7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Side Views

Kenyataan terbuka Hadi undang spekulasi — Manja Ismail

February 06, 2012

6 FEB — Selepas seminggu mengumumkan hasrat enggan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengubah pendiriannya dengan hanya mahu dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Marang tetapi tidak akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.

Keputusan untuk bertanding kerusi Parlimen saja itu dibuat ekoran mesyuarat Biro Politik PAS, Jumaat lalu, yang dilaporkan sebulat suara menolak hasrat beliau untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya harap mereka (parti) membenarkan saya untuk bertanding satu kerusi saja, selepas menolak hasrat saya untuk tidak bertanding langsung pada pilihan raya umum akan datang. Saya akan dapat berkhidmat dengan lebih baik sebagai presiden parti dan lebih aktif di peringkat Pusat jika hanya mempertahankan kerusi Marang,” katanya di Kuala Terengganu mengulas keputusan Biro Politik PAS itu, Jumaat lalu.

Hadi, dalam temuramahnya dengan sebuah tabloid harian pada 28 Januari lalu, membuat kejutan apabila menyatakan hasrat menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan alasan sudah terlalu lama menjadi wakil rakyat.

Walaupun tidak menyatakan mengenai kedudukannya sebagai Presiden PAS, beliau juga dipetik sebagai berkata, ramai pemimpin pelapis dalam parti itu yang boleh diberi peluang untuk membawa hala tuju parti pada masa depan.

Disebabkan Hadi ialah seorang tokoh penting dalam barisan pembangkang dan kenyataan itu dibuat ketika demam pilihan raya umum semakin terasa, tentulah ia mengundang pelbagai spekulasi dan tanda tanya.

Kebiasaannya, keengganan bertanding dalam pilihan raya umum adalah permulaan pengunduran daripada politik.

Jarang tokoh politik yang berada di puncak secara tiba-tiba mahu berundur semata-mata kerana sudah terlalu lama.

Malah Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, walaupun lebih lama daripada Hadi dan kelihatan semakin uzur, masih mahu bertanding dan menjadi Menteri Besar Kelantan.

Walaupun isu Hadi enggan bertanding ini dianggap selesai, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, ia tidak menghalang daripada orang membuat spekulasi kenapa beliau perlu membuat kenyataan itu secara terbuka?

Kebiasaannya, antara sebab tokoh politik menyatakan hasrat untuk berundur ialah untuk menguji populariti; memang benar-benar fed-up dengan politik dalaman parti; merajuk kerana pandangannya tidak lagi diterima sebahagian besar barisan kepemimpinan; atau kecewa dengan perubahan hala tuju dan asas perjuangan parti.

Kita tidak tahu sebab sebenar Hadi, yang sejak pemilihan PAS tahun lalu jarang membuat kenyataan terbuka, berbuat demikian. Pemilihan itu menyaksikan barisan kepemimpinan PAS dikuasai oleh golongan liberal, yang dilihat amat selesa menjalin hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sehinggakan mengetepikan kepentingan Islam.

Sejak itu juga, pemimpin PKR dan DAP terutama di negeri yang dikuasai mereka dilihat lebih banyak bercakap bagi pihak PAS.

Secara kebetulan, Hadi menyatakan hasratnya berundur ketika PAS menghadapi dua isu yang kepada umum, memperlihatkan campur tangan PKR dan DAP dalam urusan dalaman PAS iaitu pemecatan bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan kritikan terbuka sekutu PAS dalam pembangkang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ekoran penggantungan lima pelajar kolej milik kerajaan negeri itu.

Hasan yang dipecat daripada parti pada 8 Januari lalu kerana kritikan terbukanya terhadap kepemimpinan pembangkang, mendakwa PAS tidak lagi berpegang pada matlamat perjuangan asalnya iaitu menubuhkan negara Islam berikutan penguasaan kumpulan “parasit” yang mempengaruhi dasar parti itu.

Dalam siri jelajahnya ke seluruh negara, Hasan mendedahkan kumpulan itu kini semakin kuat dan memegang pelbagai jawatan penting dan strategik.

Azizan pula, dikritik hebat oleh DAP, PKR dan sebahagian pemimpin PAS kerana mengkritik Buku Jingga yang berupakan manifesto barisan pembangkang. Malah, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari mahu pembangkang mengambil tindakan ke atas Azizan kerana mendakwa Menteri Besar itu menyokong kewujudan Akta Universiti dan Kolej, sedangkan Buku Jingga menjanjikan mereka akan menghapuskan akta berkenaan.

Kecuali Pemuda PAS, yang mempertahankan Azizan (dan juga Hasan sebelum pemecatannya), tidak ada pemimpin kanan parti itu yang berbuat demikian.

Justeru, tidak hairanlah jika ada pihak mengandaikan kenyataan Hadi untuk tidak bertanding baru-baru ini, mempunyai kaitan dengan masalah dalam kepemimpinan PAS sendiri, yang dilihat semakin tunduk kepada tekanan DAP dan PKR. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.