Side Views

Pendidikan dan ekonomi: Realiti masyarakat Malaysia — Zul Fikri Zamir Mohamad Munir

19 MAC — “Sometimes, the real success of a school is in the shy child who bloomed and became a community leader, the artist who transformed a city centre, the needy child who found a positive role model, or the quirky kid whose creativity later led to a medical breakthrough.” — William Mathis 

Laporan Perkembangan Dunia (UNDP 2010) meletakkan Korea Selatan di kedudukan 12, Hong Kong (21), Singapura (27), Brunei (37) dan Malaysia pada kedudukan 51 untuk tahap perkembangan manusia.

Bidang pendidikan menurut ekonomi terbahagi kepada tiga. William Mathis menyatakan yang pertama adalah “unitheoryia”, visi yang cenderung melihat pendidikan sebagai komoditi pasaran bebas. Penswastaan diperkenalkan sebagai pilihan menambahbaik kualiti sekolah. Dalam peringkat yang lebih tinggi ia menerangkan sifat kemanusiaan dan pelakuan sosial yang berasaskan “self-interest” berdasarkan persaingan. Persaingan global yang dipaksa bergantung kepada hanya beberapa skor standard adalah sebahagian dari simptom “unitheoryia” ini.   

Ini dapat dilihat jika perbandingan ranking university yang dibuat menerusi QS World University Ranking 2011/2012. Kedudukan University Malaya (UM) 167 dari 207 (naik 40 anak tangga), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 279 dari 263 (turun 16 anak tangga), Universiti Sains Malaysia (USM) 335 dari 309 (turun 26 anak tangga) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) 358 dari 319 (turun 39 anak tangga).

Kedua, “measuremyiopia” iaitu petunjuk karakteristik yang mudah diukur dan dipercayai. Petunjuk ekonomi tradisional selalunya adalah wang. Ramai penyelidik misalnya menggunakan skor ujian yang standard untuk meneliti pencapaian sekolah. Penyelidik yang terpengaruh dengan “measuremyiopia” kadangkala menggunakan sebarang data yang boleh diukur, sehingga data kedatangan juga diambilkira. 

Contohnya terdapat perbandingan bahawa setiap seorang dari 4 rakyat Malaysia tidak menamatkan pendidikan menengah di antara 2001 dan 2009. Peratus rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan pendidikan menengah pula adalah 68.7 peratus, berbanding Korea Selatan (96.4 peratus), Hong Kong (75.2 peratus) serta Brunei (88.2 peratus).

Ketiga, “regressonia” iaitu pendekatan korelasi berdasarkan bagaimana pembolehubah berubah antara satu sama lain. Pendekatan ini menuntut model statistik untuk memahami sekolah. Pelbagai teknik “regresi linear” seperti “beta weights”, “dummy variables” dan model hierarki untuk memberi pandangan impresif mengenai kebenaran boleh didapati melaluinya.

Menariknya di dalam makalah kecil bertajuk “Beware of economist bearing education reform” itu, Mathis mengingatkan tiada satu pun pembolehubah yang digunapakai boleh diklasifikasikan sebagai petunjuk yang baik terhadap apa yang patut diukur. Sebagai contoh menurutnya, skor ujian hanyalah sebahagian kecil dari sekolah, selain senioriti bukanlah petunjuk yang baik untuk mengukur kemahiran mengajar. 

Di negara ini, Kementerian Pelajaran Malaysia bertungkus lumus menyediakan 1,001 kemudahan serta aplikasi yang terbaik buat rakyatnya. Model seperti MBMMBI, LINUS, KSSR dan KSSM atau Sekolah Kluster bukan sesuatu yang asing buat masyarakat. Walaubagaimanapun, masih wujud keadaan di mana terdapat murid-murid yang tidak bernasib baik tercicir dari sistem yang diiktiraf antara terbaik di dunia ini. Maka timbul persoalan, mengapakah sistem yang baik ini masih tidak mampu menyediakan sebuah persekitaran sama rata di antara setiap murid yang berada di sekolah?

Jawapannya adalah peluang. Ketika Teach For The Needs ditubuhkan, kami hanya membayangkan bagaimanakah sebuah masyarakat dapat dibangunkan jika setiap murid yang hadir ke sekolah diberikan peluang yang sama rata. Realitinya di Malaysia, murid yang memerlukan ini berada di mana-mana. Murid kelas corot, anak yatim serta mereka yang datang dari keluarga miskin bukan hanya terdapat di kampung atau kawasan pedalaman, tetapi juga di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur. Murid seperti ini, tidak mampu membayar kos kelas tusyen sebagaimana rakan mereka yang lebih bernasib baik.

