Side Views

Mansuh PTPTN? — Amin Ahmad

April 12, 2012

12 APRIL — Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), ramai pemimpin parti politik mula memancing sokongan dengan pelbagai idea dasar. Ini lumrah. Sekurang-kurangnya politik Malaysia lebih tertumpu kepada perdebatan idea dasar berbanding serangan peribadi. Itu kebaikan pertama yang dapat saya lihat seputar “debat” berkaitan pemansuhan pinjaman PTPTN.

Dulu ketika masih di universiti, seringkali terdengar mahasiswa memperolok PTPTN dengan panggilan PTPTipu. Sebab sebenar olokan tidak dapat dipastikan. Setakat yang didengari, rungutan sering dibuat kerana pinjaman lewat masuk dan kadar 4 peratus kos perkhidmatan untuk bayaran balik.

Sebagai pelajar dari kampung, tawaran untuk membuat pinjaman PTPTN semasa minggu orientasi pelajar itu tentulah satu alternatif paling mudah untuk diterima memandangkan yuran semester pertama itu mencecah RM2,000, dan itu tidak termasuk kos sara hidup. Kos ini mungkin jauh berbeza jika dibandingkan dengan pelajar yang menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selain itu, ada mahasiswa yang merungut kerana tidak mendapat pinjaman penuh disebabkan pendapatan keluarga melebihi tahap tertentu. Ada rakan yang saya ketahui hanya menerima suku daripada jumlah pinjaman tersebut tetapi sebahagian lain yang kaya mendapat pinjaman penuh.

Pendek kata, meskipun pinjaman PTPTN meringankan beban mahasiswa dan ibu bapa pelajar, ia tidak terlepas daripada beberapa kritikan. Namun, ia tidak begitu mendapat perhatian meski sesekali ada riak kecil isu berkaitannya dibincangkan.

Pemansuhan pinjaman PTPTN mendapat momentumnya selepas ia diumumkan oleh Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Sifat popular pada idea itu jelas mampu untuk menarik sokongan pengundi muda berkaitan, malah ibu bapa pelajar yang masih berada di atas pagar atau belum membuat keputusan lebih awal sebelum PRU-13.

Tidak hairanlah idea itu segera mendapat kritikan balas oleh Najib Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan serta Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. Malah, Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi turut mengeluarkan komen berkaitannya.

Falsafah

Idea pemansuhan pinjaman PTPTN ini bukan baru. Saya fikir, berdasarkan perkembangan idea dasar yang dilontarkan, ia adalah sebahagian daripada kerangka besar Pakatan Rakyat untuk memperkenalkan dasar pendidikan percuma. Bagi mereka yang mengikuti perdebatan bersifat ideologi, ini adalah antara idea dasar yang sering ditimbulkan.

Meskipun ia tidak meluas, saya telah menjangka lambat-laun idea pendidikan percuma pasti akan muncul untuk perdebatan awam. Justeru, wajarlah kita memberi ruang untuk idea ini dibincangkan agar keputusan yang diambil mengambil kira kelestarian masa depan negara.

Kenyataan bahawa idea dasar ini sering ditemukan dalam debat bersifat ideologi menjelaskan bahawa ia mempunyai landasan falsafah tertentu. Bagi yang menyokong pendidikan percuma, antara hujah yang dikemukakan ialah idea dasar ini dapat meningkatkan tahap pemikiran dan kemahiran ramai, sekaligus akan memberi kesan kepada pembangunan dalam pelbagai aspek — fizikal dan bukan fizikal.

Meskipun Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau kelihatan tidak bersetuju dengan pemansuhan pinjaman PTPTN, dalam satu forum yang saya pengerusikan dulu, beliau ada menyebut bahawa subsidi pendidikan itu sebagai satu bentuk subsidi yang produktif kerana ia bersifat pelaburan positif.

Bagi yang menolaknya, hujah ekonomi disandarkan. Pendidikan percuma sebenarnya bukanlah percuma dalam pengertian tidak perlu dibayar atau tidak melibatkan kos. Ia bermaksud pihak tertentu perlu membayarnya. Justeru, ia akan membebankan pihak tertentu yang menanggung kos tersebut secara “paksa”. Dalam kes ini, pihak yang membuat usul mencadangkan Petronas sebagai pembiayanya sementara Perdana Menteri membayangkan peningkatan kenaan cukai untuk berbuat demikian.

Perhitungan

Jelas, kedua-dua pandangan tidak dapat mengelak daripada perhitungan ekonomi. Usul untuk pemansuhan digerakkan oleh kepercayaan bahawa ia boleh dilakukan. Usul penolakan pula digerakkan oleh pertanyaan apakah wajar ia dimansuhkan.

