Side Views

Mengukuhkan peluang Barisan Nasional di Perak — Zulkiflee Bakar

August 25, 2011

25 OGOS — Baru-baru ini penulis menerima panggilan daripada seorang ahli Umno di Perak. Dalam perbualan panjang lebar itu, dia melahirkan harapan tinggi kepada Barisan Nasional (BN) agar terus memerintah Perak.

Bagaimanapun menurutnya sebelum impian itu tercapai, BN terutamanya Umno haruslah memperbaiki beberapa kelemahan.

“Saya cuba hubungi beberapa exco daripada Umno untuk mereka sampaikan pandangan saya kepada Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) tetapi mereka macam layan tak layan saja mungkin juga saya ni hanya penoreh getah maka pandangan saya tak begitu begitu dilayan,” keluhnya.

Inilah masalah sesetengah pemimpin Umno yang terus bersikap sombong dan tidak mahu mendengar suara akar umbi.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Zambry sendiri mengamalkan pendekatan mesra rakyat tetapi tidak semua pemimpin Umno mahu mencontohinya.

Mungkin situasi inilah yang berlaku di Perak, apabila suara-suara akar umbi tidak begitu dipedulikan oleh sesetengah pemimpin.

Masih ada pemimpin-pemimpin Umno yang masih bersikap mendongak langit biar pun parti itu pernah kehilangan kuasa pada 2008.

Pak penoreh getah yang menghubungi penulis itu, memberi pandangan bagaimana Umno boleh mencapai kejayaan di Perak.

Antaranya beliau meminta Umno meningkatkan usaha untuk mendekati rakyat terutamanya pengundi-pengundi Melayu jika parti itu berhasrat memerintah Perak.

“DAP sudah meletakkan sasaran 20 kerusi untuk dimenangi dan ini bermakna Umno dan BN harus sasarkan 39 kerusi. Soalnya bolehkah sasaran BN itu dicapai. Umno sendiri perlu memastikan kemenangan di semua kerusi yang ditandinginya, sedangkan PAS dan PKR juga berupaya untuk menang.

“Rakyat terutamanya orang Melayu sudah serik berada di bawah pemerintahan DAP, mereka mahu Umno terus memerintah tetapi kita harus membuat perancangan lebih teliti bagi merebut peluang itu,” katanya.

Dalam pilihan raya umum lalu daripada 59 kerusi, DAP menjadi dominan apabila memenangi kerusi 18 kerusi diikuti oleh PAS (6 kerusi) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR, 7 kerusi). Kejayaan itu membolehkan pakatan pembangkang memerintah Perak.

Namun ia bertahan 11 bulan sahaja apabila BN kembali berkuasa apabila pembangkang kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tiga wakil rakyatnya keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Ia membolehkan BN yang ketika itu memenangi 28 kerusi menjadi dominan melalui keputusan tiga wakil rakyat berkenaan.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Zambry tidak pernah mengenal penat dan lelak, beliau sentiasa turun padang dan mengatur pelbagai program untuk mendekati rakyat.

“Tetapi itu belum mencukupi, Zambry perlu komitmen jitu daripada semua pihak dalam BN terutamanya ahli-ahli Umno.

“Matlamat kita ialah untuk memastikan Umno kembali menjadi tonggak pemerintahan utama di Perak supaya nasib Melayu akan lebih terbela,” kata ahli Umno berkenaan.

Dalam soal ini penulis yang menghubungi satu sumber di Ipoh memaklumkan BN sebenarnya ada peluang cerah untuk menang.

Situasi dan penerimaan rakyat terhadap parti itu semakin meningkat, malahan kaum Cina yang dikatakan menjadi punca BN tewas dulu sudah semakin ramai berubah angin.

“Tetapi malangnya peluang ini akan terjejas kerana ada di kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang masih belum sedar betapa pilihan raya umum akan datang amat penting kepada survival Umno dan BN.

“Masih ada di kalangan pemimpin-pemimpin Umno Perak yang masih belum sedar, mereka merasakan kuasa yang ada sekarang akan berkekalan, segala-galanya mereka serahkan kepada Menteri Besar untuk mengatur langkah,” kata sumber itu.

Keadaan inilah yang boleh menyulitkan perjuangan Zambry yang siang dan malam sentiasa tekun mengatur strategi untuk memastikan rakyat Perak terutamanya orang Melayu tidak kembali berada di bawah pemerintahan DAP biar pun PAS yang menjadi menteri besar seperti mana berlaku sebelum ini.

Oleh itu adalah perlu pemimpin-pemimpin Umno Perak bersungguh-sungguh berganding bahu bersama-sama Zambry untuk memastikan panji-panji BN terus berkibar di Perak.

Dalam usaha ini, tanpa mahu meminggirkan kepentingan pengundi bukan Melayu, usaha lebih ketara perlu dilakukan bagi menyakinkan pengundi-pengundi Melayu untuk menyokong Umno dan BN.

“Kita boleh lakukan secara halus dengan mengadakan ceramah kecil-kecilan. Tak kisahlah kalau ceramah itu dihadiri oleh 40 atau 50 orang yang penting mesej mampu disampaikan,” kata ahli Umno berkenaan.

Justeru adalah penting jika pemimpin-pemimpin Umno Perak memahami laluan getir yang bakal mereka hadapi dalam pilihan raya umum akan datang.

Janganlah menganggap BN dan Umno kini sudah berada di zon selesa sedangkan pembangkang secara senyap-senyap semakin memperkukuhkan penguasaan mereka.

Rakyat perlu diyakinkan bahawa BN di bawah kepimpinan Zambry berupaya membela nasib mereka dan bukan sekadar menabur janji kosong apatah lagi hanya membela nasib satu-satu kaum sahaja.

“Saudara juga kena peringatkan tuan-tuan penasihat di sekeliling Zambry supaya jujur dalam memberi pandangan, dengarlah suara akar umbi, jangan beri laporan baik-baik sahaja,” kata ahli Umno itu lagi.

Mungkin dia hanya ahli Umno tetapi survival parti itu sememang bergantung sepenuhnya kepada ahli akar umbi dan rakyat di peringkat bawah.

Janganlah kita memandang remeh pandangan seumpama itu kerana Umno Perak harus akui bahawa pada masa ini telahan sudah dibuat BN negeri tersebut masih dilihat sukar untuk mengekalkan kuasa.

Ketika mengulas keluhan ini, seorang pemimpin kanan Umno Perak mengakui bahawa ia ada benarnya.

“Pemimpin-pemimpin Umno Perak perlu realistik dan menerima hakikat, janganlah kita mengamalkan sindrom penafian yang kini semakin ketara dilakukan oleh pembangkang,” kata pemimpin berkenaan ketika ditemui, di Kuala Lumpur.

Apa pun penulis percaya Umno dan BN Perak mempunyai kekuatan serta kemampuan untuk mengekalkan kuasa asalkan mereka berjuang dengan penuh keikhlasan demi masa depan agama, bangsa dan negara. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Talk of the web