26 JAN — Cadangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) supaya salinan perisytiharan harta anggota pentadbiran awam Persekutuan termasuk ahli Kabinet diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini mendapat pandangan berbelah bahagi.
Semua pihak baik komponen Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang menggunakan isu ini untuk menarik perhatian rakyat.
Kedua-dua belah pihak pasti sedar cadangan itu adalah untuk menjamin ketelusan dan meningkatkan keyakinan rakyat.
Sekarang rasuah menjadi “senjata” dan “bom” untuk menyerang mana-mana pihak. Sudah banyak cerita sama ada benar atau palsu sesetengah pemimpin digembar-gemburkan terlibat dengan rasuah.
Menerusi cadangan itu, kerajaan DAP Pulau Pinang nampaknya hendak menunjuk-nunjuk. Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan harta masing-masing baru-baru ini. DAP mahu beritahu satu dunia kononnya mereka melakukan pembaharuan dalam pentadbiran negeri.
Sudahlah..., perisytiharan harta ini bukan satu perkara luar biasa dan baru. Sebenarnya, dasar itu sudah lama diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Selama ini semua menteri Kabinet, menteri besar dan ketua menteri mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri manakala Exco melakukannya kepada ketua kerajaan negeri masing-masing.
Kita tahu, ramai orang tidak tahu hal ini sebab kerajaan BN tidak suka heboh-heboh. Tak seperti pembangkang, baru sedikit dilakukan, riuhnya satu kampung.
Kita pun hampir-hampir terlupa hal ini kerana ia jarang-jarang diperkatakan. Tetapi sekarang, apabila ada isu mengenai penyelewengan kuasa dan rasuah, baharu hal ini timbul kembali.
Tapi, jika peraturan perisytiharan harta ini mahu dikuatkuasakan (tak pasti bila ia dilonggarkan), perkara-perkara yang sudah banyak kali ditekankan perlu diambil perhatian.
Misalnya, semua menteri dan timbalan menteri bukan sahaja wajib mengisytiharkan harta mereka tetapi juga perlu membuat pengisytiharan terhadap liabiliti masing-masing termasuk yang ada pada semua ahli keluarga mereka.
Ini kerana, biasanya nilai liabiliti adalah lebih besar daripada jumlah aset. Misalnya jika seorang pemimpin mengisytiharkan hartanya kemungkinan ia hanya setakat RM0.5 juta sahaja tetapi jika dilihat pada liabiliti kemungkinan ia boleh mencecah RM10 juta.
Apakah rakyat tidak berhak tahu nilai harta pemimpin Kabinet? Jika pemimpin dengan “berani” menggalakkan ketelusan dan amanah dalam pentadbiran, maka mereka juga perlu bersedia mengisytiharkan harta kepada SPRM.
Menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi, ada baiknya peraturan perisytiharan harta di kalangan wakil rakyat dikuatkuasakan.
Pun begitu, pengisytiharan harta dan liabiliti itu elok dibuat selepas mereka dipilih menjadi wakil rakyat dan bukannya sebelum tempoh itu.
Semua ini dibuat untuk rakyat. Dengan ini seseorang pemimpin harus sedar, pelantikan mereka sebagai menteri, timbalan menteri, menteri besar dan exco kerajaan negeri bukan bertujuan mengumpul harta atau bermewah-mewah tetapi menyumbangkan khidmat bakti untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta negara.
Janganlah pak menteri dan Yang Berhormat “takut-takut” nilai harta milik mereka diketahui oleh rakyat. Jika mereka sebelum ini adalah ahli perniagaan yang berjaya dan daripada keturunan hartawan, mereka tidak perlu rasa curiga.
Begitu juga jika sebelum ini mereka hanya orang biasa, tidak menjadi soal jika mampu mengumpul harta dengan cara yang betul. Berani kerana benar, takut kerana salah.
Tak mungkin mereka tidak bersetuju dengan cadangan pengisytiharan harta itu yang dibuat untuk membendung amalan rasuah dan kronisme dalam pentadbiran kerajaan.
Bukankah mengisytiharkan harta boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dalam kalangan pemimpin negara.
Kalau penjawat awam sahaja yang diwajibkan mengisytiharkan harta setiap lima tahun sekali dan untuk kenaikan pangkat, maka ia tak begitu kena jika pemimpin tertinggi dikecualikan daripada berbuat demikian. Jika orang bawahan kena, orang atasan pun patut kena. Baru adil namanya.
DAP kini cuba menunjuk-nunjuk sikap keterbukaan dan ketelusan mereka apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anggota Exconya telah mengisytiharkan harta mereka.
PAS Kelantan pula di bawah pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesediaannya mengisytiharkan harta. Bagaimana pula dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim — beranikah beliau untuk mengisytihar harta peribadinya? — Utusan Malaysia
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






