Side Views

Mencuri, merompak, rasuah di mana-mana dan setiap masa — Aspan Alias

18 NOV — Ini kes yang sangat memalukan. Polis telah mendapatkan kembali sebahagian wang dari tiga perompak dari MACC yang telah melakukan rompakan terhadap pengurup wang di KLIA baru-baru ini. Wang yang menjadi barang kes itu telah hilang dari simpanan Polis. Wang sejumlah RM11,700 itu di dapati hilang dari bilek pegawai penyiasat ibu pejabat kontigen polis Selangor.pada pukul 2 petang semalam.

Polis sedang menyiasat kes itu di bawah seksyen 457 dan 201 Penal Code untuk menyiasat samada ianya berlaku oleh kecuaian pegawai polis yang bertanggung jawab atau ada elemen kriminal di dalamnya. Isu ini sebenarnya tidak menarik minat ramai, tetapi ianya adalah perkara yang sangat penting untuk diulas.

Dalam kes ini, “jika ianya berlaku oleh kecuaian tindakan disiplin akan diambil terhadap pegawai dan anggota terlibat, tetapi jika ada elemen jenayah yang dilakukan oleh pegawai dan anggota, mereka akan di ambil tindakan mahkamah” kata Ketua Polis Negeri Selangor Tun Hisan Tun Hamzah.

Rompakan dan kecurian berlaku saban hari di seluruh negara dan melibatkan wang dan harta benda yang besar. Rompakan dan kecurian sudah menjadi perkara biasa dalam negara ini kerana semua orang gilakan wang ringgit yang senang, tidak kiralah samada jumlah yang besar atau pun kecil. Rompakan terbuka dan rompakan kolar putih yang dilakukan secara sistematik sentiasa berlaku di kebanyakan kementerian dan jabatan kerajaan.

Kalau ianya berlaku di dalam balai polis sendiri bagaimanalah hendak menjamin keselamatan wang ringgit dan harta benda di tempat lain? Ini amat menakutkan kita dan bagaimana pula pandangan masyarakat antarabangsa dan pelabur-pelabur yang diminta melabur di negara kita?

Baru dua atau tiga hari yang lepas MACC telah menyerahkan kes NFC yang melibatkan keluarga Shahrizat Jalil kepada pihak polis untuk di siasat samada ada ada unsur jenayah atau rasuah atau salah guna kuasa di dalamnya. Tidak tahulah samada kes itu sudah mula di siasat atau belum tetapi ramai pemimpin kerajaan termasuk PM dan DPM telah memberikan komen yang projek itu adalah projek yang berjaya dan pembelian kondominium menerung itu adalah “above board” semuanya.

Rakyat sekarang sibuk membaca cerita rompakan, kecurian dan rasuah besar-besar yang di tuduh terhadap pemimpin-pemimpin kita. Kes PKFZ yang melibatkan bekas Presiden-Presiden MCA yang melibatkan wang rakyat RM12 billion sedang rancak dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Kes Khir Toyo belum selesai lagi dan banyak kes curi dan rompakan sedang dalam mahkamah sekarang ini. Dua belas kes berprofil tinggi yang disebutkan oleh Rais Yatim semasa beliau menjadi menteri undang-undang dulu belum juga selesai dan belum pun dibawa kemuka pengadilan. Kes-kes baru bertimbun-timbun yang belum di siasat.

Lapuran Ketua Audit Negara baru-baru ini menunjukan banyak penyelewengan di lakukan oleh pihak yang berkuasa di jabatan-jabatan serta agensi kerajaan bertimbun-timbun kes dilapurkan berlaku. Kita tidak nampak cara dan jalannya bagaimana kes-kes ini hendak di selesaikan.

Ramai yang berpendapat kes-kes ini tidak akan di ambil tindakan kerana jika hendak di ambil tindakan kepada semuanya, ia akan memakan masa 50 tahun untuk di selesaikan. Maka untung lagilah perasuah-perasuah ini kerana untuk menunggu giliran mereka disiasat ramai di antara mereka akan tidak lagi berada di dunia ini.

Lain-lain perkataan kita sedang berada dalam masyarakat rasuah. Rasuah di mana-mana. Kecurian di mana-mana. Rompakan kolar putih di mana-mana. Masalahnya kesalahan-kesalahan ini dilakukan oleh mereka dalam kerajaan dan mereka mendapat perlindungan dari pihak yang berwajib.

Kalaulah ianya dilakukan oleh parti-parti pembangkang pihak berkuasa akan melakukan tekanan yang kuat walau pun belum tentu ianya ada kes. Teoh Beng Hock menemui ajal oleh kerana siasatan pihak MACC. Khabarnya kes yang di siasat itu melibatkan RM2,000 sahaja.

Kes besar-besar yang melibatkan pembelian kapal selam telah memunahkan ribuan juta ringgit wang rakyat. Sampai ke hari ini kes itu belum dapat di selesaikan kerana ianya melibatkan pemimpin besar negara yang sedang memerintah dan kroni-kroninya.

Dalam kes Altantuya dua anggota polis di dapati bersalah oleh mahkamah tetapi tidak ada persoalan tentang motif pembunuhannya. Ini amat menghairankan tetapi tidak menghairankan kepada siapa yang mampu berfikir secara terbuka.

Kalau kita fikir dengan teliti, kita akan mengakui yang kes-kes jenayah yang berlaku tidak akan selesai sampai bila-bila kerana belum pun kes-kes yang dilapurkan itu di siasat dan di ambil tindakan, kes-kes baru berlaku lagi bertimpa-timpa.

Mungkin itulah sebabnya rakyat sudah hilang kesabaran mereka sehingga mereka telah menentukan cara untuk menghapuskan kegiatan mencuri ini melalui demokrasi, iaitu pilihanraya.

Rakyat telah memikirkan banyak cara untuk menghakis elemen rasuah dan mencuri ini tetapi tidak pernah berjaya. Tetapi kali ini rasanya memang sudah sampai masanya bagi rakyat untuk menolak “once and for all” semua pemimpin dan agen-agen pemimpin yang rasuah serta pencuri ini melalui pilihanraya yang bakal tiba ini.

Apabila rakyat menolak mereka nanti, jangan pula menyalahkan orang atau pihak lain pula. Rakyat adalah manusia biasa; ada had kepada kesabaran mereka. Elok ingatkan pemimpin kita supaya tidak melembukan rakyat yang amat tertekan melihat tingkah laku mereka yang telah diamanahkan untuk mentadbir rakyat dan negara. — aspanaliasnet.blogspot

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments