Side Views

Pemimpin Pakatan juga berhak mendapat liputan — Aspan Alias

27 APRIL — Tuntutan Bersih 3.0 merupakan satu “extension” kepada tuntutan yang dibuat dalam Bersih 2.0. Negara memerlukan undian daripada rakyat siapa yang sepatutnya diberikan mandat apabila habis tempoh penggal pilihanraya, sekurang-kurangnya selepas tiga tahun atau sebelum tamat tempoh lima tahun.

Tuntutan yang dilakukan oleh rakyat melalui Bersih 3.0 ini merupakan tuntutan yang adil dan munasabah dan sepatutnya tidak menjadi halangan untuk dilakukan oleh rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara dan kaedah pilihanraya diadakan.

Daripada lapan tuntutan yang diminta oleh rakyat itu saya hanya ingin menyentuh hanya satu daripada kesemua tuntutan itu, iaitu “accessibility” yang “equitable” untuk semua parti yang bertanding dan menawarkan cadangan-cadangan jika diberi kepercayaan oleh rakyat.

Mendapat liputan yang saksama daripada media arus perdana itu merupakan perkara yang paling asas di dalam sesebuah demokrasi kerana melalui media itulah pihak-pihak yang menawarkan diri untuk mendapat kepercayaan rakyat itu dapat dilakukan.

Di dalam demokrasi-demokrasi besar liputan media arus perdana itu merupakan isu yang telah menjadi lumrah. Di Indonesia misalnya, sebuah negara yang suatu ketika dahulu dikatakan dikuasai oleh diktator Suharto pun telah bertukar menjadi sebuah demokrasi yang besar di mana semua pihak yang bertanding diberikan masa untuk berutusan dengan rakyat yang akan membuat pilihan melalui media perdana mereka.

Di Myanmar, pihak pembangkang telah diberikan peluang dan masa untuk berucap di kaca TV arus perdana mereka. Kita semua tahu bahawa negara itu adalah di bawah perintah junta tentera sejak berapa lama dahulu. Negara itu mengikuti perubahan yang positif dalam mendemokrasikan sistem pilihan raya di sana.

Mereka menerima hakikat bahawa di dalam demokrasi semua pihak berhak untuk mendapat liputan yang saksama daripada media perdana. Singapura yang kita menganggap sebagai sebuah negara demokrasi terpimpin pun ada masa dan ruang untuk pembangkang memberikan pandangan dan perbahasan melalui TV arus perdana negara itu. Semasa diktator Marcos memerintah Filipina dahulu pun ada beberapa saluran TV negara itu yang membenarkan pandangan yang bersalah-salahan dalam TV arus perdana negara itu.

Hanya di negara ini sahaja pembangkang tidak dibenarkan berkempen melalui TV arus perdana sedangkan kita mendabik dada mengaku sebagai sebuah negara yang demokrasi. Jika pembahagian masa untuk berutusan dengan rakyat melalui media perdana, maka tidak akan timbul masalah tuduhan yang pembangkang itu memfitnah seperti yang lazim dilakukan oleh pihak pemerintah. Orang ramai akan dapat menilai samada yang dikatakan oleh pemimpin pembangkang itu fitnah atau sebagainya.

Jika pihak pemerintah bertanggungjawab, pembangkang wajar diberikan “accessibility” yang agak “equitable” terhadap penggunaan media masa perdana untuk menjawab tuduhan-tuduhan pihak pemerintah terhadap pembangkang.

Di negara ini memberikan masa untuk pembangkang bercakap melalui TV arus perdana seolah-olah sudah menjadi perkara yang aneh sedangkan itu merupakan rukun pilihanraya yang sangat asas di dalam sesebuah demokrasi itu.

Lim Guan Eng, Tok Guru Haji Hadi Awang serta Anwar Ibrahim secara moralnya berhak untuk bercakap melalui TV perdana negara. Itu asas demokrasi dan jangan dinafikan perkara yang benar dan jangan membenarkan perkara yang tidak benar.

Berlaku adillah supaya demokrasi kita dapat berkembang dengan baik tanpa dikotori oleh elemen-elemen jahat yang membayangkan kelemahan kita sendiri. Rakyat sudah pandai membaca dan menilai semua tindak-tanduk yang mencemarkan keunggulan demokrasi itu.

Kita perlu ingat taktik mengelirukan rakyat untuk mendapatkan sokongan merupakan taktik yang sudah ketinggalan zaman. Sikap kita mesti berubah mengikut kehendak masa dan zamannya. Saya percaya jika media perdana memberikan hak yang asasi ini kepada pihak pembangkang rakyat tidak perlu melakukan tuntutan melalui Bersih 3.0 ini kerana pemimpin pembangkang boleh meluahkan segala rasa ketidakadilan itu melalui media perdana.

Pembangkang tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini kerana yang menyebabkan Bersih 3.0 perlu diadakan adalah kerana sikap pihak pemerintah sendiri. Ingat, negara ini rakyat yang punya. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments