik berparti sebagai realiti hidup bermasyarakat dan berdemokrasi. Persoalan yang timbul dari realiti perpecahan ini adalah:

Sementara dipupuk semula perpaduan, apakah yang harus Melayu lakukan supaya mereka terus membina kekuatan ekonomi, tidak terlepas peluang bisnes dan melangsungkan kedudukan kuasa korporat untuk menjadi bangsa maju?

Dalam kata lain, bangsa Melayu wajib menggunakan kebijaksanaan dan segala hikmah untuk menentukan, di samping perbezaan dan perpecahan politik, supaya usaha membina kekuatan ekonomi Melayu tidak tergugat.

Bangsa Melayu mesti pandai melayari gelora dan badai politik yang berpecah belah ini untuk menentukan akhirnya perahu Melayu akan selamat sampai ke destinasi yang dituju. Mereka wajib menyusun semula strategi supaya “perahu” tidak karam dan mereka tidak terus ketinggalan sebagai bangsa yang “hanyut” ekonomi, tanpa arah dan tujuan.

Sesungguhnya ini boleh mereka lakukan. Negara-negara lain yang mengamalkan sistem perebutan kuasa pemerintahan berdemokrasi seperti ini juga kerap diancam ketidakstabilan dan perpecahan politik; namun tetap berupaya meningkatkan prestasi bisnes dan korporat hingga tinggi pencapaian ekonomi.

Hal ini dapat disaksikan di hampir semua negara demokrasi maju yang mengamalkan sistem seperti ini. Beberapa negara pula, seperti Israel sekalipun — politik kerap bergolak dan keselamatan terancam, namun ekonomi dapat terus berkembang pesat. Kedudukan keselamatan serta pertahanan Israel, misalnya, tetap tidak dapat digugat oleh sesiapa.

Jika diperhatikan, mereka semua bijak “menginstitusikan” kepentingan bisnes dan korporat (dan dalam kes Israel, menginstitusikan keupayaan keselamatan dan pertahanan) supaya tidak dipolitikkan dan terdedah kepada sorong tarik dan sepak terajang politik berparti. Sekalipun politik bergolak, institusi pertahanan, keselamatan, ekonomi dan bisnes tetap mantap lagi perkasa. Bagaimana mereka lakukan semua ini?

Antara kaedah paling berkesan adalah menentukan kepentingan bisnes dan korporat tidak dipaksikan kepada kepentingan parti politik tertentu atau kepentingan peribadi pemimpin politik.

Sekalipun terdapat hubungan, bisnes dan korporat dilekangkan dari politik, diurus secara berautonomi oleh pengurusan profesional dan berwibawa. Dengan demikian tidak mudah berlaku tindakan cantas-mencantas yang diperhatikan kerap menjadi punca utama kemerosotan dan kemusnahan kepentingan bisnes dan korporat milik Melayu apabila terlalu dipolitikkan.

Selain politik cantas-mencantas menjadi antara faktor utama menyebabkan kemerosotan kepentingan bisnes dan ekonomi Melayu, kini terdapat satu lagi ancaman besar yang berpotensi memusnahkan langsung benteng ekonomi bangsa. Puncanya terbit setelah Melayu digesa supaya menciplak ideologi politik berteraskan liberalisasi ekonomi.

Jelas sekali, dalam kita menciplak sistem politik demokrasi Barat, kita perlu waspada kesan dan impak yang kadang kala boleh memudaratkan. Justeru, bangsa Melayu juga perlu bijaksana dalam memilih ideologi politik, khasnya yang membawa impak negatif terhadap kepentingan ekonomi.

Hari ini terdapat gagasan politik liberalisasi ekonomi yang menuntut supaya syarikat berkaitan kerajaan atau GLC diswastakan. Ungkapan yang kerap dilaungkan adalah “government has no business to be in business — kerajaan tiada sebab untuk terbabit dalam bisnes.”

