Side Views

Menuju pilihan raya: Ahli politik dan kita — Amin Ahmad

August 16, 2012

18 OGOS — Sejak setahun yang lalu desas-desus tentang pilihan raya umum ke-13 mula kedengaran meskipun tempoh akhir perkhidmatan kerajaan hanya akan berakhir pada suku pertama

tahun hadapan. Paling tidak, ia boleh dijadikan petunjuk bahawa rakyat Malaysia masih mempercayai sistem demokrasi meskipun tidak sedikit yang mempertikaikan ketelusan dan kecekapannya.

Memang sewajarnya setiap individu, khususnya yang layak mengundi, memberi perhatian besar kepada proses pilihan raya ini. Sistem politik yang cuba diamalkan di negara Malaysia ialah demokrasi, di mana proses pilihan raya diadakan untuk membolehkan mereka yang layak mengundi membuat keputusan memilih kerajaan dan perwakilan mereka (mengikut sistem demokrasi tidak langsung di Malaysia). Dalam kata lain, sumber keabsahan kerajaan ialah daripada majoriti pengundi.

Dalam usaha memenangi hati pengundi ini, kita dapat mendengar, membaca dan melihat pelbagai hujah dikemukakan oleh sejumlah individu tokoh, sama ada atas kapasiti peribadi atau parti yang diwakilinya. Tidak kurang juga kempen penyokong mereka. Masing-masing cuba memberi gambaran bahawa tokoh dan partinya adalah yang terbaik.

Mereka yang tidak berparti juga terlibat dalam proses ini. Daripada lebih 12 juta pengundi yang berdaftar, dianggarkan sekitar 30 hingga 40 peratus adalah kumpulan atas pagar, tidak diketahui secara pasti kecenderungan politik mereka. Jumlah ini adalah cukup signifikan bagi tokoh dan penyokong parti politik untuk menang.

Janji dan tawaran politik

Justeru, banyak janji dan tawaran dibuat untuk memastikan majoriti undi diraih. Bahkan memang sebahagian janji dan tawaran ini diharapkan oleh pengundi, sama ada ia memang diperlukan atau sebagai syarat umum untuk mendapatkan sokongan. Maka, tidak hairanlah apabila kita sering mendengar pelbagai tawaran – pendidikan percuma, penghapusan tol, penetapan gaji minima, pemberian tunai atau barangan kepada orang ramai, harga barang murah di kedai tertentu, dan banyak lagi – daripada tokoh-tokoh dan parti politik untuk memenangi atau memenuhi kemahuan orang ramai, khususnya pengundi. Umum menerima ini sebagai satu proses yang biasa dalam politik dan pilihan raya. Pada pandangan ramai, tujuan kerajaan memang untuk membantu rakyat. Jika ada mana-mana kerajaan yang tidak mahu berbuat demikian, adalah lebih baik mereka tidak dipilih dan jika boleh jangan bertanding pun!

Oleh kerana ini secara umumnya diterima, jarang kita mendengar atau membaca analisa kritis di sebaliknya. Malah kadangkala kita diletakkan dalam situasi ‘rasa bersalah’ dengan gesaan agar bersyukur dengan apa yang ada. Daripada perspektif lain pula, sayup terdengar kisah negara akan bankrap atau pertanyaan penting “daripada manakah sumber yang akan diambil untuk menampung tawaran dan janji-janji tertentu?”.

Kita tidak dapat mengelak daripada jangkaan dan permintaan tidak terhad daripada orang ramai yang mahukan masalah mereka diselesaikan oleh ahli politik. Pada tahap tertentu ia menjadikan ahli politik sebagai seorang yang berada di kelas berbeza, lebih tinggi daripada rakyat biasa. Jika ahli politik itu bertaraf Menteri, mereka seperti mempunyai keistimewaan khas berbanding orang ramai.

Ia tidak terhenti di situ. Untuk mengekalkan gambaran ‘kelas berbeza’ atau ‘keistimewaan’ ini, ahli politik berusaha memenuhi atau menggambarkan bahawa mereka sedang berbuat sesuatu dengan jangkaan dan permintaan yang ada, meskipun kadangkala pendirian mereka terhadap sesuatu isu tertentu yang sama berubah-ubah.

Teori Pilihan Awam

Fenomena ini bukan baru. Ia pernah dijelaskan oleh James Buchanan (penerima Anugerah Nobel dalam Sains Ekonomi pada tahun 1986) dan sejumlah pemikir lain dalam apa yang dinamakan sebagai Teori Pilihan Awam (Public Choice Theory).

Dalam teori ini, ia menegaskan bahawa dorongan utama manusia ialah apa yang penting bagi diri mereka sendiri dan motivasi penglibatan dalam politik adalah untuk memenuhinya.

Pengundi akan memilih apa yang mereka fikir atau rasa mempunyai kepentingan sendiri dan begitu juga ahli politik akan memberi janji dan tawaran yang dirasakan boleh memenangkan diri sendiri atau parti mereka.

Ringkasnya rakyat memilih siapa membentuk kerajaan dan berharap mereka ini nanti akan berkhidmat untuk kebaikan rakyat. Bunyinya sangat masuk akal, bukan?

Apa yang mungkin tidak dipertimbangkan di sini ialah ahli politik yang menawarkan diri dan dipilih adalah manusia biasa seperti sebelum mereka menang. Mereka juga mempunyai hal kepentingan diri yang hampir mustahil diabaikan.