Lontaran idea dasar oleh Anwar telah diperincikan oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jelas, beliau menunjukkan bahawa ada keupayaan memansuhkan pinjaman PTPTN.

Sehingga kini belum ada kritikan terhadap perincian yang dikemukakan ini kecuali pelbagai persoalan untuk menguji kemapanan idea dasar tersebut. Perdana Menteri mendakwa nilai bayaran semula kepada PTPTN ialah RM43 billion sementara Timbalan Perdana Menteri pula membayangkan wang Petronas akan kering. Selain mereka, ada juga ahli akademik dan ahli ekonomi yang memberi pandangan hampir sama.

Jawapan bagi kedua-dua maklum balas awal ini disentuh oleh Rafizi secara tidak langsung. Maka, apakah itu menjustifikasikan dasar pendidikan percuma yang mahu diadakan?

Semakan pencapaian semasa

Menurut Indeks Kesejahteraan Legatum, akses kepada pendidikan rendah di Malaysia adalah baik, iaitu sekitar 94 peratus. Bagaimanapun, hanya sekitar 68 peratus sahaja yang mengikuti pendidikan menengah. Jumlah ini menempatkan Malaysia di kedudukan ke-81 dalam pembolehubah ini.

Angka ini juga bermaksud satu per empat pelajar tercicir atau tidak menamatkan pendidikan menengah. Seterusnya sekitar 36 peratus lagi menyambung pengajian di peringkat tinggi, jumlah yang kecil berbanding negara OECD, lebih 50 peratus. Ia menempatkan Malaysia di kedudukan ke-59 dalam pembolehubah ini.

Dari segi peruntukan pula, data Program Pembangunan Bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan nisbah peratusan per Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkurangan. Bagaimanapun, menurut kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, peruntukan pendidikan mencecah lebih RM20 billion dalam Belanjawan 2012. Legatum merumuskan bahawa kemasukan ke pengajian tinggi yang rendah mencerminkan bahawa tidak ramai pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di Malaysia.

Ini bukanlah mewakili semua petunjuk yang ada berkaitan pendidikan, tetapi ia boleh memberi sedikit gambaran besar untuk membantu rumusan idea dasar yang boleh diambil.

Hujah perlu diteliti

Lazimnya, saya melihat idea dasar sebagai sesuatu yang sentiasa terbuka untuk didebatkan. Ia tak semestinya dilihat sebagai pertembungan betul atau salah semata-mata kerana selain itu ia juga boleh dilihat sebagai lebih baik atau kurang baik.

Saya kurang bersetuju apabila ada pihak yang berhujah bahawa negara boleh bankrap dengan pemansuhan pinjaman PTPTN dan pada masa yang sama menegaskan bahawa pengecualian bayaran pinjaman tersebut boleh diberi sekiranya mahasiswa mencapai prestasi kelas pertama. Untuk rekod, pengecualian sebanyak RM399 juta telah diberikan kepada 11,764 mahasiswa.

Ini sebenarnya hujah yang tidak perlu. Pertama, setakat pengetahuan saya, pensyarah tidak dibenarkan memberi kelulusan cemerlang atau menggagalkan terlalu ramai mahasiswa. Kedua, adakah mereka yang memakai hujah ini memaksudkan semakin ramai mahasiswa cemerlang, maka semakin bankraplah negara?

Saya fikir kita semua perlu belajar dan mengamalkan pemisahan kritikan terhadap idea dasar dan penentangan bersifat partisan. Jika ini gagal dibudayakan, istilah reformasi, transformasi, tajdid, islah dan sebagainya hanya akan menjadi slogan muluk.

Saya sendiri mempunyai beberapa pertanyaan tambahan kepada pembawa usul pemansuhan pinjaman PTPTN ini. Selain pinjaman PTPTN, saya sering mendengar pelbagai rancangan yang mahu dijalankan oleh Pakatan Rakyat di mana kantung Petronas juga dijadikan sandaran. Saya pohon agar semua perhitungan yang bersandar kepada kantung Petronas ini dibentang. Kedua, apakah memang kantung Petronas akan digunakan sampai bila-bila untuk tujuan ini?

Untuk membolehkan orang ramai menghakimi dengan telus persoalan ini, saya fikir sudah tiba masanya akaun Petronas dibentang kepada umum dan bukan hanya kepada Perdana Menteri. Ia boleh dibuat di Dewan Rakyat dan akses kepada dokumen boleh dimuat turun di laman web serta dijual melalui cetakan. Selain kemampuan membiayai pendidikan percuma, ramai yang ingin mengetahui banyak hal berkaitan syarikat minyak negara itu.

