Side Views

Pakatan MAS, AirAsia usah sampai bebankan pelanggan setia — Berita Harian

11 OGOS — Berdasarkan reaksi pasaran saham, pakatan dibentuk Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia Bhd (AirAsia) kelmarin dilihat lebih memihak kepada syarikat penerbangan kebangsaan itu berbanding syarikat penerbangan tambang murah terbabit. Kesannya, saham MAS melonjak 18 peratus sebaik saja didagang semula semalam kepada paras tertinggi sejak 12 tahun, manakala saham AirAsia pula menjunam 9.6 peratus ke paras terendah sejak 2008. Reaksi awal itu mungkin bersifat sementara kerana pelabur masih kabur terhadap kesan yang bakal dibawa oleh Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif (CCF) dimeterai di antara kedua-dua pemegang saham utama syarikat penerbangan terbabit. Menerusi pertukaran saham di bawah CFF itu, Khazanah Nasional menguasai 10 peratus dalam AirAsia, manakala Tune Air 20.5 peratus dalam MAS. CFF itu juga bermakna persaingan sengit selama 10 tahun antara kedua-dua syarikat akan berakhir berikutan kedua-duanya kini mempunyai pemilik saham yang sama dan bersetuju melengkapkan perniagaan satu sama lain. Rata-rata penganalisis melihat positif terhadap urus niaga berkenaan kerana yakin ia mampu menguntungkan kedua-dua syarikat dengan jangkaan penjimatan kos dari segi pembelian pesawat, kejuruteraan, katering dan lain-lain. Kedua-dua entiti juga boleh saling memanfaatkan kepakaran masing-masing.

Namun timbul persoalan sama ada pengguna turut mendapat manfaat daripadanya berikutan ada pandangan menyatakan pakatan itu mungkin menjurus kepada pengwujudan satu monopoli penerbangan. Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menganggap pandangan itu sebagai “gila” kerana menurutnya pakatan itu hanya membabitkan pertukaran saham dan bukan penggabungan. Bagaimanapun, bagi pengguna yang biasa ditawarkan dengan pilihan destinasi dan promosi penurunan tambang, mereka mahu melihat MAS dan AirAsia terus bersaing. Bagi penumpang mementingkan perkhidmatan terbaik, mereka tidak mahu melihat tahap perkhidmatan MAS yang banyak memenangi anugerah sebelum ini merosot, manakala bagi yang mencari penjimatan, mereka pula tidak mahu AirAsia berhenti dengan promosi potongan harganya. Setakat ini, masih kabur arah mana CFF akan membawa MAS. Apakah MAS terus menjadi syarikat penerbangan kebangsaan yang bertindak mempromosi negara sebagai destinasi pelancongan pilihan dan adakah MAS sebagai entiti yang masih dikuasai kerajaan melalui pegangan 49 peratus oleh Khazanah Nasional, terus memberi pertimbangan sewajarnya kepada pembabitan Bumiputera baik dari segi perjawatan, mahupun kontrak yang ditawarkannya. Kita berharap perkembangan ini terus dipantau agar MAS yang sudah bersama kita sejak 1971, bukan saja dapat kembali untung, tetapi mampu terus menyumbang kepada pembangunan negara. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments