Side Views

Merdeka sudah, tapi jiwa masih terjajah — Aspan Alias

December 30, 2011

30 DIS — Rakyat sedang menghadapi terlalu banyak masalah yang berat akibat kelakuan dan sikap pemimpin kerajaan kita yang tidak mempunyai disiplin kepimpinan serta pemikiran. Sebagaimana yang telah selalu saya katakan masalah yang kita hadapi ini berpunca dari masalah kepimpinan negara.

Sekarang ini kepimpinan negara sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling getir dalam sejarah kemerdekaan negara. Krisis ini sudah lama menular tetapi kerajaan dan parti yang memerintah masih boleh menyangkutkan kesinambungan kuasa yang dipegangnya melalui saki-baki sokongan dan kuasa yang masih berada di tangan mereka.

Umno tidak lagi mempunyai kepimpinan yang jitu kerana akhir-akhir ini krisis keyakinan ini ditokok dan ditambah oleh isu-isu baru, kesemuanya berkait dengan salah guna kuasa dan rasuah. Tidak ada pertembungan di antara dua atau lebih dalam Umno berkaitan dengan perjuangan. Semuanya kena-mengena dengan wang ringgit dan laba harta yang tidak berkesudahan.

Selepas isu NFC dengan Shahrizat Jalil, timbul pula isu Awang Adek dan sebelum itu isu menteri yang menjaga agama yang tidak amanah menggunakan wang zakat untuk membayar kos guaman peribadinya. Shahrizat pula menambah lagi dengan berkata tidak ada pemimpin dalam Kabinet atau parti yang tidak bermasalah. Ini semua berlaku dalam beberapa minggu ini dan jika hendak diluruti sejarah satu dekat yang lalu timbul pula wang rakyat dan negara telah dilarikan keluar negara sebanyak RM1 trillion.

Sekarang ini kita tidak lagi menyebut jumlah yang berbillion. Kini kita menyebut jumlah kecurian yang berjumlah trillion-trillion ringgit. Masyaallah, rupa-rupanya negara kita negara kaya sehinggakan dalam tempoh sepuluh tahun sahaja sebanyak RM1 trillion telah dibawa lari ke luar negara oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kepada negara.

Bila berfikir tentang isu satu trillion ringgit yang dilarikan keluar negara ini, saya teringat kepada gerakan mencapai kemerdekaan negara dulu. Pemimpin-pemimpin kita dahulu telah berusaha untuk melepaskan negara dari cengkaman penjajah British. Tidak payah kita ulangi proses dalam mencapai kemerdekaan itu.

Tetapi apa yang hendak saya sentuh ialah salah satu matlamat penjajahan British dahulu ialah kerana British telah mengaut kekayaan negara kita untuk di bawa ke Britain dan Britain telah dapat membangunkan negaranya dengan menggunakan hasil mahsul tanah-tanah jajahannya termasuk Persekutuan Tanah Melayu.

Kita menuntut kemerdekaan dari British dan kita berjaya mendapatkannya. Setelah merdekanya negara salah satu yang pimpinan kita lakukan ialah untuk membawa kembali syarikat-syarikat perladangan, perlombongan serta semua syarikat-syarikat besar-besar ini yang telah mengalirkan sumber kekayaan negara kita ke Britain. Itu dasar kerajaan kita untuk mempastikan hasil mahsul negara berkisar di dalam negara ini.

Pada penghujung pimpinan Tunku Abdul Rahman , dan seterusnya semasa pimpinan Tun Razak serta Tun Hussein Onn pimpinan-pimpinan ini telah membawa masuk Tengku Razaleigh Hamzah sebagai arkitek dan pelaksana kepada proses mengembalikan harta kekayaan negara yang mengalir ke luar negara terutamanya ke Britain kembali ke negara kita dahulu

Semasa bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain di negara ini masih tidur lena dalam isu ini, Tengku Razaleigh dengan kebolehan teknokratnya telah membawa kembali syarikat-syarikat ini bermula dengan membawa balik Tradewind Bhd, Harrison and Crossfield yang sekarang ini di beri nama Golden Hope, Sime Darby (perladangan) London Tin (sekarang MMC) serta Guthries pada 7 septembar 1981.

