Side Views

Menanti Pilihan Raya Umum ke-13, mencari jawapan kemerosotan 8 Mac 2008 — Noraini Abd Razak

February 07, 2012

7 FEB — Kalau ada carta soalan popular tahun ini, tentunya soalan bila pilihan raya umum ke-13 diadakan menduduki tempat pertama. Sana-sini orang sibuk bertanya tentang tarikh keramat itu.

Rata-rata mahu kepastian, bimbang tak dapat menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan kerana ada urusan di luar negara. Ada juga tidak sabar-sabar mahu mengundi, mungkin pilihan raya ke-13 merupakan kesempatan pertama mahu memangkah kertas undi.

Yang pasti pilihan raya kali ini bukan calang-calang. Keputusan yang bakal dicatatkan kelak merupakan jawapan kepada pelbagai persoalan yang sehingga kini masih kabur. Siri persoalan itu amat berkait rapat dengan keputusan pilihan raya ke-12 yang semua orang tahu dan nampak apa natijahnya.

Rakyat ingin tahu benarkah kemerosotan undi kepada BN pada 8 Mac 2008 berpunca daripada penolakan pengundi terhadap BN. Adakah benar BN semakin kurang mendapat tempat di hati rakyat atau calon-calon BN yang tidak diingini mereka sehingga memaksa pengundi berubah haluan.

Jawapan yang paling dicari benarkah pembangkang semakin kuat. Benarkah kejayaan mereka menguasai lima negeri dan menurunkan majoriti undi BN di kebanyakan kerusi baik Dewan Undangan Negeri mahu pun Parlimen benar-benar kemenangan tulen atau pun segala-gala kebetulan yang tidak pernah dirancang sama sekali.

Jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut tentunya ada pada pilihan raya ke-13. Malah masa depan negara, trend politik serta ke mana arah sokongan rakyat akan terserlah hasil keputusan pilihan raya yang sememangnya ditunggu-tunggu semua pihak.

Apatah lagi dalam keadaan Perdana Menteri dan timbalannya melangsungkan siri jelajah ke seluruh tanah air, ramai yang meramalkan pilihan raya sudah terlalu dekat. Mungkin seawal bulan depan atau Jun, tidak mustahil November atau bulan yang sama menyaksikan BN hanya mampu membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah iaitu pada Mac cuma tahunnya saja yang berbeza.

Tiada siapa menafikan bahawa pilihan raya umum ke-13 sarat dengan misteri yang sukar diramal. Jika 11 pilihan raya sejak 1959 berlangsung dengan ramalan-ramalan yang boleh dijangka jawapannya, pilihan raya Mac 2008 menyanggah segala keselesaan dan menawarkan kejutan yang bukan sedikit, apa pula bacaan pilihan raya umum ke-13?

Biar pun kelihatan sokongan kembali kepada kerajaan BN menerusi dasar rakyat diutamakan dan kekerapan pemimpin turun padang, namun ramalan tidak semudah apa yang tergambar secara fizikal. Hati nurani rakyat masih sukar ditelah ke mana sebenarnya sokongan mereka.

Adakah BN atau pembangkang telah benar-benar bersedia mahu menguji cita rasa rakyat setelah masing-masing diberi mandat untuk memimpin atau ditolak daripada menjadi pemimpin pada 8 Mac 2008.

Paling penting apakah yang dipelajari hasil daripada keputusan pilihan raya lalu dan sejauh mana para pemimpin baik BN mahu pun pembangkang belajar daripada kegembiraan atau kepahitan yang diraih hampir empat tahun lalu.

Jika benar pilihan raya umum ke-12 sarat dengan pengajaran, maka cuba tinjau apa perubahan yang telah dilaksanakan selepas daripada babak-babak BN kehilangan lima negeri dan pembangkang pula umpama mimpi menambah kerusi. Sejauh mana parti benar-benar mengisi keperluan rakyat terutama di peringkat akar umbi yang sering saja diraih undinya tetapi dalam banyak keadaan selalu diketepi sehingga ada rasa sepi akibat tidak dijenguk pemimpin selain tiba musim mengundi.

Begitu juga dengan penyatuan hati ahli-ahli parti di peringkat bawahan. Jika kedengaran masih ada yang tidak berpuas hati dan bercakaran sesama sendiri gara-gara berebut jawatan, adakah ia petanda bahawa rekod lama akan berkumandang dengan alunan muzik sumbang dan akhirnya menjadi umpama senjata makan tuan.

Keterujaan untuk membuktikan siapa sebenarnya yang mendapat sokongan rakyat sememangnya tidak boleh ditahan. Bagi BN, populariti Perdana Menteri yang juga Presiden parti di kalangan rakyat tidak boleh dinafikan. Begitu juga Timbalan Perdana Menteri. Persoalannya, bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin peringkat bahagian dan cawangan. BN perlu ingat bahawa bukan hanya Perdana Menteri dan timbalannya saja yang akan bertanding pada pilihan raya.

Jika presiden dan timbalan presiden popular, maka pemimpin lain di semua peringkat juga mesti popular. Populariti dua pemimpin teratas tidak akan menjamin pemimpin bawahannya akan diterima rakyat jika mereka sendiri tidak berusaha melaksanakan kerja-kerja turun padang bagi memenuhi keperluan pengundi.

Tentunya prinsip itu bercanggah — apabila orang nombor satu tidak popular atau tidak disukai kesannya akan merantai pemimpin bawahan. Kini kaji selidik menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri diterima rakyat jelata, maka pengiktirafan itu sepatutnya dituruti dengan kerja keras pemimpin bawahan supaya BN menjadi parti yang diterima rakyat secara keseluruhannya.

Harus diakui inilah masanya untuk semua pemimpin mengukur baju di badan sendiri. Selepas hampir empat tahun melepasi badai yang hampir saja meruntuhkan kerajaan BN, setiap pemimpin sepatutnya telah tahu sama ada mereka layak menjadi calon untuk pilihan raya akan datang atau sebaliknya. Bagi kerajaan BN, buatlah kaji selidik.

Khabarnya parti pembangkang khususnya DAP bekerja keras menyusun strategi untuk mencatat kemenangan besar pada pilihan raya kali ini. Mereka telah mengenal pasti kawasan yang ditandingi beberapa kali tetapi tewas. DAP tidak akan menarik diri sebaliknya calon yang tidak pernah menang telah dicari penggantinya.

Beberapa calon Melayu telah disenarai pendek untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu. Biar pun ramai yang tersenyum apabila mendengar percaturan hebat DAP, namun jangan dipandang remeh apabila adanya kuasa ketiga yang kelak akan mengganggu jumlah undi di kawasan tersebut sehingga tidak mustahil menghasilkan keputusan yang tidak terduga. Sebaik sahaja berjaya menguasai Pulau Pinang, DAP khabarnya tidak menoleh lagi. Satu pasukan khusus mengkaji kelemahan-kelemahan di kawasan pengundi majoriti Melayu telah ditubuhkan. Mereka mengkaji budaya orang Melayu, kecenderungan bangsa Melayu yang kini dilihat semakin pudar jati diri serta sejauh mana kesanggupan orang Melayu menjadi calon mewakili DAP.

Pilihan raya ke-13 hakikatnya bukan sesuatu yang mudah. Ranjau yang mesti dilalui BN terlalu banyak lantaran catatan keputusan pilihan raya 8 Mac 2008 telah mewujudkan trend baru dalam politik tanah air terutamanya apabila melibatkan undi Melayu yang kini bercabang tiga. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.