MAS bukan pertubuhan amal — Kunta Kinte Original
8 JUN — Selasa lalu, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) jemput Kunta Kinte uji kapal terbang terbaru dan terbesarnya, iaitu Airbus A380.
Dah lama Kunta Kinte tak dapat jemputan macam itu daripada MAS. Kalau tak silap, yang terakhir pada 1990-an bila MAS lancar penerbangan ke Newark, New Jersey, Amerika Syarikat.
Penumpang istimewa penerbangan itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masa itu Timbalan Perdana Menteri. Waktu itu MAS milik swasta dan berkembang pesat. Pada 1998 Anwar kena pecat daripada kerajaan dan 2009 MAS tamatkan penerbangan ke Newark. Itu cerita lama. Tapi kita kena ingat sejarah walaupun kadang-kadang pahit.
Kunta Kinte dari awal lagi minat kepada penerbangan. Masa kanak-kanak dulu, kita lari tunggang-langgang keluar belukar bila dengar bunyi kapal terbang.
Tok Kunta Kinte kata, kalau kita tak lari keluar, kapal terbang akan bom kita sebab sangka kita pengganas komunis. Dalam loghat Utara, tok adalah nenek. Tok wan adalah datuk.
Masa itu zaman penjajah. Darurat lawan komunis baru bermula dan Tentera Udara British kerap bom sarang komunis dalam rimba. Jadi, tok Kunta Kinte guna kesempatan itu takutkan Kunta Kinte dan kawan-kawan supaya jangan main dalam semak.
Tapi kapal terbang A380 MAS yang Kunta Kinte uji tu bukanlah macam kapal terbang zaman dulu kala. Inilah kapal terbang penumpang paling besar dan antara yang paling canggih di dunia.
Nak mudah cerita, Kunta Kinte buat perbandingan. Berat maksimum kapal terbang ini masa terbang naik adalah 560 tan. Lebih kurang sama berat dengan 605 buah kereta Proton Saga baru tanpa muatan.
Kalau ikut pengeluar, iaitu Airbus Industrie di Perancis, A380 boleh bawa sampai 853 penumpang. Itu samalah dengan 170 buah Proton Saga yang muat lima orang dan boleh terbang 15,400 kilometer, iaitu lebih dua kali ganda jarak Kuala Lumpur dengan Jeddah.
Tapi A380 MAS tidaklah bawa ramai macam itu. Selalunya kapasiti maksimum macam itu diguna bagi penerbangan dalam negeri di Jepun dan China. A380 MAS akan bawa 496 penumpang dan kakitangan dalam tiga kelas. Penerbangan sulung dijangka pada 1 Julai ini ke London.
Bukan murah nak beli kapal terbang macam A380 dan lagi susah nak buat untung, lagi-lagilah dalam keadaan ekonomi dunia yang terumbang-ambing sekarang. Itulah cabaran yang sangat besar dan berat bagi MAS.
Masa MAS pesan beli enam buah A380, kalau tak silap Kunta Kinte pada 2006, harga sebuah adalah kira-kira RM950 juta iaitu sama dengan harga 24,000 buah kereta Proton Saga FLX 1.3 atau 38,400 unit kondo rakyat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada kadar tawaran. Tapi sekarang, harga spekulasi dan lelong kondo rakyat di ibu negara dah naik kepada RM65,000.
Kita semua dah baca dalam surat khabar yang MAS sedang alami masalah perniagaan yang paling teruk dalam 40 tahun sejarahnya. Bagi 2011, MAS rugi RM2.52 bilion, dekat-dekat nak sama dengan kos Jambatan Kedua Pulau Pinang kira-kira RM3 bilion.
MAS kata penerbangan Selasa itu “joyride” atau penerbangan seronok-seronok.
Kunta Kinte tak setujulah. Apa yang nak diseronokkan bila prestasi MAS tak baik. Jadi, sebab itulah Kunta Kinte kata penerbangan ujian atau penghargaan.
Memang betul pun. Dalam penerbangan penuh penumpang selama lebih kurang tiga setengah jam itu, banyak ujian dibuat, daripada ujian pengendalian penumpang kepada penyeliaan kabin, simulasi kecemasan dan pendaratan.
Kunta Kinte tak kata Kunta Kinte tak seronok. Tapi sebagai rakyat Malaysia, pembayar cukai dan penyokong MAS, Kunta Kinte lebih seronok kalau MAS berjaya macam awal-awal dulu. Kalau MAS terus rugi, kerajaan kena bantu dan kita yang bayar cukailah yang tanggung.
Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, MAS tak boleh harap kepada pembayar cukai. MAS kena bergantung kepada penumpang dan kepada modal pasaran.
Ini semua pihak kena ingat. Kerajaan, lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan MAS kena realistik, pragmatik, kerja kuat dan berkorban kalau mereka nak jamin kelangsungan (survival) MAS. Mereka kena ingat, MAS bukan pertubuhan amal tetapi adalah perniagaan.
Kita semua kena tahu dan kena terima hakikat yang banyak syarikat penerbangan kebangsaan dan swasta yang ikonik telah muflis dan hilang dari ruang udara. Pada 6 Februari lepas, syarikat penerbangan kebangsaan Hungary, Malev, muflis dan berhenti terbang selepas beroperasi 66 tahun.
Pan Am, syarikat penerbangan Amerika yang jadi peneroka penerbangan jarak jauh, muflis pada 1991 selepas beroperasi selama 64 tahun.
Kunta Kinte dah bagi nasihat dan pandangan dua sen kepada kawan-kawan yang sekarang terajui MAS. Dulu kita sama-sama dalam The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) buat surat khabar. Kunta Kinte harap mereka lebih berjaya daripada pengurusan-pengurusan lalu yang dakwa buat “turnaround” tapi MAS rugi juga. Wallahualam. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.