Ideologi liberalisasi ini besar pengaruhnya di kalangan golongan yang probisnes dan propasaran. Pada mereka penglibatan kerajaan merosakkan pasaran dan menggugat persaingan, langsung mengancam prospek pertumbuhan pesat ekonomi.

Dasar memperjuangkan liberalisasi ekonomi ini tidak mahukan kerajaan terlibat, sekalipun untuk menseimbangkan sistem, menegakkan keadilan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin dan membela nasib rakyat termiskin. Justeru mereka lantang dengan menjadikan penswastaan sebagai satu agenda utama politik. Pada mereka semua GLC wajib segera diswastakan!

Sebenarnya tuduhan campur tangan kerajaan merosakkan pasaran dan merendahkan keupayaan bersaing serta melemahkan ekonomi negara tidak lagi masuk akal. Kerana hari ini banyak contoh di mana kepimpinan ekonomi kerajaan dengan GLC di barisan depan pasaran, berupaya membina usaha dan memperkasa ekonomi. Contoh terbaik adalah Republik Rakyat China. Kepesatan ekonomi China berjaya menjadikannya ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Antara lain, ekonomi China dipacu GLC hingga mereka memiliki 80 peratus nilai pasaran modal (market capitalization) saham-saham di Bursa China. Kini kaedah pendekatan China dengan peranan besar GLC dilihat sebagai berpotensi menjadi model alternatif kepada sistem kapitalis Barat. Sebaliknya, negara besar Barat kelihatan giat meninjau semula ideologi kapitalisme amalan mereka selama ini setelah digugat krisis global.

Dalam menangani krisis kewangan dan beban hutang negara yang semakin mengancam kestabilan ekonomi masing-masing, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah banyak menggunakan kaedah campur tangan kerajaan dan kelihatan tidak ragu mengetepikan liberalisasi untuk mencari jalan keluar.

Tiba masanya Malaysia juga mengenepikan ketaksuban kepada ideologi liberalisasi ekonomi yang kuat dianjurkan oleh beberapa pihak tertentu. Sebaliknya, peranan strategik GLC membina ekonomi perlu diiktiraf dan diperkasa.

Di Malaysia, dalam kalangan syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia, syarikat GLC kini memiliki lebih 40 peratus daripada nilai pasaran modal. Syarikat PLC ini berperanan sebagai institusi amanah.

Prestasi positif syarikat GLC ini tidak menjadi persoalan dan nyata sekali kerajaan semakin bijak menentukan supaya GLC tidak dipolitikkan untuk terus berupaya mengurus aktiviti bisnes mengikut kaedah pasaran.

Kesimpulannya, jelas sekali syarikat GLC Malaysia menyumbang kepada pertumbuhan nilai ekonomi negara. Mereka juga tidak merosakkan pasaran. Justeru, atas dasar apa harus mereka diswastakan seperti dituntut oleh puak liberalisasi?

GLC Malaysia juga telah diilhamkan penubuhannya oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyeimbangkan ekonomi dan merapatkan jurang kaya-miskin rakyat Malaysia. Kenapa pula harus dirombak ideologi ekonomi yang sangat penting dan strategik dalam usaha menegakkan keadilan dan melindungi nasib golongan miskin yang dahagakan pembelaan?

Sebenarnya sebaliknya lebih wajar dilakukan. GLC berwibawa harus digalakkan memainkan peranan amanah yang lebih besar dan luas. GLC boleh dijadikan institusi teras (seumpama “guang xi” dalam masyarakat China dan “kieretsu” di kalangan Jepun), untuk membina jaringan bisnes PKS dan menggalakkan PKS bangkit ke depan bertumbuh dan membesar sehingga menerajui ekonomi negara dan memenuhi barisan jutawan dan bilionair negara masa depan.

Jangan swastakan GLC. Malah perhebatkan peranan mereka sebagai institusi amanah. Kerajaan juga harus lebih tegas menjamin autonomi mereka daripada dicerobohi kepentingan politik. Ini penting dalam konteks menghidupkan kembali semangat DEB dan menegakkan keadilan ekonomi negara. — Utusan Malaysia

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah timbalan presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments