Side Views

Jangan perli Korea Utara — Subky Latif

19 APRIL — Tidak dipedulikannya kecaman semua dunia, Korea Utara melancarkan juga ujian pelancaran roket jarak jauhnya.

Malangnya roketnya meletup berkecai sebelum masuk ke obit angkasa.

Lalu sekalian yang anti Korea Utara bertepuk tangan dan bersorak atas kegagalan ujian itu.

Semuanya mengejek-ngejek dan memperli Korea Utara atas malang menimpa roketnya itu.

Saya tidak seronok adanya dunia yang berlumba-lumba mencipta roket jarak jauh, peluru berpandu dan senjata nuklear. Ia satu malapetaka yang mengancam dunia  dan keamanan.

Tetapi kuasa nuklear dan roket jarak jauh berisi nuklear sudah ada di dunia dan semuanya dimiliki oleh negara yang keras kepala dan sombong-sombong belaka.

Hampir 30 tahun dulu sebuah negara sombong itu yaitu Perancis menguji senjata nuklearnya di Lautan Pasifik. Jauh di luar sempadan wilayahnya. Semua dunia bising membantahnya. Negara-negara nuklear yang sombong di barat seperti Amerika tidak sungguh-sungguh membantah.

Ia tidak menjadi juara membantahnya di PBB seperti yang dibuatnya terhadap Korea Utara dan pelan nuklear Iran. Hanya negara-negara kelas dua dan kelas tiga saja yang bising membantahnya. Langsung tidak dipedulikan Perancis.

Ketika Korea Utara hendak melancar ujian roket jarak jauhnya, semua anti Korea Utara bangkit membantah. Berbagai ancaman dihadapkan kepadanya jika ia meneruskan juga. Tetapi tidak dipedulikannya. Ia tembak juga roketnya ke udara.

Untung bagi sekalian musuh Korea Utara roket yang diuji itu meletup sebelum masuk ke obit. Ia gagal.

Semua pengecam dan pengutuk Korea Utara itu seronok. Mereka seronok kerana kegagalan itu menyelesaikan kebuntuan mereka untuk menghadapi isu itu. Amerika, Korea Selatan, Jepun dan lain-lain buntu dan tidak tahu apa nak buat jika ujian itu berjaya dan Korea Utara menggunakan roketnya seperti lain-lain kuasa neuklear menyimpan saja benda haram yang berbahaya itu.

Kalau Israel belum menggunakan roket nuklearnya kepada mana-mana negara Islam, maka belum tentu Korea Utara akan menembaknya ke Korea Selantan dan Jepun. Maka Korea Utara akan jadi seperti lain-lain negara yang ada alat dan senjata itu. Oleh kerana ia tidak mendengar cakap Amerika dan NATO, maka mereka menjadi anti roket dan senjata nuklear Korea Utara.

Korea Utara gagal dalam percubaan dan pelancarannya yang pertama itu. Jangan semuanya bangga dan memperleceh kegagalan Korea Utara itu.

Kegagalannya ialah pelancaran dan ujian itu tidak berjaya. Tetapi Korea Utara sudah mencapai kemajuan yang tinggi dalam bidang roket dan senjata itu. Di bidang itu ia sudah berada di atas Korea Selatan dan Jepun yang belum diketahui ia ada ilmu dan pengetahuan itu.

Korea Utara dengan segala kemiskinan dan ketempangannya, ia ada ahli-ahli sains dan jurutera dalam bidang itu. Mereka capai apa yang ada dengan keupayaan sendiri, tidak diajar dan dibantu oleh sesiapa. Ia belajar sendiri, ia buat sendiri. Ia reka dan tiru dari jauh apa yang orang lain capai.

Sehingga ini ia belum dapat ilmu secukupnya seperti yang ada pada kuasa roket dan nuklear yang lain. Ia sedikit kurang dari Amerika dan Israil. Tetapi ia sudah di atas puluhan negara dan bangsa yang tidak ada ilmu seperti yang ia ada.

Ia tidak berjaya atas usaha dan ilmu yang dicarinya sendiri. Ia kini sedang mencari di mana silap dan kelemahan itu. Kegagalan itu mungkin berbentuk sementara. Ia akan terus mencari kelemahannya dan akan mencubanya lagi.

Jangan bersorak atas kejadian itu.

Kalau Jepun yang pakar dalam pengeluaran motokar dan menjadi gergasi pengeluaran motokar pernah setahun lalu menarik ribuan motokarnya dari pasaran dunia kerana ada kegagalan teknikal yang membahayakan, maka ia adalah bukti pakar juga boleh melakukan kesilapan sedang ia sudah menguasi dan amat mahir dalam bidang itu.

Maka Korea Utara yang belum menjadi kuasa dalam bidang roket jarak jauh dan belum punya kapal angkasa, sudah tentu boleh melakukan kesilapan teknik.

Jangan rendahkan keupayaan Korea Utara. Ia akan baiki kesilapannya dan ia adalah negara termaju di bidang itu dibanding dengan lain-lain negara yang tidak ada ilmu dan kemajuan itu. Mungkin kurang dari sepuluh tahun Korea Utara layak menyertai kelab persenjataan itu. — harakahdaily.net

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

 

Comments