19 Mac 2012 ini, sekumpulan guru muda akan memulakan program kelas percuma untuk anak-anak yang memerlukan merangkumi tiga golongan yang disebutkan di atas.  Untuk ambilan pertama, sekolah yang terlibat merentas Kuala Lumpur sehingga ke pedalaman tahap 3 di Sarawak iaitu; SK Wangsa Maju, KL, SK Taman Midah 2, Cheras, SK Ubai, Pekan, SK Jalan Hang Tuah 2, KL, SK Jugra, Banting, SK Labang, Sebauh, SK Sungai Setiam, Bintulu, SK Bukit Mawang, Bintulu, SK Fateh Abdul Samad, Kuantan, SK Satak, Raub, SK Long Semadoh, Lawas, Sarawak, SK Abang Abdul Rahman, Saratok, Sarawak serta  SK Kampung Luak, Miri.

Menariknya, kesanggupan 13 orang duta Teach For The Needs bekerja sukarela tanpa mengharapkan insentif ini menjadi anti-tesis terhadap skeptik masyarakat mengenai guru. Pengalaman kurang dari tiga tahun tidak membataskan mereka untuk meluangkan masa sekitar 3 ke 4 jam seminggu untuk membantu murid kelas corot menghadapi peperiksaan UPSR sehingga Oktober 2012 nanti. Selain cabaran mengajar kelas corot, guru muda ini juga berdepan cabaran mengubah persepsi masyarakat terhadap guru dan seterusnya terhadap sistem pendidikan nasional.

Ruang yang lebih besar akan wujud sekiranya 13 guru muda ini mampu menjadi “role model” buat murid yang memerlukan ini. Sekiranya mereka berjaya menarik minat murid untuk belajar dan seterusnya berjaya, mitos ekonomi mengenai “lingkaran syaitan” yang selama ini membelenggu masyarakat kelas bawah akan dapat dihapuskan. Lebih besar dari itu, masalah sosial secara tidak lansung akan dapat diatasi.

Malah perkara yang lebih menarik adalah, melalui Teach For The Needs juga masyarakat boleh berganding bahu dengan guru untuk menyelesaikan masalah ketidakadilan sistem pendidikan yang sedang kita hadapi kini. Ketika guru muda kita menderma lebih 4 jam seminggu untuk membantu murid yang memerlukan ini, masyarakat boleh turut sama menderma tenaga serta idea untuk membantu para guru tersebut.

Sehingga kini, kami di Teach For The Needs sedang merangka untuk membekalkan majalah, surat khabar serta buku latihan percuma buat lebih 100 murid yang terpilih menyertai program ini di dalam ambilan pertama ini. Selain itu, sebuah program untuk menyokong Teach For The Needs telah berjalan pada 6 Mac 2012 yang lalu di Warwick University, Coventry, UK di bawah seliaan pelajar Malaysia di sana. Program malam akustik bertajuk Song For Friends ini khas untuk memperkenal serta menyatakan sokongan terhadap Teach For The Needs. Lebih dari 60 orang hadir dengan jumlah peserta yang membuat persembahan bertemakan “Dari Melaka ke United Kingdom” itu mencecah 10 orang.

Ini adalah sebahagian dari contoh bagaimana masyarakat boleh campur tangan dalam masalah pendidikan secara terus tanpa menunggu pihak kementerian menyelesaikannnya. Kritikan dan pandangan objektif adalah baik, walaubagaimanapun isu yang lebih besar sepatutnya ditumpukan terhadap bagaimana guru dan masyarakat boleh berganding bahu mencari sisi penyelesaian yang lebih konkrit.

Teach For The Needs juga terus mendapat respon yang positif. Terbaru, 13 penunggang basikal muda dari National Taiwan Sports Universiti telah menyatakan kesediaan mereka untuk turut sama mempromosi serta menyokong Teach For The Needs ketika jelajah mengelilingi Malaysia sekitar Jun 2012 nanti. Kita perlukan lebih banyak idea kreatif seperti ini untuk menyelesaikan pelbagai jenis masalah masyarakat tanpa perlu menunggu pihak berwajib menyelesaikannya. 

Negara juga perlukan lebih banyak guru untuk menyertai kami di Teach For The Needs, agar lebih ramai murid yang memerlukan dapat dibimbing serta diberi peluang menerima pendidikan yang sama taraf dengan murid kelas hadapan. Walaubagaimanapun, jika anda bukan seorang guru, anda boleh menyertai kami untuk sama-sama menawarkan kritikan, tenaga mahupun idea bagaimana bantuan boleh disalurkan secara terus untuk mengurangkan beban guru yang menyertai program ini, serta menawarkan peluang pendidikan yang lebih baik buat murid yang memerlukan. Sertai kami di www.teachfortheneeds.blogspot.com atau cari kami di Facebook (Teach For The Needs).

Ekonomi memberi kesan kepada bidang pendidikan. Namun realitinya di Malaysia, masyarakat boleh menentukan samada untuk menyelesaikan masalah tersebut secara bersama, atau tidak. 

“A liberal education is at the heart of a civil society, and at the heart of a liberal education is the act of teaching.” — A. Bartlett Giamatti

* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir adalah pelajar pasca-siswazah di Universiti Malaya serta Co-Founder bersama Asmidar Alias di dalam Teach For The Needs.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

 

Comments