19 FEB — Isu sokongan Anwar Ibrahim terhadap keselamatan Israel dan mahu membuka hubungan diplomatik dengan negara itu mencetuskan gelombang bantahan.
Umat Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bangkit bersuara menentang. Ada beberapa kumpulan ahli Pas termasuk di Pulau Pinang mengadakan demonstrasi membidas Anwar dan mendesak parti tersebut keluar daripada pakatan pembangkang. Pada demonstrasi itu, sebuah kerusi diterbalikkan sebagai simbol menolak Anwar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Di Mersing, gabungan NGO semua kaum membantah kehadiran beliau di sana ekoran pendiriannya itu. Rasa tidak puas hati juga merebak di Indonesia. Beberapa pemimpin NGO, ulama dan tokoh akademik terkejut sambil mempersoalkan Anwar.
Ternyata pakatan pembangkang goyah dengan kenyataan sokongan Anwar terhadap Israel. Pas terutama Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat yang selama ini mendiamkan keterlanjuran Anwar tampil memberi kata dua. Beliau mahu Anwar menarik balik kenyataannya atau menyaman The Wall Street Journal. DAP turut bimbang lalu mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak sealiran dengan pandangan Anwar. Bagaimanapun kenyataan Nik Aziz menegur Anwar dilihat dengan penuh sinikal. Tok Guru tidak punya pilihan dan terpaksa bersuara kerana isu itu boleh merugikan Pas dalam PRU13. Tidak kurang yang menganggap beliau sekadar bersandiwara bagi meredakan kemarahan umat Islam termasuk ahli parti itu.
Seperti dijangka, Anwar yang kepanasan dengan kenyataannya menyokong Israel sebagaimana tersiar dalam The Wall Street Journal, membuat penjelasan yang berbelit-belit. Bagi menyelamatkan diri, beliau membuat penafian dan mencari kewajaran. Dalam ceramahnya semalam, seperti biasa Anwar menyalahkan media. Kelmarin, menerusi penjelasannya kepada media, Anwar mendakwa beliau tetap mengiktiraf kewujudan negara Israel dengan syarat negara tersebut perlu berundur dari tanah Arab dan keganasan ke atas Palestin dihentikan.
Kenapa tidak bercakap sedemikian ketika diwawancara oleh akhbar berkenaan? Mengapa selepas adanya gelombang bantahan baru mahu mengubah kenyataan? Bukan sekali malah banyak kali Anwar berdolak dalih selepas kenyataannya mencetuskan kontroversi. Beliau tidak konsisten sedangkan pemimpin dinilai dengan kata-kata.
Dalam isu tersebut, sepatutnya Anwar tampil memohon maaf kepada umat Islam khususnya rakyat Palestin. Pada Awang, selagi beliau tidak menarik balik kenyataannya secara terbuka, pendirian beliau boleh dianggap sebagai sah dan rasmi. Ia juga secara tidak langsung bermakna Anwar mahu kenyataan beliau yang menyokong keselamatan Israel terus diterima pakai oleh media Israel dan pihak-pihak yang berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Awang tahu apa muslihat beliau. Orang seperti Anwar yang tidak yakin terhadap sokongan rakyat negara sendiri, sentiasa memerlukan bantuan asing agar terus menekan kerajaan negara ini. Ia tidak ubah seperti kisah-kisah pengkhianatan lampau. Kini sejarah berulang, dengan persoalan, apa kesudahannya pula dengan kisah orang bernama Anwar Ibrahim? — utusan online
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