Ahli politik hanya perlu memastikan sokongan majoriti (meskipun kecil) untuk mendapatkan kuasa dan berbuat sesuatu. Keperluan dana besar bagi tujuan kempen sering mendekatkan mereka dengan segelintir pihak yang mampu menyediakannya. Perlu diperhatikan di sini ialah wujudnya kecenderungan untuk mereka hanya menjaga segelintir pihak ini sekiranya menang, sebagai satu elemen ‘balas budi’. Selain itu, sebahagian dasar yang diambil juga sering hanya untuk memuaskan hati kelompok tertentu, cukup untuk memastikan majoriti undi bakal diperolehi dalam pilihan raya seterusnya.

Mungkin kerana itulah James Madison tangkas dalam mengemukakan pandangannya dalam Kertas Federalis (Federalist Paper) Nombor 51: “Apakah kerajaan itu, selain pantulan semua sifat manusia? Jika manusia adalah malaikat, maka kerajaan tidak diperlukan. Jika malaikat yang mentadbir manusia, kawalan dalaman atau luaran tidak diperlukan. Dalam merangka sebuah kerajaan di mana manusia akan mentadbir manusia, hal yang paling sukar ada pada ini: anda mesti terlebih dahulu membolehkan kerajaan mengawal mereka yang ditadbir; dan seterusnya wajib mengawal diri sendiri. Pergantungan kepada rakyat, tanpa syak, adalah kawalan utama kepada kerajaan, tetapi pengalaman mengajar manusia untuk mengambil tambahan langkah berjaga-jaga.”

Hakikatnya ialah kerajaan (baca: mereka yang menang pilihan raya) tidak boleh memberi apa pun kepada sesiapa tanpa terlebih dahulu mengambilnya daripada pihak tertentu. Ini telah diperingatkan dengan tegas oleh Frederic Bastiat, ahli falsafah dan tokoh politik pasca Revolusi Perancis: “Semua orang mahu hidup dengan tanggungan kerajaan. Mereka lupa kerajaan mahu hidup dengan tanggungan semua orang.”Baginya, kerajaan adalah sebuah fiksyen hebat, di mana melaluinya semua pihak mahu hidup dengan tanggungan pihak lain.

Kesan yang tidak diharapkan

Memang kini ada peningkatan rasa tidak percaya, atau putus harap kepada kerajaan atau lebih tepat lagi ahli politik. Ia perlahan-lahan meresap masuk ke dalam diri dan sekaligus mempengaruhi ramai orang. Namun sayangnya ramai juga di kalangan mereka ini mahu memberikan lebih banyak kuasa dan tanggungjawab kepada ahli politik bagi menyelesaikan segala jangkaan dan kemahuan mereka.

Jika kerajaan tidak dapat berbuat sesuatu sebagaimana dituntut, ia akan dikatakan lemah dan gagal. Jika kerajaan cuba menunaikannya, ia akan mengambilnya daripada satu pihak, atau mungkin semua pihak. Ia akhirnya memaksa tokoh atau parti politik memberikan janji palsu atau menggunakan kuasa kerajaan untuk mengambil daripada satu pihak lain, atau semua pihak untuk melakukan apa yang telah dijanjikan.

Lebih parah daripada itu, ia mendorong berlakunya rasuah di kalangan wakil rakyat yang cuba memenuhi jangkaan, permintaan atau persepsi orang ramai ini kerana ada tanggapan bahawa mereka mesti memberikan sesuatu jika ‘turun padang’ melawat kawasan. Pada tahap tertentu tugas yang sepatutnya dilakukan oleh agensi kerajaan misalnya kes longkang tersumbat dan lain-lain juga dibebankan kepada mereka.

Selain daripada itu kerajaan mungkin terdorong berhutang untuk mengadakan sumber yang mahu diberikan. Untuk rekod, hutang negara Malaysia kian bertambah dengan mendadak daripada sekitar RM88 billion pada tahun 1998 kepada lebih RM460 billion pada tahun 2012, lima kali ganda dalam tempoh hampir 15 tahun! Hal ini berlaku sebahagiannya kerana ahli politik dalam kerajaan yang cuba memenuhi pelbagai permintaan ramai, selain mungkin berpunca daripada ketidakcekapan tertentu dalam pengurusan dan pelaksanaan projek.

Semua ini adalah kesan yang sebenarnya tidak diharapkan.

Membataskan kuasa dan fungsi kerajaan

Daripada sifat alamiah tentang tujuan dan sifat aktiviti kerajaan, sehingga sudut pandangan berdasarkan kesan-kesan yang terhasil, jelaslah ada batasan kuasa dan fungsi yang perlu dikenal pasti dan ditegakkan.

Menjelang pilihan raya umum, elok kiranya jika kuasa dan fungsi kerajaan ini dipertanyakandan didebat di kalangan masyarakat negara Malaysia. Aspirasi untuk mengadakan kebaikan bersama telah seringkali menjadi sebuah angan-angan – politik romantis. Kuasa rakyat hanya semakin besar apabila kita mula menguruskan lebih banyak kemahuan dan keperluan bersama secara sukarela dan beretika – tanpa atau kurangnya campur tangan kerajaan – dan bukan sebaliknya. Sesungguhnya kerajaan yang terbaik ialah yang menghadkan kuasa dan campur tangannya.

Ia mungkin jenis politik yang tidak romantis, tetapi paling diperlukan.

*Amin Ahmad, 30 ialah Pengurus Projek dan Operasi di IDEAS (www.ideas.org.my).

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Talk of the web