Side Views

Masjid kena pastikan tazkirah tak bicara politik — Berita Harian

July 28, 2012

28 JULAI — Mulai malam tadi, surau dan masjid dipenuhi umat Islam untuk mengerjakan solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan ini. Bulan yang kemuliaannya melebihi seribu bulan lain.

Sepanjang bulan ini, ummah meningkatkan ibadat dan mahu mendapatkan keredaan serta keberkatan dijanjikan Allah pada malam Lailatulqadar.

Malangnya, pada masa sama, ada juga manusia yang secara sedar mencemari kesucian masjid dengan menyebar dakyah dan memburukkan pihak tidak disenanginya.

Tazkirah yang sepatutnya diisi dengan ilmu agama, nasihat dan menyeru umat Islam membanyakkan amal ibadat, sebaliknya menjadi ruang memfitnah dan berceramah soal politik.

Pihak pengurusan masjid dan surau wajar memberi perhatian kepada teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengenai adanya pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan menyelitkan soal politik dalam tazkirah mereka.

Pengurusan masjid harus waspada dengan golongan ini, jangan sampai niat suci jemaah mahu beribadat dan beramal sepanjang Ramadan hilang keberkatannya.

Masjid adalah rumah Allah, yang tidak sepatutnya menjadi tempat berceramah mengenai politik pada bila-bila masa, bukan saja ketika Ramadan, apatah lagi memfitnah dan mencerca pihak lain.

Banyak rungutan daripada jemaah yang mahu beribadat mengenai sikap sebilangan penceramah yang menyimpang ketika memberi tazkirah. Pihak masjid perlu berhati-hati memilih penceramah jemputan bagi memastikan hanya yang benar-benar ikhlas membicarakan soal ilmu agama dan perkara makruf.

Jika ada penceramah ingkar dan cuba menyelitkan juga unsur politik dalam tazkirah, pengurusan masjid mempunyai kuasa dan berhak menegur dan menasihati penceramah supaya menghentikan perbuatan itu.

Ketika bahang pilihan raya umum semakin dirasai, tidak mustahil ada penceramah yang cenderung menyelitkan soal politik dan memburukkan pemimpin lain dalam tazkirah. Perbuatan ini hanya akan menyemai kebencian sesama ummah yang tentunya bercanggah dengan tuntutan Islam.

Walau apa jua fahaman politik, mereka sepatutnya menghormati Ramadan dan masjid yang menjadi wahana meningkatkan amal ibadat serta mengeratkan silaturahim.

Sebaik-baiknya permusuhan kerana perbezaan politik dan kepartian eloklah dihentikan sementara sepanjang Ramadan, mudah-mudahan kita mendapat keberkatannya. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Talk of the web