Side Views

‘Kabinet bayangan’ atau ‘Kabinet anak-beranak’? — Zulkifli Jalil

6 OKT — Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang sentiasa hendak lebih. Baik pengagihan kerusi mahupun jawatan.

Pada April tahun lalu, parti itu bertanding di 49 kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak. Pendatang baru dan tidak dikenali pun di Bumi Kenyalang, tetapi hajat di hati cukup besar meskipun bertindan dengan satu lagi parti pembangkang di sana iaitu SNAP yang mengisytiharkan bertanding di 27 kerusi. PKR sudah tidak peduli dengan dua lagi sekutu, DAP dan PAS yang masing-masing cuma bertanding 15 kerusi dan PAS (5).

Hasil Pilihan Raya Negeri Sarawak itu semua maklum, DAP meraih lebih kerusi. PAS tak laku manakala PKR cuma memperoleh beberapa kerusi.

Itu pun selepas pilihan raya berkenaan terjadi perbalahan dalam kalangan pakatan pembangkang di Sarawak apabila DAP yang memonopoli kerusi pembangkang, melabelkan PKR sebagai “lapar kuasa” kerana menolak kabinet bayangan yang ditubuhkan (Mei 2011) pada mesyuarat majlis gabungan itu.

Biro politik kebangsaan PKR pada 4 Mei tahun itu menimbulkan bantahan terhadap senarai Kabinet bayangan atas dasar portfolio yang diserahkan kepada mereka kurang penting.

Dalam Kabinet bayangan yang diumumkan sehari dua lalu, demikian juga sikapnya. PKR hendak lebih juga sehinggakan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw terpaksa menyampaikan “mesej keras” di sebalik perwatakan beliau yang lembut. Seng Giaw mengingatkan senarai Kabinet Bayangan PKR itu bukan keputusan bersama pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

Dalam sejarah negara, kalau ada pun Kabinet Bayangan yang tulen, ia hanya disebut pada 1951 bertujuan untuk memupuk kerjasama kaum ke arah berkerajaan sendiri. Ia dilaksanakan pada April 1951 hingga Jun 1955 menjelang kemerdekaan negara, untuk melatih orang Melayu dan kaum lain dalam pentadbiran Tanah Melayu.

Kabinet Bayangan yang dikenali sebagai AHLI ini dicetuskan oleh Datuk Onn Jaafar, disokong oleh pihak British dan raja-raja Melayu. Antara ciri-cirinya termasuklah satu sistem Kabinet bayangan terdiri daripada beberapa orang pegawai dan tokoh masyarakat.

Namun, ketika ini di Malaysia kita cuma ada Kabinet kerajaan yang setiap Rabu atau Jumaat bermesyuarat untuk menentukan hala tuju semasa negara. Di sebalik ini, pakatan pembangkang pula dilihat tidak mampu dan tidak tahu untuk memberikan portfolio kepada tokoh yang sesuai dalam kalangan mereka. Kalau disemak kebanyakan negara luar termasuklah negara maju seperti Jepun, tidak wujud istilah Kabinet bayangan. Ada cakap-cakap mengatakan sistem dua parti yang diamalkan oleh negara seperti Australia dan Britain pernah wujud kabinet bayangan. Benarkah?

Tetapi yang kita sedia maklum, sebuah lagi negara yang juga mengamalkan sistem dua parti seperti Amerika Syarikat tidak sama sekali mempunyai kabinet bayangan. Ditambah lagi, rakyat Amerika sendiri pun tidak mendapat kepastian siapa ketua negara mereka untuk penggal-penggal yang akan datang, apatah lagi menteri Kabinet — jauh sekali.

Di atas kertas, senarai Kabinet bayangan yang “direncanakan” PKR beberapa hari lepas memang cukup baik. Tetapi sama ada berkesan atau tidak, kita boleh nilaikannya bersama berdasarkan pengalaman dan rekod pentadbiran pakatan pembangkang di beberapa negeri dikuasai mereka.

Di Pulau Pinang, terdapat dua timbalan ketua menteri. Timbalan Ketua Menteri yang satu (Datuk Mansor Othman) pun tidak selesa dengan Ketua Menterinya (dengan menggelarkannya sebagai angkuh dan sombong). Penyandang sebelum ini (Mohamad Fairus Khairuddin) pun ada masalah juga.

Dan kenapa hanya pada saat-saat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) baharu hendak diumumkan senarai Kabinet bayangan. Adakah kerana setelah didesak oleh Perdana Menteri? Lagi pun dengan adanya tiga pengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, kebarangkalian wujudnya pertelagahan pemikiran dan tindakan dalam membuat putusan tidak boleh dielakkan.

Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Sistem ini berjalan dengan baik dan mantap dengan sokongan rakyat. Kestabilan negara bergantung pada permuafakatan antara rakyat dengan kerajaan, bak kata pepatah bagai aur dengan tebing.

Gandingan tersebut telah menjamin kejayaan sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Hakikatnya bukan mudah bagi manusia yang berbeza latar belakang, agama dan budaya untuk bekerjasama seperti yang berlaku di negara ini.

Sekalipun kita mempunyai banyak perbezaan, namun kita dapat menjalani kehidupan dengan mengharungi kesukaran, bekerjasama, bersedia untuk berkorban serta berkongsi nikmat kemakmuran dan kejayaan.

Tiada istilah Kabinet bayangan. Yang ada cuma Kabinet yang dibentuk oleh parti yang mendapat kepercayaan rakyat apabila memenangi PRU.

“Kabinet bayangan” pakatan pembangkang hanya bayang sahaja. Tambahan lagi “Kabinet bayangan” itu lebih mirip “Kabinet anak-beranak”? — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Comments