Side Views

Menyedarkan umat Islam dalam LGBT — Norazlita Mohd Sies

March 09, 2012

9 MAC — Perjuangan orang Melayu mestilah berpaksikan kepada agama Islam dan tidak sepatutnya memperjuangkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Agak pelik apabila seorang Islam, yang mengakui dirinya Islam tetapi memperjuangkan perkara yang bertentangan 100 peratus dengan Islam.

Sedih memikirkan mentaliti anak-anak Melayu yang membelakangkan agama suci itu demi menurut peredaran zaman. Perasaan itu timbul ketika membuat liputan permohonan penganjur program Seksualiti Merdeka 2011 baru-baru ini di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara.

Meskipun permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman telah ditolak, namun kelima-lima pemohon yang dua daripadanya beragama Islam tidak patah semangat sebaliknya mahu memanjangkan perjuangan mereka ke peringkat rayuan.

Pengamal undang-undang syariah, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain berpendapat, wujud budaya tidak sihat apabila orang Islam menyokong perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk menjadikannya sebagai budaya hidup di negara ini. Ia bukan sahaja mencabar undang-undang negara bahkan hukum Islam.

‘‘Mereka sepatutnya mengambil iktibar agar tidak mengulangi apa yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth, yang menerima pembalasan maha dahsyat. Fitrah pembalasan Allah bukan sahaja terkena pada pelakunya tetapi juga kepada seluruh umat yang membiarkan perbuatan terkutuk itu bermaharajalela sehingga menjadi budaya hidup masyarakat pada zaman mereka.

‘‘Tidak mustahil pembalasan yang sama akan menimpa kita jika bersekongkol dengan golongan terlaknat ini,’’ ujar beliau.

Dari sudut perundangan syariah, jelas Mohd. Zaidi, sememangnya setiap negeri memperuntukkan undang-undang berhubung hukuman bagi mereka yang didapati bersalah melakukan hubungan seks luar tabii seperti yang dituntut oleh golongan ini.

Namun ia tidak sama dan tidak menyeluruh antara negeri selain hukumannya masih lagi ringan berbanding dengan kehendak syarak yang sebenarnya.

Sebagai contoh Enakmen 9, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Seksyen 28 menyatakan sesiapa yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan.

Ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu, jika sabit kesalahan. Wilayah Persekutuan pula tidak mempunyai peruntukan itu sebaliknya memperuntukkan kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 25, di bawah tajuk liwat.

Iaitu mana-mana lelaki yang melakukan perbuatan itu apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Mohd. Zaidi berkata, berdasarkan pengamatan beliau, pihak pejabat agama telah memberikan komitmen mereka setakat yang termampu. Namun menurut beliau, disebabkan pelbagai kekangan seperti kekurangan kakitangan terlatih, ilmu pengetahuan serta kemudahan teknikal bagi menangani masalah tersebut maka usaha mereka seolah-olah tidak kelihatan berbanding pertambahan golongan LBGT dewasa ini.

‘‘Sehingga mereka begitu berani menonjolkan diri dan secara terang-terangan menuntut kebebasan seksualiti atas nama hak asasi,’’ ujar peguam itu.

Justeru, pihak Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan dakwah hendaklah berganding bahu memacu perubahan dalam pendekatan mereka mengatasi masalah ini sebelum bertambah parah lagi.

Katanya, banyak bentuk tindakan yang boleh dilakukan misalnya mengumpul maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar golongan ini di setiap negeri bagi memudahkan sesi kaunseling yang berterusan dan holistik mencakupi soal akhlak, ibadat serta syariat.

Selain itu, kempen secara agresif melalui media massa boleh dilaksanakan menyentuh tentang kesan yang bakal ditanggung di dunia dan akhirat jika orang Islam terjebak dengan golongan LGBT. Ia termasuklah memantau dan mengambil tindakan yang perlu serta tegas terhadap mana-mana individu, pertubuhan atau badan yang menganjurkan apa jua program untuk menyuburkan amalan tersebut.

Sebenarnya tanggungjawab menangani masalah tersebut digalas oleh semua muslim. Bagi Mohd. Zaidi, peguam syarie boleh dilibatkan secara aktif untuk menyedarkan orang Islam dan golongan LGBT bahawa undang-undang dan hukum syarak sama sekali tidak membela golongan ini dari sudut mana sekalipun.

Program penerangan ini, menurut Mohd. Zaidi, hendaklah dianjurkan oleh pihak berwajib seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam secara berkala. Ia dengan cara menyasarkan golongan yang telah terlibat dan juga golongan yang dikenal pasti berpotensi terlibat dalam gejala tersebut, ujar beliau.

Apabila bercakap mengenai hak asasi manusia, terdapat segelintir golongan yang menganggap ia tidak boleh disentuh sama sekali. Kononnya, tindakan mempersoalkan perkara itu sebagai suatu yang tidak wajar dan menafikan hak mereka.

Sementara itu, peguam Akbardin Abdul Kader melahirkan rasa terkilan dengan perjuangan tersebut apabila disertai oleh segelintir orang Islam.

‘‘Cara ini semua tidak betul. Kita tidak nafikan kewujudan hak-hak Fundamental Liberty (kebebasan asasi) misalnya hak bersuara dan menyampaikan pendapat. Namun sebagai orang Islam, kita tertakluk kepada undang-undang Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan dan undang-undang negeri masing-masing dan budaya tersebut jelas bercanggah dengan undang-undang,’’ kata peguam tersebut.

Menurut Akbardin, selagi mana-mana Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil atau Mahkamah Rayuan tidak membuat keputusan bahawa undang-undang yang termaktub dalam Akta Jenayah, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka kita perlu mematuhinya.

‘‘Hak asasi perlu selaras dengan undang-undang dan bagi umat Islam, mereka tertakluk kepada dua iaitu Sivil dan Syariah yang perlu dipatuhi. Ini tidak bererti hak kebebasan asasi mereka dalam Perlembagaan Persekutuan, telah dinafikan sebaliknya Undang-Undang Keluarga Islam perlu dipatuhi dan berjalan seiringan.

‘‘Sekiranya terdapat percanggahan antara kedua-duanya ia perlu dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan sama ada ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ataupun tidak,’’ ujar beliau lagi. Akbardin berkata, seandainya permohonan ini dibenarkan nescaya negara akan menjadi porak-peranda kerana ia bercanggah dengan undang-undang Islam. — utusan.com.my

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.