Alternatif lain

Menyentuh tentang Petronas, saya fikir perincian yang dikemukakan Rafizi agak menarik. Ini kerana sumbernya ialah syarikat milikan negara, bukan secara terus daripada pembayar cukai. Namun, berkaitan persoalan di atas, saya ingin juga bertanya adakah perancangan lain sebagai sokongan untuk membolehkan idea dasar pendidikan percuma itu?

Saya fikir begini: Oleh kerana ada yang menentang, dan dari pengalaman saya jarang terdengar mahasiswa atau ibu bapa pelajar mempertikai keperluan membayar semula pinjaman tersebut, maka pandangan itu jangan ditolak kerana ia mempunyai kebaikan tersendiri. Tanggungjawab yang mahu diambil dan memang sepatutnya diambil oleh masyarakat ini sebenarnya sesuatu yang amat diperlukan negara dalam menangani cabaran masa hadapan.

Saya fikir orang ramai masih boleh menerima usul yang lebih awal dikemukakan melalui Buku Jingga Pakatan Rakyat untuk menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari kawasan luar bandar dan pedalaman. Dengan cara ini, lebihan tanggungan yang tidak perlu patut dialih kepada banyak sekolah dan murid yang memerlukan kualiti kemudahan pendidikan lebih baik, khususnya di Sabah dan di Sarawak.

Paling tidak, jika yuran pengajian tinggi mahu ditanggung melalui pemansuhan pinjaman PTPTN, bayaran balik perlu dibuat ialah pinjaman untuk menampung sara hidup sahaja. Yuran yang dikenakan oleh universiti juga perlu disemak semula. Sebelum ini ada mahasiswa tertentu mengatakan universiti mereka adalah hak kaum mereka sahaja, seolah-olah kaum mereka di universiti lain serta bebanan cukai kepada pelbagai kaum terkecuali daripada pertimbangan. Apakah mereka fikir mahasiswa yang mampu memandu kereta mewah ke kuliah di universiti itu lebih berhak membayar yuran murah berbanding mahasiswa yang terpaksa berlapar untuk meneruskan pengajian?

Saya juga bimbang apabila ramai yang membayangkan percambahan pusat pengajian tinggi swasta, atau yang lebih halus sedikit dinamakan pengkorporatan institut pengajian tinggi itu sebagai ancaman. Untuk saya, ini mesti diraikan.

Kita harus sedar bahawa kewujudan institusi ini bukanlah percuma kerana mereka menyumbang kepada cukai, bayaran premium tanah dan sebagainya — termasuk penambahan peluang pengajian tinggi di samping bayaran gaji lumayan untuk kakitangan akademik dan pentadbirannya.

Jumlah pelaburan besar itu mungkin perlu mengambil masa lebih 10 tahun, malah mungkin sehingga 30 tahun untuk mendapat pulangan. Lebih parah jika mereka gagal mencapai satu tahap kualiti yang mendorong ramai pelajar ingin menyertainya, ia boleh bankrap!

Institusi swasta mesti dilihat sebagai rakan, bahkan pemacu pembangunan negara. Apa yang patut dilakukan oleh mana-mana kerajaan ialah memberi insentif pengecualian cukai kepada pelabur dalam bidang pendidikan, pelajar dan ibu-bapa yang membiayai sendiri pengajian baik di institusi awam mahupun swasta dan bank atau mana-mana syarikat yang menaja mereka.

Selain itu, mana-mana kerajaan wajar mempermudahkan penubuhan Yayasan oleh orang ramai (selain kerajaan) di mana sesiapa yang meyakini gerak kerja yayasan berkenaan boleh diberi pengecualian cukai melalui sumbangan dana pendidikan kepada yayasan berkenaan untuk diagihkan kepada pelajar atau mahasiswa yang layak. Yakinlah, ramai yang mahu memberikan sesuatu kepada masyarakat tetapi sering merasakan banyak peraturan dan campur tangan oleh kerajaan yang menyekat.

Sebenarnya, tidak ada pendidikan percuma kerana tetap ada kos dalam apa juga pilihan — sama ada PTPTN akan dimansuh atau tidak. Yang berbeza ialah siapa yang menanggungnya. Tugas kerajaan sebenarnya bukanlah mengumpul hasil sebanyak-banyaknya, tetapi memudahkan masyarakat melakukan sesuatu secara sukarela berasaskan keadilan.

* Amin Ahmad, 30 ialah Felo di Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas)

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.