4 FEB —Antara dwiproduk utama kepada landskap politik pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 adalah kewujudan apa yang dikatakan sebagai “kuasa ketiga” (third force) dalam senario politik tanah air.
Kewujudan kuasa ketiga ini mula menjadi bahan bualan yang hangat di kalangan pemerhati dan aktivis politik.
Siapakah sebenarnya kuasa ketiga? Apakah peranan mereka? Adakah mereka mampu mengekalkan “status” sebagai kuasa ketiga sehingga pusingan akhir penentuan tarikh pilihan raya umum kelak? Apakah mereka ini benar-benar non-partisan dalam erti kata yang sebenar?
Sebagai rakyat, kewujudan “kuasa ketiga” dalam apa sahaja bentuk sememangnya memberikan kita lebih pilihan. Kalau memang menjadi niat dan hasrat mana-mana kumpulan untuk mencari pengaruh dan menjadi kuasa penentu; maka kewujudan kuasa ketiga ini berpeluang menjadi “penentu” yang bukan kecil anak.
Namun, ia mesti diterasi dengan sikap dan pandangan yang konsisten tentang apa yang diperjuangkan. Kewujudan kumpulan “kecil” hanya di atas landasan pemikiran “serpihan” tidak akan mampu membawa mereka ke mana-mana.
Kuasa ketiga yang mahu benar-benar berpengaruh perlu mempunyai “garisan perjuangan” yang jelas, niat organisasi yang luhur, organisasi yang tersusun dan kepimpinan yang mempunyai aura.
Empat perkara asas ini amat penting untuk diberikan perhatian oleh mana-mana pihak sekalipun, yang mahu dengan gah dan yakin, mengangkat diri dan kumpulan mereka sebagai “kuasa ketiga”. Sekiranya ciri-ciri ini tidak dapat diterjemahkan dengan baik dan meyakinkan, tidak mustahil bahawa mereka mampu bangkit sebagai kumpulan penentu dalam mewarnakan lagi politik di Malaysia.
Namun begitu, menurut pemerhatian awal penulis, dalam konteks realiti politik Malaysia, kewujudan kuasa ketiga yang benar-benar merdeka, berdiri sendiri dan non-partisan masih lagi belum menyerlah. Kuasa ketiga yang ada di Malaysia masih lagi membawa “wajah dan bau politik”.
Mereka masih lagi menyandarkan diri kepada dokongan politik dan masih belum mampu tampil sebagai kumpulan yang sebenar-benarnya indie dalam segala segi. Sejujurnya, politik di Malaysia bukanlah sesuatu yang murah dan mudah. Gerakan apa sekalipun, mestilah didokong dengan keyakinan material untuk memimpin “ahli” dan jemaah secara berkesan dan realistik.
Dalam ruang lingkup demokrasi yang lebih matang dan terkehadapan, kewujudan kuasa ketiga ini sememangnya mendapat perhatian dan pengaruh yang besar di kalangan rakyat dan pengundi. Kumpulan “Tea Party” dan “Occupy Wall Street Movement” pada ketika ini dalam sistem dwi-parti yang ada di Amerika Syarikat mampu menjadi contoh.
Gerakan akar umbi yang digerakkan oleh dua kumpulan yang dikatakan sebagai kuasa ketiga politik Amerika ini agak berpengaruh. Malahan, gerakan Tea Party juga yang telah memungkinkan Parti Republikan menguasai Kongres Amerika dengan lebih meyakinkan.
Konsensus Bebas
Kita ambil sahaja contoh bagaimana beberapa orang Ahli Parlimen yang menggelarkan diri mereka sebagai “konsensus bebas”. Rakyat masih tercari-cari apa sebenarnya yang mereka konsensus dan sejauh mana mereka benar-benar “bebas” daripada jalur pemikiran yang ada dalam aliran politik perdana.
Kebanyakan pandangan dan jalur pemikiran mereka masih bersifat “menyerang” dan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan politik peribadi. Kewujudan apa yang digelar sebagai “konsensus bebas” masih lagi terikat dengan permainan politik konvensional.
Ya, mereka sememangnya mampu mengumpulkan audiens dalam siri ceramah yang diatur di seluruh negara. Namun, isu yang dibawa masih lagi dalam kepompong isu yang turut dibawa oleh parti politik arus perdana. Justeru, apakah mereka ini mampu diangkat sebagai kuasa ketiga; sekiranya “consensus” dan “kebebasan” mereka sendiri hmasih lagi tidak jelas dan kabur.
Namun, harapan buat mereka pastinya masih ada. Ia bergantung kepada sejauh mana kehadiran mereka di kawasan masing-masing masih lagi ampuh dan kuat; sekali gus membenarkan mana-mana parti politik membenarkan mereka bertanding di atas tiket politik arus perdana.
Langkah dan tindakan ini juga bukan mudah. Mereka perlu berhadapan dengan jentera politik arus perdana yang sudah pun lama membuatkan persiapan untuk mengembalikan kemenangan kawasan yang tewas kepada parti kerajaan.
Barisan Nasional (BN) sebagai contoh perlu membuat keputusan sama ada memberikan “tiket” bertanding kepada kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai konsensus bebas. Soal pokok, bolehkah mereka memenangi semula kawasan mereka; sedang kebanyakan daripada mereka ini “tidak berapa berjaya” berperanan sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Kita perlu menerima hakikat realiti politik Malaysia memerlukan seseorang wakil rakyat didokong oleh “kekuatan parti dan kerajaan”. Benar, kita masih boleh bertanding di atas kapasiti individu, kekuatan aura peribadi dan kemampuan kewangan sendiri; namun apakah ia nanti akan mampu membawa manfaat langsung kepada rakyat di kawasan diwakili adalah satu perkara yang berbeza.
