Side Views

Peneroka memang layak menerima ‘durian runtuh’ — Mohd Fadhil

May 07, 2012

7 MEI — Sejak kebelakangan ini, saya banyak mendengar berita tentang “durian runtuh” yang bakal diterima oleh para peneroka. Tiba-tiba FELDA dan isu peneroka menjadi topik dan perbualan hangat di media massa mahupun di gerai kopi di kampung-kampung. Ada yang menyokong, ada juga yang membantah.

Bagi saya, ini berita yang cukup menggembirakan. Syukur Alhamdulillah ingin saya ucapkan kepada para peneroka. Penat lelah mereka mengusahakan tanah dengan tulang empat kerat mereka kini dibalas dengan ganjaran. Walau apa pun jumlah “durian runtuh” yang bakal diterima, terimalah dengan hati yang terbuka dengan tanda kesyukuran. Jika kita imbas kembali, sebenarnya FELDA telah banyak memberi imbuhan kepada para peneroka. Ini termasuklah  duit raya, elaun dan bonus. Jadi, tidak hairanlah jika FELDA terus menjaga kebajikan para peneroka dengan pemberian “durian runtuh” ini.

Saya rasa ramai yang tidak tahu tentang pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi oleh para peneroka dalam mengerjakan tanah FELDA ini. Kumpulan peneroka ini hidup di kawasan terpencil dan tiada kemudahan awam mahupun bekalan air dan elektrik. Mungkin ramai yang membayangkan golongan peneroka ini miskin, selekeh dan tidak berpelajaran. Tetapi tahukah kita bahawa ramai anak peneroka berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, di dalam mahupun di luar negara.

Kini, banyak di antara anak-anak peneroka berjaya dalam bidang yang diceburi. Di sebalik imej professional mereka dan jawatan tinggi yang dipegang, kita tidak lihat susah payah mereka demi menimba ilmu. Kita tidak sedar bahawa suatu ketika dahulu, mereka perlu berjalan kaki ke sekolah yang terletak jauh dari rumah kampung mereka. Bukan itu sahaja, kerja sekolah perlu disiapkan pada waktu siang, jika tidak, terpaksalah membuatnya bertemankan lampu minyak tanah. Tetapi pernahkah mereka merungut? Saya rasa tidak. Mereka tahu betapa susahnya hidup ibu bapa mereka membesarkan mereka dalam kemiskinan. Dengan semangat itulah mereka terdorong untuk belajar bersungguh-sungguh dan membalas budi kedua-dua ibu bapa mereka.

FELDA banyak membantu anak-anak peneroka yang layak belajar ke peringat universiti dalam dan luar negeri dari segi pinjaman wang dan biasiswa.  Jika ingin disenaraikan, sebenarnya banyak insentif dan bentuk bantuan diberikan oleh FELDA kepada peneroka dan anak-anak mereka. Mungkin ramai di antara kita yang tidak sedar bahawa rancangan FELDA telah menjana ekonomi negara dan memajukan golongan yang dahulunya miskin dan hidup susah.

Sememangnya para peneroka FELDA wajar dijadikan sumber inspirasi serta teladan oleh seluruh rakyat Malaysia. Mereka membuktikan bahawa hidup susah bukannya alasan untuk tidak memperbaiki status kehidupan. Berkat usaha dan kesabaran, budi mereka akhirnya dibalas juga. Syabas saya ucapkan kepada mereka.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Talk of the web