Kejayaan cemerlang Tengku Razaleigh inilah yang menyebabkan politik beliau dimalapkan oleh pemimpin yang cemburukan kebolehan beliau itu. Zaman itu jugalah zaman pemimpin berkelibar dalam Umno dikuburkan oleh kerana keenakan kuasa yang sedang dirasakan oleh setengah pemimpin yang rakus dalam Umno.

Itu usaha kerajaan kita dengan semangat kebangsaan pimpinan negara kita. Tetapi sejak itu kepimpinan negara tidak memberikan keutamaan kepada mengekalkan kekayaan negara kita untuk berada di dalam negara. Sebaliknya melalui kerja hina rasuah dan menyalah gunakan kuasa keadaan telah terbalik.

Sejak dari itu di atas nama membangunkan negara maka pimpinan kita telah membiarkan kegiatan merompak harta kekayaan negara oleh kaum kita sendiri dan sejak sepuluh tahun yang lalu, sebanyak RM1 trillion telah di curi dan dibawa keluar negara. Sebenarnya kerja ini telah berlaku sejak pertengahan pimpinan Mahathir pada penghujung tahun lapan puluhan dahulu.

Apabila kerja membawa ke luar negara wang dan asset negara ini, ia tidak ubah seperti tindakan penjajahan British dahulu. Bezanya hanya kalau zaman penjajahan orang Inggeris yang membawa kekayaan kita ke Britain, tetapi bemula dari pemerintahan Dr Mahathir Mohamad kerja memunggah kekayaan negara ini keluar ini dilakukan oleh bangsa kita sendiri. Orang kita sendiri secara salah telah memunggah kekayaan negara kita keluar.

Oleh yang demikian kita sekarang seperti berada di zaman penjajahan dahulu. Harta kekayaan negara kita di sorok keluar negara dalam jumlah trillion ringgit. Kalau dahulu British membawa kekayaan negara kita secara sah melalui syarikat-syarikat gergasi ini, sekarang orang-orang kita yang menjadi kroni membawa wang dan kekayaan negara secara haram, Sejak 10 tahun dahulu sebanyak RM1 trillion telah di angkut keluar secara haram dan angka ini tidak termasuk angka bagi tahun-tahun sebelumnya.

Justru kita ingin bertanya, jika ini yang berlaku benarkah kita sudah merdeka? Kalau negara kita sudah merdeka kenapa wang kita sebanyak itu dicuri dan dibawa ke luar negara dengan cara yang salah ini. Nampaknya kalau dahulu kita dijajah oleh orang Inggeris kini kita dijajah oleh orang kita sendiri. Bukankah tindakan mencuri wang takyat dan negara ini merupakan tindakan pengkhianatan kepada negara?

“Penjajah” Melayu inilah yang sedang menekan kita untuk terus menyokong mereka supaya mereka boleh meneruskan kegiatan haram mereka terhadap harta benda kita semua. Mahukah kita terus diperbodohkan terus menerus sebegini?

Sekarang “penjajah baru” ini sedang melakukan apa yang cuba dilakukan oleh Malayan Union British dahulu terhadap kita semua. Bukankah orang Melayu tidak menerima cara Malayan Union ini?

Kalau dahulu Malayan Union di tolak oleh Umno (asal) dahulu maka kita harus menolak pentadbiran ala “Malayan Union” yang dilakukan oleh Umno yang baru ini. Cara untuk melakukan penolakan ini macam mana?

Caranya ialah ABU! Bukan ke? Apa lagi cara lain? Kita hendak lakukan melalui Umno juga? Tidak mungkin kan? Nanti ada yang kata kita tidak laku dan bangkrap politik pula.

Dan yang bercakap kita bangkrap politik ini adalah orang yang masih “bercabang kencingnya”… yang masih belum kenal yang mana tangan untuk menyuap nasi dan tangan untuk beristinja selepas membuang air besar.

Astagfirullah!! — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.