Adalah sesuatu yang sangat sukar untuk survive secara sendirian dalam senario politik Malaysia yang sangat demanding. Bagaimana nak melayan keperluan penyokong dan pengundi? Apakah tanpa bantuan agensi dan jentera kerajaan mampu memungkinkan seorang individu/sekumpulan tertentu meletakkan diri mereka sebagai kumpulan yang berkesan di peringkat paling akar dalam politik Malaysia.
Tanggungjawab yang besar, kehendak rakyat yang pelbagai, keperluan infra yang menyeluruh — mungkin memberikan hambatan untuk “kuasa ketiga” menjadi lebih dominan dalam politik Malaysia.
Kita boleh mengambil contoh yang sangat dekat, bagaimana sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu, sejumlah 71 calon daripada Barisan Nasional, 15 Parti Tindakan Demokratik (DAP), 26 Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), 49 Parti Keadilan Rakyat (PKR), lima Parti Islam SeMalaysia (PAS), enam Parti Cinta Malaysia (PCM) dan 41 Bebas bertanding pada pilihan raya yang akan diadakan pada 16 April 2011.
Hanya seorang daripada 41 calon Bebas yang menang sewaktu PRN tersebut. Ini sekali gus memberikan bayangan, setinggi mana pun harapan untuk melihat kewujudan “kuasa ketiga”, realiti politik tidak memungkinkan ia berlaku dengan mudah.
Apa yang berlaku di PRN Sarawak adalah satu nota kaki yang jelas bahawa tidak mudah untuk menterjemah kuasa ketiga dalam erti kata yang sebenar. Tahap kematangan demokrasi di Malaysia belum sampai ke takat dan tahap itu. Segalanya masih berpusat kepada kekuatan organisasi dan jentera parti. Semuanya banyak berpaksi kepada “servis” dan khidmat politik setempat yang diberikan parti politik kepada masyarakat.
Mungkin, pada pandangan penulis, takrif “kuasa ketiga” yang sering kali dimainkan oleh individu/kumpulan tertentu ini lebih membawa maksud kemampuan “mengurus pandangan umum” dan belum lagi sampai ke tahap menentukan kekuasaan politik.
Apa yang berlaku mutakhir ini, bagaimana parti yang sudah melakukan “penjenamaan semula” kononnya secara total; akhirnya terpaksa tersungkur walaupun belum lama berada di persada politik tanah air. Pemimpin parti KITA, sebagai misal, mungkin seorang yang mempunyai “aura” tetapi tidak diterjemah secara bersungguh dan positif dalam merangka imej dan kredibiliti sebuah parti.
Pandangan yang tidak konsisten, kekerapan melompat pagar pandangan, sikap oportunis — akhirnya memungkinkan parti tersebut menemui ajal yang terlalu awal. Demikianlah contoh bagaimana sukarnya untuk menterjemah maksud “kuasa ketiga” dalam konteksnya yang lebih berpusat kepada kuasa.
Justeru, untuk PRU yang akan datang ini, “kuasa ketiga” rasanya belum mampu untuk diterjemah dalam bentuknya yang paling afdal. Sebagai orkestrator pandangan umum mungkin berkesan dan mampu. Namun, untuk menjadi satu “barisan non-partisan” yang benar-benar bebas; rasanya belum lagi.
Namun ini sama sekali tidak bermakna kuasa ketiga tidak boleh menjadi kumpulan politik yang berkesan dan berpengaruh. Ruangnya masih ada. Bagaimanapun, ia akan sedikit mengambil masa dan memerlukan proses pendidikan dan sosialisasi politik yang panjang.
Benar, “kuasa ketiga” sudah pun mengambil tempat yang tinggi di dalam kerangka politik yang matang dan maju seperti Amerika Syarikat dan England. Kemenangan (walaupun secara relatifnya masih kecil) Parti Liberal Demokrat sewaktu pilihan raya di UK baru-baru ini adalah contoh yang nyata.
Parti tersebut boleh dikatakan berjaya, apabila mampu meletakkan calon parti tersebut sebagai “Timbalan Perdana Menteri” dalam susunan kabinet yang baru. Ini semua hanya mampu berlaku dengan gerak kerja politik yang bersungguh selama beberapa tahun, seperti yang dihuraikan di dalam buku “Third Force Politics: Liberal Democrats at the Grassroots”.
Kuasa pertama, kedua mahupun ketiga, pokok pangkalnya akan ditentukan oleh rakyat teramai. Garis ukur sebuah kerajaan yang wibawa, kredibel dan mampu menggalas amanah akan ditentukan oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang. Proses demokrasi akan membenarkan “jemari hikmat” mereka menentukan siapa yang perlu diangkat sebagai pemimpin sebenar; baik dalam konteks Negeri mahupun Persekutuan.
Penulis mengagak, “kuasa ketiga” dalam politik Malaysia akan hanya menjadi matang dalam PRU-15 dan ke atas. Untuk PRU-13, ianya masih berlingkar di landasan politik yang asas dan pokok. — Utusan Malaysia
* Penulis ialah pemerhati politik.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






